Immunoglobulin oral (melalui mulut) untuk mencegah necrotizing enterocolitis dalam bayi pramatang dan neonat rendah berat lahir

Soalan kajian: Adakah penggunaan immunoglobulin oral mengurangkan kejadian necrotizing enterocolitis dan komplikasi lain di kalangan bayi pramatang atau neonat rendah berat lahir (atau kedua-duanya)?

Latar Belakang: Imunoglobulin diberikan dari mulut untuk mencegah masalah kecederaan usus (necrotizing enterocolitis) dalam bayi pra-matang yang baru lahir dan juga rendah berat lahir.Keradangan yang mencederakan usus (dipanggil necrotizing enterocolitis, NEC) adalah disebabkan oleh bakteria menghasilkan gas yang menapai (ferment) susu. Ia adalah masalah untuk bayi pramatang yang baru lahir (lahir sebelum tarikh jangkaan kelahiran mereka) dan bayi berat lahir rendah (berat lahir kurang daripada 2500 gram). Walaupun discaj dari hospital, bayi-bayi yang terjejas mungkin memerlukan pemantauan dalam hospital yang kerap dan berpanjangan kerana masalah nutrisi yang berlanjutan. Ini menjadi sukar bagi ibu-bapa dari segi emosi dan kewangan. Imunoglobulin adalah protein yang terdapat dalam darah yang memberikan imuniti (rintangan) terhadap penyakit. Imunoglobulin (jenis IgA dan IgG) yang diambil melalui mulut (orally) mungkin melindungi bayi-bayi yang berisiko daripada mendapat NEC.

Ciri-ciri Kajian: Kami telah mencari kesusasteraan perubatan hingga Januari 2016 dan mendapati tiga kajian terkawal rawak (kajian klinikal di mana orang-orang secara rawak diletak dalam salah satu daripada dua kumpulan rawatan atau lebih kumpulan rawatan) (dengan 2095 bayi yang baru lahir). Rawatan dimulakan sama ada dalam 24 jam pertama selepas kelahiran (dua kajian kecil) atau berikutan permulaan penyusuan oral (gastro-usus) (satu kajian terkawal yang besar). Dalam kajian yang besar ini, bayi-bayi secara umumnya menerima susu ibu, manakala mereka menerima susu formula dalam dua kajian yang lain.

Keputusan: Memberi imunoglobulin (IgG tersendirian atau IgG bergabung IgA) tidak mengurangkan kejadian NEC, keperluan untuk pembedahan berkait dengan NEC atau kematian akibat NEC, samada semasa atau selepas tempoh kajian.Imunoglobulin mungkin boleh menyebabkan pemecahan sel-sel darah merah (dipanggil hemolisis) (sel-sel darah merah adalah sel-sel biasa dalam darah yang menghantar oksigen kepada organ-organ) tetapi tiada hemolisis yang ketara. Tiada laporan lain mengenai kesan sampingan rawatan.

Kualiti bukti: Kualiti bukti adalah rendah-sangat rendah untuk semua hasil kajian. Faktor utama yang mempengaruhi kualiti bukti adalah kurang ketepatan dalam keputusan anggaran, sebab julat efek yang dikira keatas kesan (selang keyakinan 95%) adalah lebar.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College).Disunting oleh Ernie Yap (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save