Kejadian simptom neurologi transien berikutan anestesia spinal dengan lidocaine berbanding anestesia setempat lain dalam kalangan dewasa yang menjalani pembedahan

Soalan ulasan

Kami ingin menentukan jika simptom neurologi transien (TNS) berlaku lebih kerap setelah pemulihan anestesia spinal dengan lidocaine berbanding anestesia setempat lain dalam kalangan dewasa. Simptom-simptom adalah sakit ringan hingga teruk di bahagian punggung dan kaki yang berterusan selama beberapa hari. Kami juga melihat kepada gangguan deria atau motor yang berpanjangan akibat kecederaan saraf oleh anestetik setempat, dikenali sebagai komplikasi neurologi.

Latar belakang

Sakit ringan pada bahagian bawah belakang adalah rungutan biasa berikutan anestesia spinal (di mana anestetik setempat disuntik ke dalam kolum spinal berbanding penggunaan anestetik umum ke seluruh badan. Orang-orang juga mungkin mengalami sakit kepala dan tekanan darah rendah. Simptom-simptom TNS adalah berlainan. Ia timbul dalam tempoh beberapa jam hingga 24 jam selepas anestesia spinal dan mungkin berterusan untuk dua hingga lima hari.

Lidocaine (sejenis anestetik setempat) masih diguna untuk anestesia spinal kerana lidocaine unik dari segi jangka tindakan yang pendek, sekatan intensif, pemulihan yang cepat dan kesesuaian untuk pembedahan kes harian, tetapi alternatif adalah diperlukan.

Ulasan asal diterbitkan pada 2005 dan dikemaskini pada 2009.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan semua kajian rawak dan kuazi-rawak yang membandingkan kekerapan TNS dan komplikasi neurologi selepas anestesia spinal dengan lidocaine berbanding agen anestetik setempat lain. Kajian rawak membandingkan dua atau lebih rawatan di mana rawatan diperuntukkan kepada peserta secara rawak yang tidak boleh diramal oleh penganjur kajian. Kajian kuasi-rawak adalah serupa namun tidak betul-betul rawak, tetapi penganjur lebih mungkin boleh meramal rawatan yang diterima oleh peserta (berdasarkan tarikh lahir atau susunan peserta direkrut).

Bukti adalah terkini sehingga 25 November 2018.

Keputusan utama

Kami memasukkan 24 kajian yang melaporkan 2226 peserta, 239 dari peserta mempunyai TNS. Tiada bukti TNS dikaitkan dengan sebarang penyakit neurologi spesifik dan simptom-simptom hilang secara spontan pada hari kelima pascabedah. Risiko terjadi TNS selepas anestesia spinal dengan lidocaine meningkat berbanding bupivacaine, prilocaine atau procaine; dan serupa berbanding 2-chloroprocaine dan mepivacaine.

Secara khusus, apabila anestetik setempat alternatif dibandingkan secara langusung dengan lidocaine, risiko TNS menurun antara 82% dan 90% apabila bupivacaine, levobupivacaine, prilocaine, procaine dan ropivacaine digunakan berbanding dengan lidocaine. Tiada perbezaan yang jelas dalam TNS antara lidocaine dan 2-chloroprocaine atau mepivacaine. Di dalam kes 2-chloroprocaine, TNS berlaku dalam hanya satu kajian dan keputusan sangat berbeza kerana bilangan peserta yang kecil. Simptom sakit berhenti pada hari kelima pascabedah dalam kalangan semua peserta. Dalam kalangan wanita hamil yang menjalani pembedahan, hanya 3/310 mengalami TNS; tiada rumusan dapat dibuat sama ada simptom-simptom lebih kerap dengan lidocaine.

Para penulis juga menggunakan kaedah statistik rangkaian meta-analisis untuk membandingkan anestetik setempat yang berlainan. Analisis ini menunjukkan risiko TNS ada;lah rendah untuk bupivacaine, levobupivacaine, prilocaine, procaine, dan ropivacaine, manakala 2-chloroprocaine dan mepivacaine tidak berbeza dalam risiko TNS berbanding lidocaine.

Kualiti bukti

Oleh kerana kualiti bukti adalah ringan hingga sederhana dalam kajian-kajian sedia ada, penyelidikan lanjut diperlukan dalam bidang ini untuk menilai alternatif kepada lidocaine yang boleh menghasilkan anestesia berkualiti tinggi tanpa menyebabkan TNS.

Rumusan

Lidocaine telah menjadi ubat pilihan untuk anestesia spinal untuk pembedahan ambulatori (atau pembedahan harian) kerana permulaan tindakan yang cepat, sekatan saraf yang intensif, dan jangka tindakan yang pendek. Ulasan ini menunjukkan lidocaine lebih mungkin menyebabkan TNS berbanding bupivacaine, prilocaine, dan procaine. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini menghasilkan kesan anestetik setempat yang lebih panjang dan tidak wajar untuk pesakit ambulatori.

Keputusan kami mencadangkan 2-chloroprocaine mungkin merupakan alternatif yang berkesan berbanding lidocaine untuk pembedahan harian bertempoh pendek dan prosedur obstetrik kerana anestetik setempat ini mempunyai permulaan tindakan yang cepat, metabolisme cepat, dan toksisiti rendah. Walau bagaimanapun, rumusan ini adalah berdasarkan hanya dua kajian dan bukti berkualiti rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Roshan Arjun Ananda (Monash University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save