Mesej utama
Rawatan ortodontik bukan pembedahan dan pembedahan semasa kanak-kanak dapat memperbaiki gigitan dan kedudukan rahang. Kami tidak tahu berapa lama kesan ini bertahan.
Kajian masa depan harus cukup lama untuk mengetahui sama ada merawat pesakit semasa kanak-kanak mencegah keperluan pembedahan rahang semasa dewasa.
Apa itu 'underbite'?
Gigi depan bawah yang jongang ('underbite') boleh terjadi akibat rahang atas (maksila) terlalu jauh ke belakang, rahang bawah (mandibel) terlalu jauh ke hadapan, gigi depan atas menghala ke belakang, gigi depan bawah menghala ke hadapan, atau gabungan. ‘Underbite’ boleh mengakibatkan ejekan, kesukaran makan dan masalah sendi rahang.
Bagaimanakah ia dirawat?
Rawatan ortodontik untuk ‘underbite’ melibatkan pendakap gigi yang dipasang di dalam atau di luar mulut dan dilekatkan pada gigi, atau pendakap gigi yang dipasang di keliling kepala. Pendakap menggalakkan rahang atas dan gigi atas bergerak ke hadapan dan ke bawah, atau menyekat pertumbuhan rahang bawah, atau kedua-duanya.
Apakah yang kami ingin tahu?
Ulasan ini, yang mengemas kini versi 2013, bertujuan untuk mengetahui kesan rawatan ortodontik untuk ‘underbite’ dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan satu jenis pendakap untuk ‘underbite’ dengan pendakap jenis lain atau tiada rawatan. Kami merumuskan keputusan dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami temui 29 kajian, yang melibatkan 1169 kanak-kanak berumur 5 hingga 13 tahun ketika rawatan bermula. Kebanyakan kajian berlangsung antara 5 dan 18 bulan, dan menilai hasil pada tamat rawatan. Hanya satu kajian yang menilai hasil selepas tamat rawatan. Kajian-kajian menggunakan pelbagai jenis pendakap gigi, termasuk jenis berikut.
Topeng muka: terletak pada dahi dan dagu dan disambung kepada gigi atas dengan aplians pengembang - yang meluaskan rahang atas untuk mewujudkan lebih ruang atau membetulkan masalah gigitan - dengan tali elastik yang diletakkan oleh pemakai. Daya menyebabkan gigi dan rahang atas bergerak ke hadapan dan ke bawah.
Cawan dagu: terletak di dagu dengan tali di bahagian belakang kepala untuk mengurangkan pertumbuhan rahang bawah ke hadapan.
Aplians boleh tanggal ortodontik (ORTA): applians pengembangan diletakkan pada gigi atas. Tali elastik diletak oleh pemakai dari situ kepada pendakap ‘gumshield’ lutsinar boleh tanggal di gigi bawah. Daya yang terhasil menarik gigi atas ke hadapan dan ke bawah dan gigi bawah ke belakang.
Blok Berkembar Berbalik dengan pad bibir dan aplians pengembangan: pendakap gigi boleh tanggal atas dan bawah dengan skru pengembangan di pendakap atas, blok plastik di atas gigi sisi, bersudut untuk memegang rahang bawah ke belakang, dan pad plastik untuk menahan bibir atas dari gigi.
Aplians busur traksi tandem: pelekatan dilekatkan pada gigi atas dan bawah. Pelekatan atas mempunyai cangkuk di setiap sisi. Bar logam diletak di pelekatan bawah, yang terletak di hadapan gigi bawah. Tali elastik diletak di setiap sisi untuk menarik rahang atas ke hadapan dan rahang bawah ke belakang.
Miniplat pembedahan : plat logam, dipasang pada tulang dengan skru mini, diletak di bawah gusi semasa operasi. Mereka mempunyai cangkuk yang mana tali elastik diletak oleh pemakai di antara rahang atas dan bawah atau kepada topeng muka.
Keputusan utama
Menggabung kajian-kajian, kami mendapati rawatan ortodontik bukan pembedahan dan rawatan ortodontik pembedahan dengan miniplat dapat memperbaik gigitan dan hubungan rahang dengan ketara, sejurus selepas rawatan.
Hanya satu kajian, yang menilai topeng muka, melihat kepada kesan jangka panjang pendakap gigi. Pembaikan kedudukan gigitan dan rahang dilihat selepas tiga tahun, tetapi kelihatan hilang selama enam tahun. Walaupun begitu, pakar ortodontik menilai kanak-kanak yang telah menerima rawatan topeng muka kurang cenderung perlukan pembedahan rahang pada masa dewasa berbanding yang tidak menjalani rawatan ini. Lebih banyak kajian jangka panjang diperlukan untuk mengetahui tempoh manfaat rawatan ortodontik bertahan.
Kami menggabung hasil-hasil kajian yang membandingkan rawatan topeng muka dengan rawatan lain. Ini tidak menunjukkan intervensi lain lebih unggul berbanding topeng muka, tetapi terdapat banyak variasi dalam data, oleh itu kami tidak dapat membuat kesimpulan yang boleh dipercayai.
Mungkin tiada kelebihan untuk mengguna topeng muka dengan pembedahan miniplat, tetapi bukti adalah tidak pasti dan penyelidikan lanjut diperlukan.
Menggunakan topeng muka tanpa aplians pengembangan boleh berfungsi seperti aplians pengembangan. Bergantian antara pengembangan dan penyempitan mungkin tidak berbeza dengan pengembangan sahaja. Walau bagaimanapun, bukti variasi topeng muka adalah tidak pasti. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan terapi topeng muka yang optimum.
Apakah batasan bukti?
Kajian-kajian adalah kecil dan semua orang yang terlibat tahu apa rawatan ortodontik yang diterima oleh anak-anak mereka. Keyakinan kami terhadap bukti adalah dari sangat rendah kepada sederhana. Kami tahu rawatan ortodontik bukan pembedahan dan pembedahan semasa kanak-kanak dapat merawat ‘underbite’ dengan berkesan, tetapi tempoh manfaat ini boleh bertahan adalah tidak pasti. Sama ada satu rawatan ortodontik lebih berkesan daripada yang lain adalah tidak pasti.
Adakah bukti ini mutakhir?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).