Perencat aromatase untuk rawatan kanser payudara lanjutan dalam kalangan wanita pascamenopaus

Kanser payudara lanjutan (atau metastatik) adalah kanser yang telah merebak ke luar kawasan payudara dan ke luar kawasan kelenjar limfa setempat. Kanser payudara boleh menjadi metastatik walaupun pesakit tersebut telah menjalani pelbagai terapi setelah rawatan awal, seperti pembedahan, terapi kemoterapi atau radiasi. Kanser payudara metastatik boleh diubati tetapi tidak boleh disembuhkan. Sebilangan besar kanser payudara adalah sensitif terhadap hormon estrogen wanita. Sel-sel kanser yang sensitif memerlukan estrogen untuk terus hidup dan penyingkiran estrogen daripada badan, atau penghentian kemasukan sebarang estrogen berkitar ke dalam sel-sel barah, merupakan rawatan yang sangat berkesan untuk kanser payudara yang sensitif terhadap hormon. Terapi endokrin (hormon) akan menghilangkan pengaruh estrogen atas sel kanser payudara. Rawatan hormon untuk kanser payudara lanjut termasuk tamoxifen, progestin seperti megestrol asetat dan medroxyprogesterone asetat, dan perencat aromatase (AIs). AI mampu mengurangkan keupayaan tubuh badan untuk menghasilkan (mensintesis) estrogen dan mempunyai kesan kemunduran tumor. AI yang berada dalam penggunaan klinikal terkini termasuk anastrozole, exemestane, dan letrozole.

Ulasan sistematik ini adalah bertujuan untuk membandingkan AI dengan terapi endokrin yang lain dalam rawatan kanser payudara lanjutan (metastatik). Satu pencarian sistematik yang telah dijalankan telah mengenal pasti 37 kajian terkawal di mana lebih daripada 14,000 wanita diagihkan secara rawak kepada kumpulan rawatan. Rawatan dengan AI telah meningkatkan kelangsungan hidup bagi wanita dengan penyakit metastatik sebanyak 10%. Manfaat keseluruhan atas kelangsungan hidup bebas penyakit dan tindak balas tumor bagaimanapun adalah tidak jelas berdasarkan kajian yang disertakan dalam ulasan ini. Kajian yang menggunakan AI sebagai terapi barisan pertama dan kedua telah melaporkan manfaat terapi yang berbeza dengan AI dan ukuran keberkesanan yang berbeza. Kami tidak dapat mengenal pasti subkumpulan wanita tertentu yang mungkin memperolehi manfaat daripada penggunaan AI.

Ketoksikan (kesan sampingan negatif) juga tidak dilaporkan dengan baik dalam kajian-kajian tersebut. Apabila ia dilaporkan, terdapatnya variasi dalam cara yang digunakan untuk laporan, jenis ketoksikan yang dilaporkan, dan juga dalam kriteria yang digunakan untuk menilai ketoksikan. Walaupun begitu, data ketoksikan adalah sedia ada untuk 26 daripa 32 kajian di mana AI telah dibandingkan dengan bukan AI. AI menunjukkan persamaan dalam tahap kesakitan arthritic (arthralgia) dan sensani panas (terutamanya apabila dibandingkan dengan tamoxifen); peningkatan risiko ruam, cirit-birit, mual dan muntah; tetapi penurunan risiko pendarahan faraj dan kejadian pembekuan darah (tromboemboli) berbanding dengan terapi endokrin yang lain. Hanya data kualiti hidup (QOL) terhad yang telah diberikan dan, oleh itu, tidak ada kesimpulan yang boleh dibuat oleh ulasan ini mengenai kesan terhadap QOL yang berkaitan dengan AI berbanding bukan AI. Ini adalah disebabkan oleh perbezaan antara peserta dan profil kesan sampingan ejen yang digunakan, kaedah penggunaan ubat yang berbeza (suntikan berbanding tablet), dan penggunaan empat instrumen QOL yang berbeza pada beberapa titik waktu yang berbeza, beberapa yang memberikan hasil responden berbanding bukan-respon dan bukannya oleh kumpulan rawatan. Sebilangan langkah QOL adalah berdasarkan kepada gejala yang dilaporkan oleh doktor dan bukannya gejala yang dilaporkan pesakit.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information