Latihan treadmil dan penyokong berat badan untuk berjalan selepas strok

Soalan Kajian: Kami ingin menilai sama ada latihan berjalan di atas treadmil dengan pemakaian penyokong badan sebagai satu-satunya bentuk latihan atau kombinasi dengan latihan yang berlainan akan meningkatkan keupayaan berjalan apabila berbanding dengan kaedah latihan berjalan yang lain atau tanpa sebarang rawatan. Ini ialah kemaskini ulasan Cochrane yang mula-mulanya diterbitkan pada tahun 2003 dan kemudian dikemaskini pada tahun 2005 dan 2014.

Latar Belakang:Kira-kira 60% pesakit yang mengalami strok menghadapi masalah untuk berjalan. Peningkatan keupayaan berjalan merupakan salah satu objektif rehabilitasi. Latihan treadmil sama ada dengan atau tanpa penyokong berat badan menggunakan peralatan yang khusus untuk membantu latihan berjalan.

Ciri-ciri Kajian: Sehingga bulan Mac 2017, kami telah menemui 56 kajian yang berkenaan dengan sejumlah 3105 peserta. Dua puluh enam buah kajian (1410 orang peserta) membandingkan latihan treadmil dengan penyokong berat badan dengan rawatan fisioterapi; 20 buah kajian (889 orang peserta) membandingkan latihan treadmil tanpa penyokong berat badan dengan rawatan fisioterapi yang lain, tanpa rawatan atau rawatan palsu (rawatan yang menyerupai rawatan yang dikaji tetapi sepatutnya tidak membawa sebarang kesan-kesan klinikal); dua buah kajian (100 orang peserta) membandingkan latihan treadmil dengan penyokong berat badan dengan latihan treadmil tanpa penyokong berat badan; dan empat buah kajian (147 orang peserta) tidak menyatakan sama ada penyokong berat badan digunakan. Purata umur para peserta ialah 60 tahun. Kajian-kajian tersebut dijalankan dalam persekitaran pesakit luar and pesakit dalaman.

Keputusan Utama: Sebahagian keputusan ulasan ini adalah tidak konklusif. Pesakit-pesakit strok yang menerima latihan treadmil sama ada dengan atau tanpa penyokong berat badan tidak lebih cenderung mencapai keupayaan berjalan sendiri tanpa bantuan. Kualiti bukti ini adalah rendah. Namun demikian, latihan treadmil sama ada dengan atau tanpa penyokong berat badan mungkin meningkatkan kelajuan berjalan dan kapasiti berjalan berbanding dengan pesakit-pesakit yang tidak menerima latihan treadmil. Kualiti bukti ini adalah sederhana. Lebih khususnya, pesakit-pesakit strok yang mampu berjalan sebelum permulaan terapi menikmati manfaat yang paling banyak daripada latihan treadmil manakala pesakit-pesakit strok yang tidak mampu berjalan sendiri tanpa bantuan sebelum permulaan terapi tidak menikmati apa-apa manfaat daripada latihan treadmil. Ulasan ini mendapati bahawa peningkatan kelajuan dan daya tahan dalam pesakit-pesakit yang mampu berjalan tidak mendatangkan kesan positif yang berpanjangan. Golongan pesakit yang menerima latihan treadmil tidak mengalami kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti jatuh and keciciran yang lebih kerap berbanding dengan golongan pesakit yang tidak menerima latihan treadmil.

Analisa selanjutnya mendapati bahawa latihan treadmil dalam tempoh tiga bulan pertama selepas strok hanya mendatangkan peningkatan kelajuan dan daya tahan berjalan yang sederhana sahaja. Kesa-kesan ini adalah lebih kecil dalam golongan pesakit yang menerima latihan treadmil pada masa yang lewat (melebihi enam bulan selepas strok). Latihan treadmil yang lebih kerap (sebagai contohnya, lima kali setiap minggu) mungkin mendatangkan peningkatan kelajuan dan daya tahan berjalan yang lebih ketara. Namun demikian, penemuan ini adalah tidak konklusif. Tempoh latihan treadmil yang singkat (tempoh sepanjang empat minggu) mendatangkan peningkatan yang sederhana dari segi kelajuan berjalan tetapi peningkatan ini adalah tidak cukup untuk menghasilkan kesan klinikal yang penting.

Kesan-kesan umur peserta and jenis strok ke atas keupayaan berjalan selepas strok tidak dikaji dalam ulasan ini.

Dalam amalan, nampaknya hanya pesakit-pesakit yang mampu berjalan selepas strok berkemungkinan untuk menikmati manfaat daripada latihan treadmil (sama ada dengan atau tanpa penyokong berat badan) untuk meningkatkan keupayaan berjalan. Kajian yang khusus pada masa depan diperlukan untuk mengkaji kesan-kesan kekerapan, tempoh atau intensiti (daripada segi penambahan kelajuan dan kecondongan) latihan treadmil dan kesan-kesan penggunaan susur tangan. Kajian selanjutnya pada masa depan harus merangkumi pesakit-pesakit yang telah mampu berjalan hanya dengan bantuan tetapi masih belum mampu berjalan sendiri. Kajian masa depan juga harus mengkaji ciri-ciri seperti umur, jantina, jenis strok sebagai usaha untuk menentukan golongan pesakit yang mungkin menikmati manfaat yang paling banyak daripada rawatan ini.

Kualiti Bukti:
Kualiti bukti bagi latihan treadmil untuk berjalan selepas strok adalah dalam tahap rendah hingga sederhana. Kualiti bukti bagi kelajuan berjalan dan daya tahan berjalan selepas latihan treadmil adalah sederhana manakala kualiti bukti bagi peningkatan keupayaan untuk berjalan sendiri tanpa bantuan adalah rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Chew Jia En (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi jiaen_c2017@ms.pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save