Soalan ulasan
Adakah rawatan farmaseutikal dapat mengurangkan kekerapan paparan emosi yang tidak diingini daripada orang yang mempunyai emosionalisme selepas strok berbanding dengan plasebo?
Latar belakang
Emosionalisme sering berlaku selepas strok. Emosionalisme bermaksud bahawa seseorang itu mempunyai kesukaran mengawal kelakuan emosi mereka. Orang ramai selepas mendapat strok mungkin tiba-tiba mula menangis atau lebih jarang, ketawa tanpa alasan yang jelas. Ini akan menyusahkan pesakit tersebut dan penjaga mereka. Antidepresan diketahui dapat membantu orang yang mengalami kemurungan, mungkin boleh menjadi rawatan yang berkesan untuk emosionalisme selepas strok (angin ahmar), tetapi hanya terdapat sedikit kajian rawak terkawal dalam bidang ini.
Tarikh carian
Kami mengenal pasti kajian melalui carian yang dijalankan pada 14 Mei 2018.
Ciri-ciri kajian
Kami melibatkan tujuh kajian rawak terkawal yang melibatkan 239 peserta dalam ulasan ini, di mana kajian-kajian tersebut melaporkan penggunaan antidepresan untuk rawatan emosionalisme. Kajian-kajian tersebut memasukkan jumlah perserta dari yang kecil (10 peserta) sehingga yang besar (92 peserta). Umur purata / median peserta adalah dari 57.8 tahun sehingga 73 tahun. Kajian adalah dari Eropah (UK: 1, Denmark: 1, Scotland: 1, dan Sweden: 1); Asia (Korea Selatan: 1; dan Jepun: 1); dan Amerika Syarikat: 1.
Keputusan utama
Kami melibatkantujuh kajian yang melibatkan 239 peserta (kami mengenal pasti tiada ujian baru sejak versi ulasan yang sebelumnya). Dua kajian menggunakan reka bentuk perentasan, dan data hasil tidak tersedia dari fasa pertama (sebelum perentasan) dalam format yang sesuai untuk dimasukkan sebagai kajian rawak terkawal (RCT) yang selari. Data hanya tersedia untuk lima kajian dengan 213 peserta. Kami telah memerhati beberapa kesan rawatan seperti yang berikut: Pengurangan 50% dalam emosionalisme, penambahbaikan (pengurangan) dalam labiliti, Tanggapan Perubahan berdasarkan Temuduga Doktor (CIBIC), berkurangnya tangisan dan skor pada Skala Ketawa dan Menangis Patologi (PLCS). Walau bagaimanapun, selang keyakinan yang luas menunjukkan bahawa rawatan mungkin hanya mempunyai kesan positif yang kecil, atau kesan negatif yang kecil (dalam satu kajian). Enam kajian telah melaporkan kematian sebagai peristiwa buruk dan tidak mendapat apa-apa perbezaan di antara kumpulan.
Kualiti bukti
Kami menilai bukti-bukti tersebut dari sangat rendah sehingga sederhana kerana kajian-kajian tersebut adalah kecil dengan tahap berat sebelah yang tertentu.
Kesimpulan
Ubat-ubatan antidepresan kelihatan dapat mengurangkan gejala jeritan atau ketawa. Lebih banyak kajian dengan penilaian sistematik dan pelaporan peristiwa buruk diperlukan untuk memastikan manfaat benar-benar melebihi risiko untuk rawatan ini.
Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi raymondchieng@gmail.com