Intervensi bagi merawat gumpalan saluran darah yang tidak normal di dalam otak dewasa

Persoalan

Adakah rawatan bagi gumpalan saluran darah tidak normal di dalam otak mampu mencegah kematian, kehilangan upaya dan strok akibat pendarahan berbanding rawatan perubatan biasa?

Latar belakang

Gumpalan saluran darah tidak normal di dalam otak, juga dikenali sebagai arteriovenous malformation (AVM) adalah merupakan satu-satunya penyebab utama strok yang diakibatkan oleh pendarahan di dalam otak (pendarahan otak intraserebral) dalam kalangan orang dewasa muda. AVM otak juga boleh menyebabkan orang muda mengalami kehilangan upaya untuk seumur hidup serta menyebabkan epilepsi. Bagaimana mereka sepatutnya dirawat masih mempunyai banyak kontroversi. Pilihan utama adalah: 1) rawatan perubatan bagi sawan epilepsi dan sakit kepala (juga dikenali sebagai ‘rawatan konservatif’); atau 2) menggunakan satu atau lebih rawatan ‘intervensi’ berikut: neurosurgeri, embolisasi endovaskular (gam, gelungan, atau zarah dimasukkan ke dalam AVM melalui kateter yang dimasukkan ke dalam pangkal paha untuk sementara waktu), atau radiosurgeri (rawatan bukan invasif yang meilbatkan sinaran radiasi bertumpu).

Tarikh carian

14 Januari 2019

Ciri-ciri kajian

Kami menemui satu kajian terkawal (RCT) yang telah diterbitkan, melibatkan 226 peserta dewasa.

Dapatan utama

Kami mendapati bukti kajian yang berkualiti sederhana tentang bahaya (strok yang disebabkan oleh pendarahan di dalam otak, dan kematian atau kebergantungan) sepanjang susulan selama satu tahun daripada rawatan intervensi berbanding rawatan konservatif dalam kalangan dewasa yang mempunyai AVM otak yang tidak pernah berdarah. Risiko jangka panjang adalah tidak diketahui.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah sederhana kerana hanya terdapat satu kajian sahaja dan ia tidak menggunakan kaedah pembutaan. Maklumat lanjut boleh didapati dari tiga kajian yang sedang dijalankan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amalin Najiha Mohd Sabri (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information