Imunoterapi suntikan alergen untuk rinitis alergi bermusim ('deman hay')

Rinitis alergi bermusim ('demam hay') adalah suatu masalah global dan prevalensnya telah meningkat dengan banyak dalam dua dekad kebelakangan ini. Rawatannya termasuklah pengelakan alergen, ubat seperti tablet antihistamin dan semburan hidung, dan imunoterapi (vaksinasi). Bagi pesakit yang masih mengalami gejala tidak terkawal walaupun dengan rawatan ubat, imunoterapi alergen spesifik (SIT)disyorkan.

Imunoterapi alergen spesifik lazim diberi melalui suntikan subkutaneus (di bawah kulit) oleh doktor pakar, yang memerlukan tempoh peningkatan diikuti dengan tempoh pengekalan selama tiga hingga lima tahun. Imunoterapi juga boleh diberi melalui mulut, hidung atau laluan sublingual dan kaedah-kaedah ini akan dikaji dalam ulasan Cochrane yang berasingan, seperti juga imunoterapi untuk rinitis alergi tidak bermusim (sepanjang tahun). Dalam ulasan ini kami berhasrat untuk menilai keberkesanan dan keselamatan imunoterapi suntikan, berbanding dengan plasebo, dalam mengurangkan gejala dan keperluan untuk ubat-ubatan.

Kami mengenal pasti kajian-kajian rawak, buta duaan, terkawal plasebo imunoterapi alergen spesifik dalam kalangan pesakit dengan rinitis alergi bermusim akibat debunga pokok, rumput atau rumpai. Lima puluh satu kajian memenuhi kriteria kemasukan. Terdapat sejumlah 2871 peserta (1645 dalam kumpulan rawatan dan 1226 dalam kumpulan plasebo), yang setiapnya menerima 18 suntikan secara purata. Tempoh rawatan berubah-ubah dari tiga hari hingga tiga tahun.

Ulasan ini menunjukkan imunoterapi suntikan dalam kalangan pesakit rinitis alergi bermusim yang terpilih menunjukkan pengurangan skor gejala dan penggunaan ubat-ubatan. Imunoterapi suntikan diketahui berisiko rendah untuk kesan sampingan yang teruk. Kami mendapati tiada konsekuen jangka panjang daripada peristiwa buruk dan tiada kematian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my.

Tools
Information
Share/Save