Pengepaman tiub untuk kurang kesuburan

Soalan ulasan

Pengarang Cochrane mengulas bukti mengenai kesan penggunaan media kontras yang berbeza semasa pengepaman tiub fallopio dalam kalangan wanita yang kurang subur.

Latar belakang

Tiub fallopio yang tersumbat bermaksud sperma tidak dapat sampai ke telur di dalam tiub. Menentukan sama ada tiub terbuka (paten) adalah penting dan memerlukan media kontras (pewarna) didorong melalui tiub sama ada pada masa sinar-x (hysterosalpingogram), semasa ultrasound (hysterosalpingo-kontras-sonografi) atau semasa pembedahan lubang kunci (laparoskopi). Ia telah dilaporkan bahawa ramai wanita hamil dalam tiga hingga enam bulan pertama setelah pengepaman tiub walaupun sebabnya adalah tidak jelas. Terdapat perdebatan sama ada media kontras larut minyak (OSCM) atau media kontras larut air (WSCM) harus digunakan kerana hal ini mungkin mempengaruhi kelahiran hidup. Kesan sampingan yang penting semasa prosedur adalah aliran balik medium kontras ke dalam saluran darah atau limfa, yang disebut intravasasi dan secara umumnya tidak bergejala.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga April 2020. Kami menyertakan kajian rawak terkawal (RCT) yang melihat kesan pengepaman tiub dengan OSCM dan WSCM antara satu sama lain atau tanpa rawatan dalam wanita yang kurang subur. Wanita-wanita ini adalah mereka yang tidak dapat hamil setelah sekurang-kurangnya enam bulan melakukan hubungan seksual tanpa perlindungan. Kami juga melihat kadar kesan sampingan, termasuk intravasasi, jangkitan dan pendarahan.

Keputusan utama

Lima belas kajian yang melibatkan 3864 wanita dimasukkan dalam ulasan sistematik ini. Berbanding tanpa rawatan, pegepaman tiub dengan OSCM dapat meningkatkan kemungkinan kelahiran hidup dan kehamilan klinikal. Bukti mencadangkan bahawa jika peluang kadar kelahiran hidup selepas tiada rawatan diandaikan 11%, maka peluang selepas pengepaman tiub dengan OSCM adalah di antara 16% dan 46%. Kami tidak pasti sama ada pengepaman tiub dengan WSCM meningkatkan kelahiran hidup atau kehamilan klinikal berbanding dengan tanpa rawatan. Bukti mencadangkan bahawa jika peluang kadar kelahiran hidup selepas tiada rawatan diandaikan 21%, maka peluang selepas pengepaman tiub dengan WSCM adalah di antara 15% dan 33%. Dalam perbandingan antara OSCM berbanding WSCM, data tidak cukup serupa untuk digabungkan dalam analisis meta. Pengepaman tiub dengan OSCM mungkin meningkatkan peluang kehamilan klinikal. Berkenaan dengan kesan sampingan, pengepaman tiub dengan OSCM mungkin meningkatkan peluang intravasasi (tidak bergejala) dibandingkan dengan pengepaman tiub dengan WSCM. Ini menunjukkan bahawa jika peluang kadar kelahiran hidup selepas pengepaman tiub dengan WSCM diandaikan 1%, maka peluang selepas pengepaman tiub dengan OSCM adalah di antara 2% dan 9%. Bukti mengenai kesan sampingan yang lain dilaporkan dengan lemah dan tidak dapat disimpulkan.

Kualiti bukti

Keseluruhan kepastian bukti adalah sangat rendah ke sederhana untuk semua perbandingan. Had utama adalah ketidaktepatan, risiko bias dan ketidakkonsistenan. Terlalu sedikit kajian untuk menilai risiko bias penerbitan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save