Pil kontraseptif oral gabungan (OCP) sebagai rawatan untuk dismenorea primer

Soalan ulasan

Pengarang Cochrane menyemak bukti tentang keberkesanan dan keselamatan pil kontraseptif oral gabungan (OCP) untuk rawatan senggugut yang menyakitkan (sakit haid, juga dipanggil dismenorea).

Latar belakang

OCP sedia digunakan sebagai rawatan untuk senggugut, tetapi bukti tentang kesannya tidak pasti.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 21 kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang ramai dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) yang membandingkan kesan OCP dengan sama ada plasebo (pil palsu), OCP lain atau ubat anti-radang bukan steroid yang mengurangkan sakit dan keradangan. Kajian tersebut melibatkan 3723 wanita. Kebanyakan wanita mengalami senggugut yang menyakitkan sekurang-kurangnya tahap sederhana. Pengilang OCP membiayai 11 kajian. Kami mencari pangkalan data pada Mac 2023.

Keputusan utama

OCPs dibandingkan dengan plasebo

OCP mengurangkan kesakitan sebanyak 0.7 hingga 1.3 mata pada jumlah skala dismenorea (julat 0 hingga 6) daripada plasebo pada wanita yang mengalami senggugut (6 kajian dengan 588 wanita; bukti berkualiti tinggi). Enam kajian yang mengukur peningkatan sebagai kategori ya/tidak menunjukkan bahawa OCP boleh mengurangkan kesakitan. Wanita dengan peluang 28% untuk keberkesanan dengan plasebo mungkin mempunyai peluang 37% hingga 60% untuk keberkesanan dengan OCP (bukti berkualiti rendah).

OCP meningkatkan risiko kesan sampingan (59% dalam kumpulan plasebo berbanding 71% hingga 86% dalam kumpulan OCP; bukti berkualiti sederhana), dan boleh membawa kepada kesan sampingan yang lebih serius (1.1% dalam kumpulan plasebo berbanding 0.5% hingga 6.8 % dalam kumpulan OCP; bukti berkualiti rendah).

Pendarahan tidak teratur meningkat dalam kalangan wanita yang menggunakan OCP. Wanita dengan placebo mempunyai 18% risiko pendarahan tidak teratur manakala 39% hingga 60% risiko pendarahan tidak teratur dengan OCP (bukti berkualiti tinggi). Bukti kualiti sederhana mendapati bahawa OCP mungkin meningkatkan risiko sakit kepala (17% dalam kumpulan plasebo berbanding 19% hingga 35% dalam kumpulan OCP), dan loya (merasa sakit; 10% dalam kumpulan plasebo berbanding 11% hingga 22% dalam kumpulan OCP).

Kami tidak pasti tentang kesan OCP terhadap penambahan berat badan.

Bukti berkualiti rendah mendapati bahawa OCP mungkin mengurangkan sedikit keperluan untuk ubat tambahan (38% dalam kumpulan plasebo berbanding 15% hingga 37% dalam kumpulan OCP), dan ketiadaan kerja (36% dalam kumpulan plasebo berbanding 11% hingga 35% dalam kumpulan OCP).

OCP yang berbeza berbanding satu sama lain

Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara OCP yang mengandungi dos rendah atau tinggi estrogen, atau antara formulasi OCP yang lebih baru dan lebih lama (bukti berkualiti sederhana).

Menggunakan OCP berterusan (tiada pil tidak aktif diambil sebagai rehat antara pil aktif, untuk menangguh pendarahan) mungkin lebih banyak mengurangkan kesakitan berbanding rejimen tradisional (bukti berkualiti rendah). Regimen tradisional adalah mengambil tablet aktif selama 21 hari dan berhenti seketika selama 7 hari (atau mengambil jadual tidak aktif selama 7 hari) di mana pendarahan terobosan biasanya akan berlaku.

Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko sebarang kesan sampingan antara rejimen berterusan dan tradisional (65% dalam kumpulan tradisional berbanding 66% hingga 80% dalam kumpulan berterusan; bukti berkualiti rendah).

Disebabkan oleh bukti kualiti yang sangat rendah, kami tidak pasti jika terdapat perbezaan dalam risiko kesan sampingan yang serius (0.9% dalam kumpulan tradisional berbanding 0.3% hingga 7.7% dalam kumpulan berterusan), sakit kepala (8% dalam kumpulan tradisional berbanding dengan 4% hingga 15% dalam kumpulan berterusan), loya (6% dalam kumpulan tradisional berbanding 3% hingga 13% dalam kumpulan berterusan) atau tidak hadir bekerja (9% dalam kumpulan tradisional berbanding 6% hingga 18% dalam kumpulan berterusan). Penggunaan berterusan OCP mungkin meningkatkan pendarahan tidak teratur (33% dalam kumpulan tradisional berbanding 38% hingga 56% dalam kumpulan berterusan; bukti berkualiti sederhana).

Kajian ini tidak melaporkan tentang penambahan berat badan atau keperluan untuk ubat tambahan.

OCP berbanding dengan ubat anti-radang bukan steroid

Disebabkan bukti berkualiti rendah, kami tidak dapat menentukan sama ada OCP lebih berkesan daripada ubat anti-radang bukan steroid. Kesan sampingan tidak dilaporkan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah pelbagai dari sangat rendah hingga tinggi. Masalah yang paling penting ialah kekurangan data dan variasi data antara kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasor@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information