Teknik laparoskopik berbanding teknik terbuka untuk pembaikan hernia dalam groin

Pembaikan hernia dalam groin (hernia inguinal) adalah pembedahan yang paling kerap dilakukan dalam bidang pembedahan umum. Hernia berkenaan dibaiki (dengan jahitan atau penempatan jaring sintetik ke atas salah satu lapisan dinding abdomen untuk melitupi hernia tersebut) melalui pembedahan terbuka atau laparoskopi akses minimum. Teknik laparoskopi yang paling kerap digunakan untuk membaiki hernia inguinal adalah pembaikan praperitoneal transabdominal (transabdominal preperitoneal repair; TAPP) dan pembaikan ekstraperitoneal sepenuhnya (total extraperitoneal repair; TEP). Dalam kaedah TAPP, pakar bedah akan memasuki ruang peritoneum dan menempatkan jaring melalui insisi peritoneal untuk menutup kawasan-kawasan yang berpotensi menyebabkan hernia. TEP pula berbeza kerana ruang peritoneum tidak dimasuki, dan jaring tersebut digunakan untuk menutup hernia dari luar membran nipis yang melitupi organ-organ dalam abdomen (peritoneum). Jaring yang digunakan akan disusup oleh tisu berserabut. Masalah-masalah pascabedah kecil berlaku. Komplikasi-komplikasi yang lebih serius seperti kerosakan tali spermatik, salur darah atau saraf kadang kala dilaporkan untuk pembedahan terbuka, manakala kecederaan saraf atau vaskular major, obstruksi usus dan kecederaan pundi kencing telah dilaporkan untuk pembaikan laparoskopik. Kejadian hernia yang berulang merupakan satu kelemahan yang besar.
Pengulas-pengulas telah mengenal pasti 41 kajian terkawal yang serasi di mana 7 161 peserta telah dipilih secara rawak untuk menjalani rawatan laparoskopik atau terbuka. Min atau median jangka waktu susulan pesakit-pesakit berjulat dari 6 hingga 36 bulan.
Pesakit-pesakit yang menerima rawatan laparoskopik dapat meneruskan aktiviti-aktiviti biasa kira-kira tujuh hari lebih awal berbanding dengan pesakit-pesakit yang menerima rawatan terbuka. Penerima rawatan laparoskopik juga kurang menghidap kesakitan berterusan dan kekebasan berbanding dengan penerima rawatan terbuka. Namun begitu, tempoh masa pembedahan bagi laparoskopi adalah 15 minit lebih lama (julat: 14 – 16 minit), dan kaedah ini berkemungkinan menyebabkanm bilangan komplikasi visera (terutamanya pundi kencing) dan vaskular yang lebih tinggi. Penggunaan jaring untuk pembaikan hernia dan bukannya kaedah penempatan jaring (pembedahan terbuka atau laparoskopik) mampu mengurangkan risiko hernia yang berulang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka mannipal Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com

Tools
Information