Rehabilitasi selepas pelepasan terowong karpus

Soalan ulasan

Adakah intervensi rehabilitasi selepas pembedahan untuk sindrom terowong karpus efektif dan selamat?

Latar belakang

Sindrom terowong karpus (CTS) adalah keadaan di mana saraf yang bergerak melalui satu terowong tulang dan fibrosa dalam pergelangan tangan telah dimampatkan. Hai ini membawa kepada kesakitan, kekebasan dan sesemut di tangan, kadang-kadang meluas ke bahagian bawah lengan. Pada peringkat lanjutan, sesetengah orang dengan CTS mempunyai kelemahan dan pembaziran otot di tangan. CTS lebih kerap berlaku dalam wanita dan individu berisiko tertentu, seperti diabetes, obesiti, radang sendi, usia yang lebih lanjut, bekerja dalam pekerjaan tertentu, dan patah tulang pergelangan tangan sebelumnya. Banyak orang menjalani pembedahan untuk mengurangkan tekanan pada saraf, untuk mengurangkan kesakitan, dan meningkatkan sensasi dan fungsi tangan. Kadangkala individu menerima rehabilitasi berikutan pembedahan CTS. Rawatan rehabilitasi dipercayai dapat mempercepatkan pemulihan dan menguruskan kesakitan atau gejala daripada pembedahan tersebut. Ini adalah kemas kini pertama berkenaan ulasan yang telah diterbitkan pada 2013.

Ciri-ciri kajian

Pada 29 September 2015, kami telah mencari kesemua kajian klinikal yang berkaitan di mana rawatan rehabilitasi telah dibandingkan dengan rawatan rehabilitasi lain, tiada rawatan atau plasebo (rawatan palsu). Kami telah menemui 22 kajian dengan jumlah 1521 peserta yang telah menilai manfaat dan kemudaratan rawatan rehabilitasi yang berbeza berikutan pembedahan CTS. Dua daripada kajian tersebut baru dikenal pasti pada kemas kini ini.

Keputusan utama

Berdasarkan kajian ini, kami telah menemui bukti yang terhad dan berkualiti rendah untuk manfaat rawatan yang telah diulaskan, termasuk imobilisasi dengan ortosis pergelangan tangan (splint), penggunaan pembalut selepas pembedahan, senaman, terapi sejuk dan ais, rehabilitasi tangan berlainan jenis yang disediakan dalam kombinasi, terapi laser, rawatan elektrik, penyahpekaan parut, dan arnica. Beberapa kajian telah melaporkan tentang keselamatan rawatan tersebut.

Lebih banyak kajian diperlukan untuk menyiasat tentang keberkesanan dan keselamatan pelbagai jenis rawatan rehabilitasi yang sedia ada untuk orang berikutan pembedahan CTS.

Bukti ini adalah terkini sehingga September 2015.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information