Fluorida untuk pencegahan awal kerosakan gigi (lesi putih ternyahmineral) semasa rawatan pendakap tetap

soalan sorotan

Tompok-tompok putih yang hodoh kadangkala terbentuk semasa rawatan ortodontik (pendakap). Ia disebabkan oleh kerosakan gigi awal dan sering terbentuk dengan penggunaan pendakap apabila gigi tidak dibersihkan dengan teliti

Kita telah maklum bahawa fluorida dalam ubat gigi membantu mencegah kerosakan gigi; lebihan bekalan fluorida bagi mereka yang memakai pendakap sepatutnya dapat melindungi kejadian tompok-tompok tersebut. Tinjauan yang dihasilkan oleh Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane memeriksa bukti ini dalam penyelidikan sedia ada. Tinjauan ini bertujuan menilai keberkesanan fluorida dalam pencegahan awal kerosakan gigi semasa rawatan ortodontik (pendakap) dan menentukan cara pencegahan terbaik.

Latarbelakang

Kerosakan awal di sekitar braket yang melekatkan pendakap kepada gigi boleh menyebabkan tompok putih atau perang (lesi putih ternyahmineral (LPT)) terbentuk pada gigi semasa rawatan pendakap tetap. Pengumpulan plak gigi di sekitar braket dikaitkan dengan peningkatan risiko enamel gigi ternyahmineral yang pesat. Demineralisasi adalah peringkat awal dalam kejadian kerosakan gigi yang boleh dipulihkan. Pemakaian pendakap tetap boleh dikaitkan dengan rasa sakit, dan kedua-dua pendakap dan rasa sakit menyukarkan memberus gigi dan seterusnya lebih sukar untuk menghalang pengumpulan plak. Kebanyakan orang memakai pendakap untuk tempoh 18 bulan atau lebih, dan risiko kerosakan gigi akan memusnahkan gigi dan memerlukan restorasi dan tampalan.

Fluorida berkesan mengurangkan kerosakan gigi dalam kalangan orang yang berisiko. Individu yang menerima rawatan ortodontik boleh diberi pelbagai bentuk rawatan fluorida. Adalah penting untuk membuat pertimbangan bagaimana fluorida perlu diaplikasi dan sama ada kanak-kanak dan remaja (yang menerima rawatan pendakap) sanggup dan mampu untuk mengaplikasi sendiri amaun yang perlu untuk pencegahan awal kerosakan gigi.

Ciri kajian

Sorotan ini berdasarkan bukti sehingga 31 Januari 2013. Tiga kajian yang melibatkan 458 peserta dimasukkan dalam sorotan ini yang telah dikemaskini. Gigi peserta-peserta yang menerima rawatan ortodontik dengan pendakap tetap dan DWLs dikaji di akhir rawatan ortodontik.

Pelbagai cara aplikasi fluorida yang dinilai termasuk: 

1. Fluorida topikal seperti varnis berfluorida, ubat kumur mulut, gel atau ubat gigi;
2. Peranti mengeluarkan fluorida yang terlekat kepada pendakap;
3. Pendekatan kumpulan kontrol – individu menerima plasebo atau lain-lain bentuk fluorida, atau tidak menerima fluorida tambahan seperti yang tersebut.

Keputusan utama

Satu kajian menunjukkan apabila doktor gigi mengaplikasi varnis berfluorida pada gigi dan pendakap setiap kali rawatan, risiko pembentukan LPT berkurang hampir 70%; namun rekabentuk kajian yang baik diperlukan untuk mengesahkan keputusan ini.

Bukti selebihnya adalah lemah, dan lebih banyak kajian diperlukan untuk mengenalpasti cara terbaik membekalkan fluorida tambahan kepada orang yang memakai pendakap gigi. Kesan sampingan atau bahaya intervensi tidak dilaporkan dalam mana-mana kajian yang disertakan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti yang didapati adalah sederhana dalam satu rekabentuk kajian yang baik dan lemah dalam kajian selebihnya. Dicadangkan lebih banyak penyelidikan yang baik patut dibuat dalam aspek ini.

Kesimpulan penulis: 

Kajian sistematik ini mendapati bukti sederhana varnis fluorida yang diaplikasi setiap enam minggu semasa rawatan ortodontik adalah berkesan tetapi penemuan ini hanyalah berdasarkan kepada satu kajian. Kajian klinikal lanjutan yang lebih berkuasa, ‘double-blind’, rawak terkawal adalah perlu untuk menentukan kaedah terbaik mencegah LPT dalam pesakit yang menjalani rawatan ortodontik, kaedah penilaian komplians yang paling jitu dan kemungkinan kesan sampingan. Kajian lanjutan patut membuat susulan peserta melebihi penamatan rawatan ortodontik untuk menentukan kesan kepuasan peserta terhadap rawatan. LPT

Baca abstrak penuh ...
Latar belakang: 

Lesi putih terdemineral (LPT) boleh terbentuk pada gigi semasa rawatan pendakap tetap akibat kerosakan awal sekitar braket yang terlekat pada gigi. Fluorida berkesan untuk mengurangkan kerosakan pada individu yang rentan di dalam populasi. Individu yang menerima rawatan ortodontik boleh diberi pelbagai bentuk rawatan fluorida. Kajian sistematik ini membandingkan keberkesanan pelbagai bentuk fluorida yang diguna semasa rawatan ortodontik untuk mengendali pembentukan LPT. Kajian sistematik ini adalah kemaskini kajian sistematik Cochrane terbitan pertama pada 2004

Objektif: 

Objektif utama kajian sistematik ini adalah untuk menilai keberkesanan fluorida dalam mengurangkan insiden LPT pada gigi semasa rawatan ortodontik.

