Rawatan gigi hadapan bawah yang jongang dalam kalangan kanak-kanak.,

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Terdapat pelbagai cara merawat pesakit yang mempunyai gigi hadapan bawah yang jongang. Rawatan ortodontik untuk kanak-kanak dan remaja adalah satu kaedah yang digunakan. Ulasan yang dibuat oleh Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane ini bertujuan mengenalpasti rawatan ortodontik yang paling berkesan dibuat dalam masa kanak-kanak; sama ada rawatan-rawatan ini mengurangkan keperluan rawatan apabila dewasa, apakah umur yang sesuai untuk menjalankan rawatan bagi memastikan perubahan yang dibuat kepada bentuk rahang dan pengaturan gigi dapat kekal hingga ke akhir pertumbuhan dan dikekalkan sehingga dewasa.

Dalam kes-kes yang teruk, surgeri mungkin diperlukan oleh orang dewasa untuk membetulkan keadaan. Jika pendekatan kepada rawatan dalam kalangan kanak-kanak berjaya dibuat dengan kesan yang berpanjangan, surgeri mungkin tidak diperlukan lagi. Tambahan juga, risiko kecederaan gigi dan sendi, bersama dengan kesan psikologi negatif yang berkaitan dengan keadaan, boleh dikurangkan atau dielakkan.

Latarbelakang

Gigi hadapan bawah yang jongang merupakan masalah bagi sesetengah orang dan adalah disebabkan oleh cara rahang bertemu di antara satu sama lain. Keadaan ini boleh menjadi punca ejekan, masalah memakan dan kadangkala bermasalah dengan pertuturan. Keadaan ini juga boleh membawa masalah kepada rahang kemudian hari. Rawatan ortodontik bergantung kepada penggunaan pelbagai aplians sama ada di dalam atau di luar mulut yang diikat kepada gigi, dan kadangkala diletak kepada bahagian-bahagian kepala, untuk mempengaruhi pertumbuhan rahang dan posisi gigi.

Ulasan ini melihat penggunaan empat jenis rawatan ortodontik untuk membetulkan gigi hadapan bawah yang jongang dalam kalangan kanak-kanak.

-Penutup muka: aplians yang diletak pada dahi dan dagu, yang disambungkan kepada gigi atas dengan jalur elastik yang dipasang oleh pemakai.Melalui susunan ini daya yang seimbang diaplikasi, agar dapat menarik gigi atas dan rahang ke hadapan dan ke bawah untuk membetulkan gigi bawah yang jongang.

Cawan dagu: satu aplians yang diletak pada dagu dengan tali di bahagian belakang kepala. Pertumbuhan ke hadapan rahang dirintang, bagi membetulkan gigi bawah hadapan yang jongang. Tiada apa-apa yang diletakkan di dalam mulut.

-Alat kepala mandibular: tali yang diletak di bahagian belakang kepala dan disambung kepada gigi bawah. Ini merintangi pertumbuhan ke hadapan gigi bawah dan rahang untuk membetulkan gigi hadapan bawah yang jongang.

-Aplians busur tarikan tandem: atakmen dilekatkan kepada gigi atas dan bawah. Di atakmen atas, terdapat cangkuk di kedua-dua belah Bar logam diletakkan di atakmen bawah, yang terletak di hadapan gigi bawah. Satu jalur elastik kemudian diletak di setiap sisi untuk menarik rahang atas dan bawah ke belakang bagi membetulkan gigi bawah yang jongang.

Ciri kajian

Bukti ulasan ini didasarkan adalah terkini sehingga 7 Januari 2013.

Sejumlah tujuh kajian dikenapasti dan dimasukkan dalam ulasan ini, melibatkan 339 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun. Terdapat lebih kurang sama bilangan lelahi dan perempuan dalam setiap kajian, bergantung kepada lokasi kajian dibuat. Kajian yang dimasukkan telah dibuat di Turki, Mesir, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Keputusan utama

Ulasan ini mendapati bukti bahawa penggunaan aplians penutup muka boleh membantu membetulkan gigi bawah hadapan yang jongang dala jangkamasa pendek. Tiada bukti sedia ada untuk menunjukkan sama ada perubahan jangkamasa pendek ini akan berkekalan sehingga kanak-kanak telah membesar sepenuhnya. Tiada cukup bukti untuk menyokong sebarang jenis rawatan untuk gigi hadapan bawah yang jongang.

Kualiti bukti

Kualiti bukti untuk penggunaan penutup muka adalah sederhana hingga rendah, kualiti bukti lain adalah sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my