Rawatan dengan toksin botulinum jenis A untuk orang dengan postur kepala di luar kawalan, atau distonia servikal

Soalan ulasan

Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane. Kami menilai keberkesanan (pengurangan keparahan, kehilangan upaya, dan kesakitan) dan keselamatan toksin botulinum jenis A (BtA) berbanding plasebo (ubat pura-pura) dalam orang dengan posisi kepala di luar kawalan, atau distonia servikal

Latar belakang

Distonia servikal, juga dipanggil tortikolis spasmodik, adalah gangguan yang menyebabkan perletakan kepala yang tidak diingini, tidak terkawal, biasanya menyakitkan, dan tidak normal. Ia adalah keadaan yang agak jarang (menjejaskan 57 hingga 280 orang per sejuta) yang boleh menjadi sangat melumpuhkan, dan boleh memberi kesan negatif kepada kualiti hidup seseorang. Dalam kebanyakan kes, penyebabnya adalah tidak diketahui; tiada penawar wujud. Disebabkan distonia servikal biasanya merupakan gangguan jangka panjang, ia memerlukan rawatan jangka panjang.

Toksin botulinum adalah bahan kimia semula jadi yang kuat yang boleh menyebabkan kelumpuhan teruk (ketidakupayaan untuk bergerak pada bahagian badan di mana ia disuntik) dalam haiwan dan manusia. Ia juga boleh digunakan untuk merawat pelbagai keadaan, khususnya, mereka dengan pengecutan otot di luar kawalan, seperti distonia servikal. Toksin botulinum diberikan melalui suntikan ke dalam otot yang mengecut untuk menghasilkan kebanyakan gejala-gejala gangguan tersebut. Terdapat pelbagai jenis toksin botulinum, tidak semuanya tersedia untuk merawat keadaan kesihatan. BtA biasanya dianggap pilihan rawatan pertama dalam distonia servikal.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari penulisan perubatan sehingga Julai 2020. Kami menemui sembilan kajian yang membandingkan rawatan dengan BtA berbanding plasebo, dan menyertakan sejumlah 1144 peserta, dengan rata-rata dengan purata, penyakit sederhana. Peserta kekal dalam kebanyakan kajian tersebut selama 16 hingga 20 minggu selepas rawatan. Purata usia orang di dalam kajian-kajian tersebut adalah 52.8 tahun, dan mereka mempunyai distonia servikal selama purata 4.8 hingga 12.1 tahun sebelum mengambil bahagian dalam kajian-kajian tersebut. Enam puluh empat peratus orang dalam kajian-kajian tersebut adalah wanita. Lapan daripada sembilan kajian dibiayai oleh pengilang ubat dengan kemungkinan berkepentingan dalam keputusan kajian-kajian tersebut.

Keputusan utama

Keputusan menunjukkan bahawa satu sesi rawatan menambah baik gejala-gejala distonia servikal, termasuk kesakitan, dan penilaian diri peserta. Walau bagaimanapun, risiko mengalami kejadian yang tidak menyenangkan atau tidak diingini, terutamanya kesukaran menelan, keletihan, dan kelemahan leher, juga meningkat. Hanya tiga kajian mengkaji kesan BtA terhadap kualiti hidup, menunjukkan beberapa manfaat dari BtA.

Kepastian tentang bukti

Terdapat kepastian sederhana dalam bukti untuk penambahbaikan keseluruhan dan kesakitan, dan risiko kejadian yang tidak diingini. Terdapat kepastian tinggi dalam bukti bahawa peserta melaporkan peningkatan penilaian diri, dan risiko peserta tidak tahan dengan rawatan.

Untuk disertakan dalam kajian-kajian tersebut, peserta mesti mempunyai sejarah rawatan dengan BtA yang berjaya. Orang dengan distonia servikal jenis tertentu, khususnya jenis yang membuatkan kepala berpusing kebanyakannya ke belakang atau ke depan, tidak dibenarkan untuk menyertai kajian-kajian ini; diketahui bahawa ia tidak bertindak balas dengan baik terhadap rawatan toksin botulinum. Oleh itu, kesimpulan dari ulasan ini mungkin tidak boleh digunakan untuk semua orang dengan distonia servikal.

Kami tidak boleh membuat kesimpulan mengenai kesan jangka panjang BtA untuk keadaan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information