Adakah ubat anti-kulat untuk jangkitan yis vagina/faraj (thrush) berfungsi lebih baik jika diambil melalui mulut (secara oral) atau diletakkan ke dalam vagina (intravaginally)?

Apakah thrush?

Thrush (kandidiasis) adalah jangkitan faraj yang biasanya disebabkan oleh sejenis kulat yang dipanggil yis. Gejala-gejala termasuk gatal dan kerengsaan di sekitar faraj dan juga lelehan putih dari faraj. Jangkitan kulat vagina biasanya tidak berbahaya tetapi ianya tidak selesa.

Rawatan yang lazim adalah dengan ubat anti-kulat. Ini boleh diambil melalui mulut (secara oral) atau dimasukkan ke dalam faraj (secara intravaginally).

Mengapa kami melakukan Kajian Cochrane ini

Kami ingin mengetahui sama ada ubat anti-kulat oral berfungsi lebih baik daripada ubat anti-kulat intravaginal untuk merawat jangkitan kulat vagina.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian mengenai ubat anti-kulat untuk rawatan jangitan kulat vagina yang membandingkan anti-kulat oral dengan anti-kulat intravaginal.

Kajian-kajian secara rawak dan terkawal telah dicarikan, di mana rawatan yang diterima oleh seseorang telah ditentukan secara rawak, ini adalah kerana kajian seperti ini boleh memberikan bukti rawatan yang paling boleh dipercayai.

Kami berminat untuk mengetahui seberapa baik dan cepat ubat anti-kulat dapat menghilangkan jangkitan kulat vagina dan mengurangkan gejala-gejala, sama ada rawatan tersebut mempunyai kesan yang tidak diingini, dan juga sama ada wanita-wanita lebih memilh rawatan ubat oral atau intravaginal.

Tarikh carian: Kami telah merangkumi bukti-bukti yang diterbitkan sehingga 29 August 2019.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 26 kajian dalam 5007 wanita-wanita yang mengalami jangkitan kulat vagina dan dirawati dengan ubat anti-kulat yang dipanggil azoles. Kajian-kajian tersebut dijalankan di Eropah, Amerika Syarikat, Thailand, Iran, Jepun dan Nigeria. Lapan azoles telah dikaji: 2 ubat oral (fluconazole dan itraconazole) dan 6 ubat intravaginal (butoconazole, clotrimazole, econazole, miconazole, sertaconazole dan terconazole).

Kajian-kajian tersebut mengkaji sama ada kesan ubat anti-kulat oral dan ubat intravagina akan membawa kepada:

• tiada simptom (penyembuhan klinikal);
• tiada yis yang terdapat di dalam vagina (penawar mikologi); atau
• kesan yang tidak diingini yang menyebabkan wanita-wanita berhentikan rawatan.

Tidak ada kajian yang melaporkan kos ubat anti-kulat oral atau intravaginal.

Apakah keputusan ulasan kami?

Penyembuhan klinikal (tiada gejala) adalah serupa dengan ubat anti-kulat oral dan intravaginal dalam jangka masa pendek (5 hingga 15 hari; 13 kajian), dan jangka masa panjang (2 hingga 12 minggu; 9 kajian). Sama ada ubat anti-kulat adalah secara oral atau intravaginal, mungkin tidak ada beza untuk menghilangkan gejala jangkitan kulat vagina.

Walau bagaimanapun, rawatan ubat anti-kulat secara oral mungkin merawat yis dari faraj (penawar mikologi) lebih baik daripada ubat intravagina dalam jangka masa pendek (19 kajian) dan jangka masa panjang (13 kajian).

Hanya tiga wanita yang berhenti menggunakan ubat anti-kulat kerana kesan yang tidak diingini (23 kajian); risiko wanita berhenti rawatan dengan ubat oral atau ubat anti-kulat intravaginal adalah rendah.

Bilangan orang yang melaporkan kesan-kesan yang tidak diingini adalah serupa: sama ada ubat adalah anti-kulat oral atau intravaginal, mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap kesan-kesan yang tidak diingini (13 kajian). Gejala sakit kepala dan pencernaan lebih kerap berlaku melalui pengunaan ubat anti-kulat oral; kesan anti-kulat intravaginal yang tidak diingini biasanya hanya mempengaruhi kawasan faraj.

Hasil kajian kami menunjukkan bahawa wanita-wanita mungkin lebih suka mengambil ubat anti-kulat oral berbanding dengan ubat intravaginal (12 kajian).

Sama ada ubat anti-kulat adalah oral atau intravaginal mungkin tidak berbeza untuk menghilangkan gejala jangkitan kulat vagina.

Adakah keputusan ini boleh dipercayai?

Kami cukup yakin dengan penemuan kami untuk rawatan jangkitan kulat vagina secara klinikal dan mikologi. Keputusan ini mungkin boleh berubah sekiranya terdapat bukti-bukti yang lebih lanjut. Kami yakin bahawa risiko adalah rendah untuk wanita berhentikan rawatan kerana kesan-kesan ubat anti-kulat yang tidak diingini, dan bukti-bukti selanjutnya tidak mungkin akan mengubahkan kesan ini.

Kami kurang yakin dengan jumlah kesan-kesan yang tidak diingini, rawatan pilihan, dan seberapa cepat gejala boleh pulih. Hasil ini mungkin berubah sekiranya terdapat bukti-bukti yang lebih lanjut tersedia.

Sepuluh kajian telah menerima bantuan syarikat farmaseutikal, dan ini mungkin boleh mempengaruhi bagaimana kajian-kajian tersebut dirancang, dijalankan dan dilaporkan. Hasil dari beberapa kajian bercanggah dan tidak dilaporkan secara konsisten; dan wanita-wanita yang mengetahui rawatan yang diterima boleh mempengaruhi keputusan yang dilaporkan.

Kesimpulan

Ubat anti-kulat oral mungkin boleh merawat yis dari faraj lebih baik daripada ubat anti-kulat intravaginal, walaupun terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara mereka untuk menghilangkan gejala jangkitan kulat vagina.

Risiko untuk wanita-wanita berhenti rawatan disebabkan kesan-kesan yang tidak diingini oleh ubat anti-kulat oral dan intravaginal adalah rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Jasmine Lee. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save