Objektif menengah adalah untuk mengkaji keberkesanan pelbagai mod penghantaran fluorida dalam mengurangkan kejadian LPT, serta saiz luka. Hasil-hasil penilaian-kendiri peserta, seperti persepsi LPT, dan kualiti yang berkaitan dengan kesihatan oral dimasukkan dalam kajian, juga kesan buruk.

Strategi pencarian: 

Kami membuat carian dalam Daftar Kajian Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane (hingga 31 Januari 2013), Daftar Pusat Kajian Klinikal Terkawal Cochrane (CENTRAL) (Perpustakaan Cochrane 2012, Isu 12), MEDLINE melalui OVID (1946 hingga hingga 31 Januari 2013), EMBASE melalui OVID (1980 hingga 31 Januari 2013).

Kriteria pemilihan: 

Kami memasukkan kajian klinikal jika memenuhi kriteria berikut: (1) Kajian klinikal rawak kumpulan selari membandingkan peggunaan produk berfluorida berbanding plasebo, tiada rawatan atau jenis rawatan fluorida yang lain di mana (2) Hasil enamel terdemineral dinilai pada permulaan dan akhir rawatan ortodontik

Pengumpulan data dan analisis: 

Sekurang-kurangnya dua penulis kajian sistematik ini secara berasingan dan duplikat menilai risiko bias dan penggalian data. Penulis laporan penyelidikan dihubungi untuk maklumat tambahan atau penjelasan tentang aspek kaedah kajian klinikal. Garispanduan statistik The Cochrane Collaboration dipatuhi.

Keputusan utama: 

Untuk kajian sistematik yang dikemaskini pada 2013 ini, tiga perubahan dibuat kepada protokol berkenaan kriteria kemasukan. Empat-belas kajian yang disertakan dalam kajian sistematik terdahulu dikeluarkan dari kemaskini ini atas sebab berikut: 5 kajian terdahulu yang dimasukkan adalah kuasi-rawak, lima kajian lagi adalah berbentuk kajian ‘split-mouth’, tiga kajian mengukur hasil pada gigi yang telah dicabut sahaja dan satu lagi kajian menggunakan intervensi fluorida yang sama dalam setiap kumpulan kajian.

Tiga laporan penyelidikan melibatkan 458 peserta dimasukkan untuk kajian sistematik yang dikemaskini ini. Satu kajian dinilai sebagai berisiko rendah bagi semua domain, dalam satu kajian, risiko bias adalah tidak jelas dan dalam kajian selebihnya, risiko bias adalah tinggi.

Satu kajian terkawal plasebo dengan aplikasi varnis fluorida setiap enam minggu (253 peserta, risiko bias rendah) yang mana kualiti bukti adalah sederhana menunjukkan 70% pengurangan LPT (nisbah risiko (NR) 0.31, 95% interval keyakinan (IK) 0.21 hingga 0.44, P<0.001). Penemuan ini dianggap memberi bukti kualiti sederhana intervensi kerana kajian tersebut belum direplikasi oleh kajian lanjutan dalam peserta ortodontik.

Satu kajian pula membandingkan dua formulasi ubat gigi berfluorida dan ubat kumur berfluorida yang ditetapkan untuk peserta yang menjalani rawatan ortodontik (97 peserta, risiko bias tidak jelas) dan mendapati tiada perbezaan di antara kombinasi amin fluorida dan ubat gigi/ubat kumur mulut stanus fluorida dengan kombinasi ubat gigi/ubat kumur mulut natrium fluorida untuk hasil indeks tompok putih, indeks plak yang boleh dilihat dan indeks gusi berdarah.

Satu kajian kecil (37 peserta) membandingkan penggunaan peranti manik kaca dalam-mulut yang dilekatkan kepada pendakap dan mengeluarkan fluorida dengan ubat kumur mulut fluorida harian. Kajian ini dinilai sebagai berisiko bias tinggi kerana sebilangan besar peserta tidak dapat disusuli dan komplians penggunaan ubat kumur mulut tidak diukur.

Tiada hasil sekunder atau kesan sampingan yang dilaporkan dalam mana-mana kajian yang disertakan dalam kajian sistematik ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Lai Nai Ming ( School of Medicine, Taylor's University Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my 

Tools
Information
Share/Save