Mensasarkan tekanan darah yang lebih rendah daripada 140/90 mmHg tidak mendatangkan manfaat

Tekanan darah tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan jantung dan strok. Tekanan darah tinggi ditakrifkan sebagai bacaan yang melebihi 140-160/90-100 mmHg dan julat ini telah menjadi sasaran piawaian tekanan darah bagi doktor dan pesakit. Sepanjang lima tahun yang lalu satu kebiasaan untuk mensasarkan nilai yang lebih rendah telah disyorkan oleh pakar penyakit hipertensi yang menetapkan garis panduan perawatan. Kebiasaan ini adalah berdasarkan kepada andaian bahawa penggunaan ubat-ubatan yang mengurangkan tekanan darah lebih rendah daripada 140/90 mmHg akan mengurangkan serangan jantung dan strok sama dengan yang dilihat dalam beberapa kajian populasi penduduk. Namun, kaedah ini tidak dapat dibuktikan keberkesanannya.

Ulasan ini telah dilakukan untuk mencari dan menilai semua kajian yang telah dijalankan untuk melihat sama ada sasaran tekanan darah yang lebih rendah adalah lebih baik daripada sasaran piawai tekanan darah. Data daripada 7 kajian meliputi lebih daripada 22,000 peserta telah dianalisis. Penggunaan lebih banyak ubat dalam kumpulan peserta yang mensasarkan tekanan darah lebih rendah daripada 140/90 mmHg dapat menurunkan tekanan darah kepada bacaan yang sederhana rendah. Namun begitu, strategi ini tidak dapat memanjangkan kelangsungan hidup selepas serangan strok atau mengurangkan kejadian strok, serangan jantung, kegagalan jantung atau kegagalan buah pinggang. Pada masa kini, tidak ada bukti yang menyokong untuk mensasarkan sasaran tekanan darah yang lebih rendah daripada 140/90 mmHg untuk mana-mana pesakit hipertensi dan lebih banyak kajian diperlukan sekiranya piawaian ini hendak diubah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save