Antisepsis tangan pembedahan untuk mengurangkan jangkitan tapak pembedahan

Apakah jangkitan tapak pembedahan dan siapa yang berisiko?

Pemindahan mikro-organisma seperti bakteria secara tidak sengaja ke tapak luka pesakit semasa pembedahan boleh mengakibatkan jangkitan luka yang biasa dipanggil jangkitan tapak pembedahan (SSI). SSI ialah salah satu bentuk jangkitan berkaitan penjagaan kesihatan yang paling lazim untuk pesakit pembedahan. Sekitar 1 dalam 20 pesakit pembedahan mendapat SSI di hospital, dan peratus ini meningkat apabila pulang ke rumah. SSI boleh mengakibatkan penyembuhan luka yang lambat, tempoh tinggal di hospital yang lebih lama, peningkatan penggunaan antibiotik, kesakitan yang tidak perlu dan, dalam kes-kes yang melampau, kematian, maka pencegahan adalah tujuan utama bagi perkhidmatan kesihatan.

Mengapa menggunakan antisepsis tangan sebelum pembedahan?

Terdapat banyak titik berbeza dalam laluan penjagaan di mana pencegahan SSI boleh dilakukan. Ini termasuk pembersihan antiseptik tangan bagi mereka yang mengoperasi pesakit. Antisepsis tangan pembedahan adalah fokus ulasan ini. Dua bentuk antisepsis tangan yang paling biasa melibatkan larutan gosok berair dan sapuan alkohol. Larutan gosok berair ialah larutan berasaskan air yang mengandungi bahan antiseptik seperti chlorhexidine gluconate atau povidone iodine. Menggosok melibatkan membasahkan tangan dan lengan bawah dengan air, menggunakan larutan gosok berair secara sistematik sama ada dengan tangan atau span, membilas di bawah air yang mengalir dan kemudian mengulangi proses ini. Larutan alkohol yang mengandungi bahan aktif tambahan digunakan untuk melakukan 'sapuan alkohol'. Pasukan pembedahan menggunakan larutan sapuan alkohol ke tangan mereka secara sistematik dan biarkan ia menguap. Alkohol berkesan terhadap pelbagai jenis bakteria dan mikroorganisma lain. Selepas antisepsis tangan, kakitangan operasi kemudian memakai sarung tangan, yang menjadi penghalang penting antara kakitangan operasi dan pesakit; walau bagaimanapun, kerana sarung tangan boleh berlubang semasa pembedahan, adalah perlu untuk mempunyai tangan sebebas kuman yang mungkin.

Apa yang kami temui

Pada Jun 2015, kami mencari seberapa banyak kajian berkaitan yang mempunyai reka bentuk teguh (kajian rawak terkawal) seperti yang kami dapati dan membandingkan pelbagai jenis antisepsis tangan sebelum pembedahan. Kami memasukkan 14 kajian yang membandingkan pelbagai kaedah untuk melakukan antisepsis tangan pembedahan. Dua langkah yang digunakan untuk menilai keberkesanan rawatan ialah bilangan kes SSI dalam pesakit (dibentangkan dalam empat kajian yang disertakan) dan bilangan bakteria atau sel kulat yang hidup (dikenali sebagai unit pembentuk koloni, atau CFU) pada tangan orang yang beroperasi sebelum pembedahan dan selepas pembedahan (iaitu cara mengira bakteria yang terdapat pada permukaan kulit). Tidak jelas sama ada kaedah antisepsis tangan mempengaruhi risiko SSI, kerana kebanyakan kajian adalah terlalu kecil dan mempunyai kelemahan. Terdapat beberapa bukti bahawa antisepsis tangan dengan chlorhexidine boleh mengurangkan bilangan bakteria pada tangan profesional kesihatan berbanding povidone iodin. Yang penting, kami tidak tahu berapa jumlah CFU di tangan memberitahu kami tentang kemungkinan pesakit mendapat SSI. Terdapat juga beberapa bukti bahawa sapuan alkohol dengan bahan antiseptik tambahan boleh mengurangkan CFU berbanding gosok berair.

Kemas kini Jun 2015

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information