Berapa berkesankah radioterapi untuk merawat degenerasi makular berkaitan umur basah (AMD) (satu keadaan degeneratif mata)?

Mengapakah soalan ini penting
AMD adalah keadaan mata yang lazim berlaku dalam kalangan orang berumur lebih dari 50 tahun. Ia mempengaruhi bahagian tengah (makula) di belakang mata (retina). Mula-mula bintik kuning (drusen) terbentuk di bawah retina. Ia dapat dilihat oleh profesional kesihatan semasa pemeriksaan mata. Sambil AMD progres, salur darah baharu boleh terbentuk di makula. Salur darah ini mungkin berdarah atau menyebabkan parut; ini dipanggil AMD 'neovaskular' atau 'basah'. AMD basah boleh menyebabkan orang hilang penglihatan di bahagian tengah.

Tiada penawar untuk AMD basah. Walau bagaimanapun, terdapat rawatan yang direka untuk menghentikan penglihatan menjadi semakin buruk. Salah satu rawatan tersebut adalah radioterapi (mengguna radiasi untuk membunuh sel-sel yang memudaratkan). Untuk mengetahui keberkesanan radioterapi bagi merawat AMD basah dan sama ada ia menyebabkan kesan-kesan yang tidak diingini, kami mengulas bukti dari kajian-kajian penyelidikan.

Bagaimana kami mengenalpasti dan menilai bukti
Pertama, kami mencari semua kajian yang relevan dalam literatur perubatan. Kami kemudian membandingkan keputusan-keputusannya, dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai kepastian bukti itu. Kami pertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi kajian-kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami mengkategori bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apa yang kami temui
Kami mengenalpasti 18 kajian yang relevan dengan sejumlah 2340 orang dengan AMD basah. Kajian-kajian ini terutamanya dijalankan di Eropah dan Amerika Utara, walaupun dua kajian adalah dari Jepun dan satu kajian menyertakan lokasi-lokasi di Amerika Selatan. Lima belas kajian menyiasat radioterapi sinar eksternal dan tiga kajian menyiasat radioterapi internal (brakiterapi), di mana bahan radioaktif diletak di permukaan mata.

Kajian-kajian membandingkan:

➩ radioterapi sahaja tanpa radioterapi atau rawatan palsu (14 kajian, 1223 orang); atau

➩ radioterapi ditambah suntikan mata (ubat yang disebut faktor pertumbuhan endotelial anti-vaskular (VEGF)) dengan suntikan mata sahaja (empat kajian, 1117 orang); atau

Kajian-kajian tersebut menunjukkan:

Apabila radioterapi dibanding dengan tiada radioterapi atau rawatan palsu, pada 12 bulan susulan

Mungkin terdapat sedikit perbezaan dalam bagaimana kemungkinan penglihatan orang menjadi lebih buruk sebanyak 3 garis atau lebih pada carta penglihatan (kepastian rendah).

➩ Mungkin terdapat perbezaan kecil dalam purata ketajaman visual (dalam urutan 1 baris carta penglihatan) yang berpihak kepada radioterapi (kepastian rendah).

➩Keupayaan orang untuk membezakan bahagian imej terang dan malap mungkin sedikit lebih baik dengan radioterapi (kepastian rendah).

➩ Bukti pertumbuhan salur darah baharu di bahagian belakang mata tidak konsisten (kepastian sangat rendah).

➩ Mungkin terdapat sedikit perbezaan dalam kualiti hidup (kepastian rendah).

➩ Kajian-kajian yang mencatatkan kesan yang tidak diingini secara amnya melaporkan tiada kerosakan yang berkait dengan radiasi pada retina atau saraf optik. Kesan lain yang tidak diingini, seperti katarak, adalah tidak lazim. Tiada bukti konsisten kesan yang tidak diingini lebih cenderung dalam kumpulan radiasi (kepastian rendah).

Apabila radioterapi digabung dengan anti-VEGF dibanding dengan anti-VEGF sahaja, susulan 12 bulan

➩ Orang yang dirawat dengan radioterapi berserta anti-VEGF mungkin dua kali lebih mungkin kehilangan 3 garis atau lebih pada carta penglihatan berbanding orang yang dirawat dengan anti-VEGF sahaja (kepastian sederhana).

➩ Kajian-kajian melaporkan keputusan yang tidak konsisten purata ketajaman penglihatan (kepastian rendah) dan pertumbuhan salur darah baharu (bukti kepastian sangat rendah). Secara purata ketajaman penglihatan mungkin lebih teruk dengan brakiterapi.

➩ Tiada kajian yang menyiasat impak terhadap kemampuan orang untuk membezakan antara bahagian imej yang terang dan malap, atau kualiti hidup.

➩ Tiga daripada empat kajian mencatatkan beberapa kesan yang tidak diingini dan tiada kerosakan yang berkaitan dengan radiasi pada retina atau saraf optik. Dalam satu kajian, separuh daripada orang yang dirawat dengan brakiterapi melaporkan kesan yang tidak diingini (terutamanya katarak) dan terdapat beberapa kejadian kerosakan retina akibat brakiterapi (kepastian rendah).

➩Dalam tiga daripada empat kajian, orang yang dirawat dengan radioterapi menerima kurang suntikan anti-VEGF (kepastian sederhana).

Kesimpulan
Adalah tidak pasti sama ada radioterapi sahaja atau dengan suntikan anti-VEGF berkesan untuk merawat AMD basah.

Adakah ulasan ini mutakhir?
Penyelidik Cochrane mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 4 Mei 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mastura binti Abd Malek (Pelajar Pasca Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Nooliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information