Mesej utama
Bagi orang dengan demensia akibat penyakit Alzheimer, galantamine (pada dos yang disyorkan iaitu 16 mg hingga 24 mg setiap hari) melambatkan penurunan ingatan dan keupayaan untuk melakukan aktiviti penjagaan diri pada 6 bulan dan 2 tahun selepas rawatan.
Bagi orang dengan gangguan kognitif ringan, tiada perbezaan dalam peningkatan ingatan atau keupayaan untuk melakukan aktiviti penjagaan diri apabila membandingkan galantamine dan plasebo (ubat tidak aktif atau 'palsu').
Galantamine menyebabkan bilangan kesan tidak diingini yang lebih tinggi (mual, muntah, cirit-birit), tetapi tidak memberikan perbezaan dalam kematian akibat sebarang sebab berbanding dengan plasebo.
Latar belakang
Penyakit Alzheimer adalah bentuk demensia yang paling biasa dalam kalangan orang tua yang menyebabkan masalah dengan ingatan, pemikiran, dan tingkah laku. Penyakit ini bertambah buruk dari masa ke semasa sehingga menjejaskan kemampuan seseorang untuk menjalankan tugas sehari-hari. Bagi orang dengan gangguan kognitif ringan, gejala yang menjejaskan pemikiran dan ingatan adalah ringan dan biasanya tidak cukup serius untuk mengganggu kehidupan dan aktiviti harian.
Pada masa ini, tidak ada penawar untuk penyakit Alzheimer, tetapi terdapat ubat yang boleh membantu gejala. Galantamine adalah salah satu daripada tiga ubat penghalang cholinesterase yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika (FDA) untuk merawat gejala penyakit Alzheimer. Galantamine berfungsi dengan meningkatkan tahap bahan kimia di otak, acetylcholine, yang menghantar isyarat, yang boleh membantu dengan gejala penyakit Alzheimer.
Tidak ada ubat yang kini diluluskan oleh badan pengawalseliaan sebagai rawatan untuk gangguan kognitif ringan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada galantamine berkesan dan membantu dalam memperbaiki gejala penyakit Alzheimer dan gangguan kognitif ringan, dari segi ingatan, keupayaan untuk melakukan penjagaan diri, dan tingkah laku. Kami juga ingin mengetahui sama ada galantamine menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan galantamine yang diberikan melalui mulut dengan plasebo (yang tidak mengandungi bahan aktif tetapi diberikan dengan cara yang sama seperti ubat aktif) pada orang dengan demensia akibat penyakit Alzheimer, atau dengan gangguan kognitif ringan. Kami memilih kajian di mana orang ditugaskan secara rawak (seperti pembalikan duit syiling) untuk menerima galantamine atau plasebo selama sekurang-kurangnya 4 minggu. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 21 kajian yang melibatkan 10,990 orang dengan demensia akibat penyakit Alzheimer, atau dengan gangguan kognitif ringan. Purata umur mereka ialah 74 tahun. Tempoh rawatan berkisar antara 8 minggu hingga 2 tahun. Kebanyakan kajian memasukkan orang dengan demensia akibat penyakit Alzheimer ringan atau sederhana; satu kajian melibatkan orang dengan penyakit Alzheimer yang teruk. Tiga kajian memasukkan orang dengan gangguan kognitif ringan. Syarikat farmaseutikal (Janssen / Johnson & Johnson) menaja 16 daripada 21 kajian yang disertakan.
Selepas 6 bulan rawatan, peserta dengan penyakit Alzheimer ringan hingga sederhana yang menerima galantamine mempunyai ingatan yang lebih baik, keupayaan untuk melakukan aktiviti penjagaan diri, dan tingkah laku daripada mereka yang menerima plasebo. Yang penting, peningkatan ingatan yang kami perhatikan dianggap bermakna secara klinikal mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pakar. Kumpulan peserta yang sama mungkin mempunyai peningkatan keseluruhan yang lebih baik daripada mereka yang menerima plasebo.
Bagi orang dengan gangguan kognitif ringan, galantamine, berbanding plasebo, mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam meningkatkan ingatan atau keupayaan untuk melakukan aktiviti penjagaan diri. Walau bagaimanapun, peserta yang menerima galantamine mungkin mempunyai risiko perkembangan demensia yang lebih rendah selepas 2 tahun rawatan.
Berbanding dengan mereka yang mengambil plasebo, orang yang mengambil galantamine tiga kali lebih cenderung mengalami kesan sampingan gastrointestinal (loya, muntah, cirit-birit). Jumlah kematian adalah rendah, dan tidak ada bukti bahawa galantamine menyebabkan lebih banyak kematian daripada plasebo.
Apakah batasan bukti?
Ramai orang dalam kajian (antara 17% hingga 40%) berhenti mengambil ubat yang diberikan lebih awal, lebih-lebih lagi dalam kumpulan galantamine daripada kumpulan plasebo. Ini adalah satu batasan yang mungkin memihak kepada galantamine.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskinikan ulasan kami yang terdahulu dari 2006. Bukti adalah terkini setakat Disember 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Jazmine binti Mohd Ramzisham (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).