Penambahan vitamin C semasa hamil

Mengambil penambahan vitamin C semasa hamil

Apakah isunya?

Adakah pengambilan tambahan vitamin C semasa hamil memperbaiki hasil ibu dan bayi, dan adakah ia mempunyai sebarang kesan buruk?

Mengapakah ini penting?

Pengambilan vitamin C yang rendah boleh dikaitkan dengan komplikasi semasa hamil seperti tekanan darah tinggi dengan bengkak tangan, kaki dan muka (pra-eklampsia), anemia dan bayi bersaiz kecil.

Apakah bukti yang kami temui?

Ulasan ini memasukkan data 29 kajian yang melibatkan lebih daripada 24,000 wanita hamil dari 17 negara yang berbeza. Empat kajian tidak menyumbang data untuk ulasan ini. Keseluruhan risiko bias kajian-kajian adalah rendah hingga tidak jelas, dan bukti adalah berkualiti sederhana hingga tinggi. Dos harian yang paling biasa bagi pengambilan vitamin C adalah 1000 mg, yang digunakan dalam 15 kajian. Penemuan kajian menunjukkan penambahan rutin vitamin C semasa hamil, sama ada secara tunggal atau kombinasi dengan tambahan lain (terutama vitamin E) tidak memperbaiki hasil untuk wanita dan bayi mereka. Terdapat 36% pengurangan relatif pada uri yang gugur awal dari dinding rahim (‘placental abruption’) dalam kalangan wanita yang diberi penambahan vitamin C (lapan kajian, lebih dari 15,700 wanita); ini telah dinilai sebagai bukti berkualiti tinggi. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas sama ada penemuan ini disebabkan oleh vitamin C atau agen lain, kerana kebanyakan kajian memberi penambahan vitamin C dengan gabungan vitamin E kepada wanita. Dalam kajian-kajian yang memberi wanita vitamin C sahaja, terdapat pengurangan dalam kes membran pecah pra-kelahiran (PROM) yang berlaku pada pramasa atau cukup bulan. Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan risiko PROM dalam kajian yang telah memberi penambahan vitamin C dan vitamin E kepada wanita. Oleh itu, penyelidikan lanjut diperlukan untuk menilai peranan vitamin C dalam mengurangkan ‘placental abruption’ dan perkembangan PROM. Ulasan ini mendapati dalam hanya satu kajian, terdapat peningkatan risiko sakit abdomen dengan vitamin C yang menunjukkan mungkin ada bahaya yang dikaitkan dengan penambahan vitamin C semasa hamil.

Apakah maksudnya?

Mengambil vitamin C semasa hamil tidak membantu mencegah masalah semasa hamil termasuk lahir mati, kematian bayi, kelahiran pramasa, pra-eklampsia atau bayi berat lahir rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mastura binti Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah, Fakulti Perubatan UiTM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan sila hubung mastura.malek78@gmail.com

Tools
Information
Share/Save