Apakah faedah dan risiko rawatan fenobarbital dalam usaha pencegahan perdarahan otak dalam kalangan bayi yang dilahirkan terlalu awal?

Mesej utama

. Admistrasi fenobarbital (ubat yang digunakan untuk mengekang kejadian sawan) kepada bayi yang dilahirkan terlalu awal mungkin mempunyai sedikit ataupun tiada kesan apapun dalam pencegahan perdarahan intraventrikular (pendarahan ke otak) dan kematian.

• Buktinya sangat tidak pasti tentang kesan fenobarbital terhadap pencegahan pelebaran ventrikel (ruang dalam otak yang membesar) dan perkembangan otak jangka panjang.

Apakah itu perdarahan ke otak (perdarahan intraventrikular)?

Perdarahan besar di bahagian tengah-tengah otak dapat menyebabkan kecacatan atau kematian dalam kalangan bayi yang dilahirkan terlalu awal. Tekanan darah dan pengaliran darah yang tidak stabil ke otak dipercayai menyebabkan perdarahan dalam rongga otak yang biasanya berisi bendalir (rongga ventrikel).

Apakah yang kami ingin tahu?

Fenobarbital dipercayai boleh stabilkan tekanan darah dan oleh itu berpotensi mencegah perdarahan ke otak. Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan fenobarbital lebih baik daripada tidak memberikan ubat atau hanya plasebo (rawatan 'palsu' yang tidak mengandungi sebarang ubat tetapi kelihatan atau rasanya sama dengan ubat yang diuji) untuk mengelakkan pendarahan dalam otak.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mengenalpasti kajian-kajian yang membandingkan pemberian fenobarbital dengan tanpa ubat. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menyerakan 10 kajian (792 orang bayi).

Bukti kajian menunjukkan bahawa fenobarbital mungkin mempunyai sedikit ataupun tiada kesan apapun dalam mencegah pendarahan dalam otak. Buktinya sangat tidak pasti tentang kesan fenobarbital pada pelebaran ventrikel dalam otak dan perkembangan jangka panjang. Bukti menunjukkan bahawa fenobarbital mempunyai sedikit atau tiada kesan dalam mencegah kematian. Kami tidak menemui kajian yang sedang berlangsung.

Apakah batasan bukti?

Ada kemungkinan bahawa pengkaji kajian ini sudah tahu rawatan yang sedang diberikan kepada peserta kajian. Tidak semua kajian melaporkan maklumat tentang semua aspek berkepentingan yang kami minati. Kajian-kajian adalah sangat kecil.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti terkini adalah setakat Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information