Fluorida untuk mencegah kerosakan awal gigi (lesi ternyahmineral) semasa rawatan pendakap tetap

Soalan ulasan
Tanda putih atau perang yang hodoh kadang kala muncul pada gigi semasa rawatan dengan pendakap gigi untuk meluruskan aturan gigi. Ia disebabkan oleh kerosakan gigi awal dan sering terbentuk dengan penggunaan pendakap yang menmbuat lebih sukar untuk membersihkan gigi.

Kita ketahui fluorida dalam ubat gigi membantu mencegah kerosakan gigi dan berpendapat jika fluorida tambahan diberi kepada orang yang memakai pendakap tetap, ia akan melindungi mereka daripada mendapat tanda-tanda tersebut. Matlamat ulasan Kesihatan Oral Cochrane ini adalah untuk melihat bagaimana fluorida membantu mencegah kerosakan awal gigi semasa rawatan dengan pendakap tetap dan mencari cara terbaik untuk mendapatkan fluorida untuk gigi.

Latar belakang
Memakai pendakap tetap membuat orang lebih sukar untuk menjaga kebersihan gigi mereka dan juga boleh menyebabkan sakit. Sakit boleh menyukarkan orang untuk memberus gigi. Ini boleh membawa kepada pengumpulan plak gigi di sekitar braket yang terlekat kepada gigi, dan jika plak kekal pada gigi untuk cukup lama, ia akan menyebabkan kerosakan awal gigi, yang dilihat sebagai tanda putih atau perang (lesi ternyahmineral, juga dikenali sebagai lesi tompok putih). Orang sering memakai pendakap gigi selama 18 bulan atau lebih dan jika kerosakan itu dibiarkan, ia boleh menyebabkan lubang, yang kadangkala cukup teruk dan memerlukan tampalan dibuat.

Fluorida membantu gigi untuk sembuh, mengurangkan kerosakan gigi dalam kalangan orang yang berisiko. Orang yang menerima rawatan pendakap tetap boleh diberi rawatan fluorida yang berbeza. Adalah penting untuk memikirkan bagaimana gigi mendapat fluorida. Adakah fluorida perlu diletakkan oleh doktor gigi atau jururawat pergigian, atau bolehkah orang yang mendapat rawatan pendakap gigi mengaplikasi fluorida kepada gigi mereka sendiri?

Ciri-ciri kajian
Ulasan ini adalah terkini sehingga 1 Februari 2019. Ulasan ini memasukkan 10 kajian tetapi kami hanya boleh menggunakan maklumat daripada sembilan kajian melibatkan 1798 orang yang dirawak. Kami telah meminta lebih maklumat di dalam satu kajian. Ulasan ini melihat kepada lapan cara berbeza mengaplikasi fluorida kepada gigi. Orang yang mengambil bahagian di dalam kajian-kajian tersebut semuanya menjalani rawatan dengan pendakap tetap. Bilangan orang dengan kerosakan gigi baharu di akhir rawatan pendakap tetap, serta amaun kerosakan di dalam setiap orang, telah diukur dan dikira.

Kami membandingkan rawatan-rawatan berikut:
- aplikasi fluorida oleh doktor gigi atau jururawat seperti varnis, gel atau buih,
- aplikasi fluorida oleh pesakit seperti ubat gigi, ubah kumur mulut, gel atau buih, dan
- bahan-bahan yang mengeluarkan fluorida dari seperti glu, gegelung elastik.

Keputusan utama
Satu kajian menunjukkan apabila doktor gigi mengaplikasi buih dengan paras fluorida yang tinggi ke atas gigi setiap kali pesakit dilihat, ia mungkin mengurangkan risiko kerosakan baru. Satu lagi kajian mendapati jika pesakit menggunakan ubat gigi dengan paras fluorida yang lebih tinggi daripada biasa, ini juga mungkin mengurangkan risiko tanda-tanda baharu pada gigi mereka.

Tiada kajian yang menunjukkan cara lain memberi fluorida tambahan kepada gigi mengurangkan bilangan dan/atau saiz kerosakan baharu pada gigi orang yang memakai pendakap tetap. Kesan mudarat pelbagai cara memberi lebih fluorida kepada gigi tidak dilaporkan di dalam mana-mana kajian yang dimasukkan.

Kepastian bukti
Tahap kepercayaan di dalam penemuan-penemuan ini adalah rendah, kerana kurangnya kajian menguji fluorida yang sama dan menunjukkan keputusan yang sama. Kami mencadangkan lebih banyak kajian yang dikendali dengan baik perlu dilakukan dalam bidang ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save