Menyejukkan badan selepas resusitasi selepas serangan jantung

Mesej utama

Dalam ulasan ini, kami bertanya sama ada pesakit yang diselamatkan daripada serangan jantung mendapat manfaat apabila badan mereka disejukkan kepada suhu 32 °C hingga 34 °C. Bukti semasa menunjukkan bahawa kaedah penyejukan konvensional untuk mendorong hipotermia (suhu badan rendah) boleh mengurangkan risiko kerosakan otak dan memperbaiki kesan neurologi (masalah sistem saraf) berikutan kejayaan resusitasi selepas serangan jantung.

Apakah serangan jantung?

Sekitar 30% hingga 50% penghidap penyakit jantung koronari (apabila arteri yang membekalkan darah ke jantung menjadi sempit akibat pengumpulan bahan berlemak di dalam dinding mereka) mengalami serangan jantung secara tiba-tiba. Jantung terhenti mengejut bermakna jantung berhenti mengepam darah dan seterusnya, peredaran darah ke seluruh badan terhenti.

Bagaimanakah serangan jantung dirawat?

Seseorang yang mengalami serangan jantung terhenti mengejut memerlukan resusitasi segera untuk menyelamatkan nyawa mereka. Resusitasi boleh dilakukan oleh orang yang tidak mempunyai latihan perubatan atau oleh profesional penjagaan kesihatan. Pelbagai teknik boleh digunakan, tetapi yang paling biasa digunakan adalah memberikan tekanan dada (menolak kuat dan kerap pada tulang dada orang itu), teknik pernafasan menyelamat (resusitasi mulut ke mulut) dan penggunaan defibrilator menggunakan kejutan elektrik bagi memulakan denyutan jantung. Jika penghidap serangan jantung tidak diselamatkan, sel-sel otak mula rosak secara kekal, dan seterusnya, orang itu akan mati. Selepas resusitasi berjaya, rawatan dalam beberapa jam pertama adalah penting untuk mengelakkan atau menghadkan kerosakan otak, dan memelihara fungsi dan struktur sel saraf dalam otak (juga dipanggil neuroprotection). Simptom kerosakan otak berbeza-beza bergantung pada tahap keparahan dan tempoh serangan jantung, serta keadaan kesihatan seseorang. Simptom termasuk kematian serta-merta; koma; lumpuh; gegaran; kesukaran dengan pertuturan dan bahasa; kesukaran berfikir, mengingat dan tugas mental; dan masalah koordinasi badan atau gaya berjalan. Salah satu terapi yang boleh membantu mencegah kerosakan sel terdiri daripada penyejukkan badan kepada 32 °C hingga 34 °C selama beberapa jam selepas berjaya selamatkan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada orang yang diselamatkan daripada serangan jantung pulih dengan lebih baik apabila badan mereka disejukkan kepada suhu 32 °C hingga 34 °C.

Apa yang kami lakukan?

Kami telah mencari pangkalan data perubatan untuk kajian yang direka bentuk dengan baik yang melihat sejauh mana orang yang disejukkan badan mereka kepada 32 °C hingga 34 °C pulih selepas resusitasi selepas serangan jantung berbanding orang yang tidak disejukkan atau tidak disejukkan kepada kurang daripada 36 ° C.

Apa yang kami dapati?

Kami telah menyertakan 12 kajian (3956 orang secara keseluruhan) dalam analisis kami yang mengkaji kesan penyejukan badan selepas resusitasi berjaya untuk serangan jantung. Sebelas kajian menggunakan kaedah penyejukan konvensional (contohnya, pad penyejuk atau pek ais). Walau bagaimanapun, satu kajian telah menggunakan haemofiltrasi sebagai kaedah penyejukan (darah dikeluarkan dari badan melalui tiub yang melalui penapis untuk mengeluarkan bahan toksik dan mesin penyejuk sebelum kembali ke badan - serupa dengan dialisis), jadi data mereka tidak boleh diringkaskan dengan kajian lain dan dikendalikan secara berasingan dalam ulasan ini.

Hasil utama

Menyejukkan badan selepas resusitasi berjaya boleh mengurangkan risiko kerosakan otak dan memperbaiki hasil neurologi. Apabila kami membandingkan orang yang badannya disejukkan kepada 32 °C hingga 34 °C selepas resusitasi berbanding mereka yang badannya tidak disejukkan, kami mendapati bahawa 532 orang dalam 1000 daripada mereka yang menerima penyejukan tidak akan mengalami kerosakan otak, atau hanya kecil, manakala hanya 377 orang dalam 1000 yang tidak menerima penyejukan tidak akan mengalami kerosakan otak, atau hanya kerosakan yang kecil. Penyejukan tidak memberi kesan kepada kelangsungan hidup. Menyejukkan badan telah dikaitkan dengan peningkatan risiko radang paru-paru (jangkitan yang meradang kantung udara dalam satu atau kedua-dua paru-paru) (384 orang daripada 1000 yang mengalami penyejukan berbanding 352 orang daripada 1000 yang tidak mempunyai penyejukan), peningkatan risiko kepekatan rendah kalium darah (185 orang daripada 1000 yang mengalami penyejukan berbanding 134 orang daripada 1000 yang tidak mempunyai penyejukan) dan peningkatan risiko untuk degupan jantung yang tidak teratur (257 orang daripada 1000 yang mengalami penyejukan berbanding 184 orang daripada 1000 yang tidak mempunyai penyejukan). Hanya beberapa kajian melihat komplikasi yang boleh dirawat tersebut.

Apakah batasan bukti?

Beberapa kajian mempunyai kelemahan kualiti termasuk kekurangan maklumat tentang cara kajian dijalankan dan penggunaan kaedah yang tidak mencukupi untuk mengimbangi peserta antara kumpulan penyejukan dan tiada penyejukan. Walau bagaimanapun, apabila kami mengambil kira perbezaan antara kajian, menjadi jelas bahawa kelemahan ini hanya mempunyai kesan kecil pada keputusan utama, dan mereka tidak mengubah penemuan keseluruhan.

Sumber pembiayaan kajian

Sebuah syarikat berkaitan dengan dialisis membiayai kajian yang menggunakan penyejukan luaran. Daripada baki 11 kajian yang termasuk dalam analisis utama, lima menerima pembiayaan daripada organisasi kerajaan atau bukan keuntungan; dua menerima kit analisis daripada syarikat yang tidak berkaitan dengan penyejukan dan empat kajian tidak memberikan maklumat mengenai pembiayaan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga September 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information