Terapi tiagabine tambahan untuk epilepsi fokal tahan ubat

Latar belakang

Epilepsi adalah sejenis gangguan di mana sawan berulang disebabkan oleh discaj elektrik abnormal dari otak. Kebanyakkan sawan boleh dikawal oleh ubat antiepileptik tunggal. Malangnya, sesetengah orang memerlukan lebih dari satu ubat antiepileptik untuk mengawal sawan mereka (epilepsi tahan ubat), terutamanya jika sawan berpunca dari satu kawasan otak (epilepsi fokal), bukannya mempengaruhi seluruh otak (epilepsi umum).

Tiagabine adalah ubat antiepileptik lebih baharu yang boleh diguna bersama dengan rejimen ubat antiepileptik biasa. Ulasan ini menilai bukti-bukti sedia ada untuk melihat bagaimana tiagabine berkesan mengurangkan sawan, dan juga melihat kesan-kesan sampingan yang mungkin dikaitkan dengan penggunaannya apabila ia diguna bersama ubat-ubatan antiepileptik lain bagi orang dengan epilepsi fokal yang tahan ubat.

Keputusan

Kami mendapati enam kajian melibatkan 948 orang dengan epilepsi fokal. Kesemua kajian-kajian tersebut adalah kajian rawak terkawal (RCT) yang membandingkan ubat antiepileptik tiagabine dengan plasebo (rawatan tidak aktif yang tidak mempengaruhi epilepsi) atau dengan ubat antiepileptik lain untuk tempoh sehingga 24 minggu. Kami mendapati tiagabine, apabila diguna dengan ubat antiepileptik lain, adalah tiga kali lebih berkesan berbanding plasebo untuk mengurangkan bilangan sawan dalam kalangan orang dengan epilepsi fokal tahan ubat. Menambah tiagabine kepada rawatan biasa, walau bagaimanapun, dikaitkan dengan peningkatan kesan sampingan, seperti pening dan tremor. Orang yang mengguna tiagabine empat kali lebih cenderung untuk mengalami tremor berbanding plasebo; walau bagaimanapun, hanya satu kajian melaporkan peristiwa buruk ini, oleh itu bukti ini terhad. Orang yang mengambil tiagabine sebagai tambahan kepada ubat-ubatan lain hampir dua kali lebih mungkin untuk menarik diri dari rawatan berbanding mereka yang mengambil plasebo. Kami mendapati tiada perbezaan yang ketara di antara tiagabine dan topiramate, satu lagi ubat tambahan antiepileptik.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, terdapat bukti kepastian tinggi untuk hasil pengurangan sawan, yang bermaksud kami yakin kesan yang kami laporkan adalah tepat. Kajian-kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini tidak mengkaji kesan jangka panjang tiagabine sebagai rawatan tambahan atau kesan tiagabine dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun. Kajian lanjutan diperlukan untuk menentukan bagaimana tiagabine bertindak berbanding ubat-ubatan antiepileptik yang lebih baharu.

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save