Pemakanan menerusi tiub enteral dalam kalangan penghidap penyakit sklerosis lateral amiotrofik, yang juga dikenali sebagai penyakit saraf motor

Mesej utama

Kami mendapati tiada kajian rawak terkawal ataupun rawak semu (separa rawak) yang membandingkan penggunaan tiub pemakanan dengan pemakanan berterusan melalui mulut untuk penghidap sklerosis lateral amiotrofik (ALS), atau yang menyiasat keselamatan dan kesesuaian pengaturan waktu untuk pelbagai kaedah penempatan tiub pemakanan dalam kalangan pesakit ALS. ALS ialah bentuk penyakit neuron motor (MND) yang paling biasa dan kedua-dua istilah itu sering digunakan secara bergantian.

Kajian rawak dan kuasi rawak adalah kajian yang bertujuan untuk memastikan kumpulan peserta adalah serupa. Kajian sedemikian boleh memberikan panduan kepada ahli perubatan dan pesakit ALS sama ada memasukkan tiub pemakanan dapat memanjangkan kelangsungan hidup dan meningkatkan kualiti hidup jika dibandingkan dengan cara pemakanan berterusan melalui mulut. Walau bagaimanapun, terdapat cabaran etika dalam menjalankan kajian sedemikian, kerana konsensus pakar antarabangsa dan garis panduan menyokong pemakanan tiub untuk penghidap ALS walaupun terdapat kekurangan bukti berkualiti tinggi.

Apakah itu penyakit ALS?

ALS adalah keadaan di mana saraf yang mengawal pergerakan berhenti berfungsi. ALS menyebabkan kelemahan otot yang memburuk seiring dengan masa sehingga pesakit itu menjadi lumpuh. Ia hampir selalu membawa maut.

Kebanyakan penghidap ALS mengalami kesukaran menelan. Ini boleh menyebabkan penurunan berat badan yang serius dan orang yang terjejas berisiko untuk menyedut makanan atau minuman, kerana menelan yang berkesan biasanya melindungi saluran pernafasan daripada makanan dan cecair. Jika makanan atau minuman memasuki saluran pernafasan bawah atau paru-paru, kawasan-kawasan ini mungkin meradang atau berisiko mengalami jangkitan (keadaan yang diistilahkan sebagai pneumonia aspirasi).

Apakah itu pemakanan tiub enteral?

Pemakanan enteral adalah pemakanan menerusi sebuah saluran.Pemberian tiub enteral adalah pemakanan melalui tiub. Salah satu cara tiub pemakanan dimasukkan adalah terus menembusi dinding perut ke dalam perut. Jenis tiub pemakanan ini sering disyorkan untuk penghidap ALS yang mengalami kesukaran menelan, supaya mereka dapat memperoleh zat yang mencukupi di samping mengurangkan risiko mengalami pneumonia aspirasi.

Apa yang kami mahu lakukan?

Kami ingin mengulas bukti yang membandingkan penggunaan tiub pemakanan dengan pendekatan yang tidak melibatkan tiub pemakanan dari segi kelangsungan hidup, status pemakanan dan kualiti hidup penghidap ALS. Kami juga ingin mengumpulkan bukti berkenaan komplikasi pemasangan tiub pemakanan.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian rawak terkawal yang membandingkan pemakanan enteral berbanding dengan pemakanan melalui mulut dalam kalangan penghidap ALS, atau kajian yang mengkaji keselamatan dan masa pelbagai jenis atau kaedah penempatan saluran makan pada orang dengan ALS. Kami merancang untuk merumuskan keputusan kajian-kajian ini dan menilai bukti.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati tiada kajian rawak terkawal rawak yang menunjukkan sama ada pemakanan menerusi tiub enteral lebih bermanfaat jika dibandingkan dengan meneruskan pemakanan melalui mulut. Kami juga merumuskan hasil kajian bukan rawak dalam bahagian perbincangan. Walau bagaimanapun, kajian-kajian ini menerbitkan bukti yang mempunyai kualiti yang lebih rendah dan dapat memberikan keputusan yang mengelirukan.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak dapat menemui bukti yang memenuhi syarat untuk dirangkumkan dalam ulasan ini.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini setakat Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information