Pembedahan laparoskopi berbanding dengan pembedahan terbuka bagi mereka yang disyaki keradangan apendik

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai kesan-kesan teknik pembedahan terbuka dan prosedur invasif minimum bagi orang yang disyaki mempunyai radang apendik

Latar belakang

Di bahagian bawah kanan abdomen terdapat tiub usus kecil yang buntu, yang dipanggil apendik. Keradangan apendik dipanggil apendisitis yang sering terjadi dalam kalangan kanak-kanak dan belia. Kebanyakan kes memerlukan pembedahan kecemasan bagi mengelakkan kepecahan apendik ke dalam abdomen. Semasa pembedahan, yang dipanggil apendektomi, apendik yang meradang dikeluarkan melalui pembedahan. Pendekatan pembedahan tradisional melibatkan insisi yang kecil (kira-kira 5 cm atau 2 inci) di bahagian bawah kanan dinding abdomen. Sebagai alternatif, apendik yang meradang mungkin boleh dibuang menggunakan teknik pembedahan lain, dikenali sebagai apendektomi laparoskopi. Pembedahan ini memerlukan tiga insisi yang sangat kecil (masing-masing kira-kira 1 cm atau 1/2 inci). Kemudian pakar bedah memasukkan kamera dan instrumen ke dalam abdomen dan mengeluarkan apendik tersebut.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 85 kajian melibatkan 9765 peserta, yang mana 75 kajian membandingkan apendektomi laparoskopi berbanding apendektomi terbuka dalam kalangan orang dewasa. 10 kajian yang selebihnya menyertakan kanak-kanak sahaja. Bukti adalah terkini sehingga Februari 2018.

Keputusan utama

Kelebihan-kelebihan utama laparoskopi berbanding apendektomi terbuka adalah mengurangkan kesakitan pasca-pembedahan, mengurangkan risiko jangkitan luka, peninggalan di hospital yang lebih pendek, dan pengembalian kepada aktiviti biasa dengan lebih pantas dalam kalangan orang dewasa. Sebaliknya, apendektomi laparoskopi menunjukkan kelebihan berbanding apendektomi terbuka bagi jangkitan luka dan hospitalisasi yang lebih pendek dalam kalangan kanak-kanak. Dua kajian melaporkan bahawa orang dewasa yang menerima apendektomi laparoskopi mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dua minggu, enam minggu, dan enam bulan selepas pembedahan. Data daripada kanak-kanak tidak diperolehi. Bagi kekurangan apendektomi laparoskopi, kadar abses intra-abdomen yang lebih tinggi dikenal pasti dalam kalangan orang dewasa tetapi tidak dalam kalangan kanak-kanak. Kecuali bagi trend yang menunjukkan pengurangan abses intra-abdomen selepas LA, keputusan bagi kanak-kanak adalah serupa dengan apa yang dilihat dalam orang dewasa.

Kualiti bukti

Kualiti bukti bervariasi daripada sederhana ke rendah kerana kajian yang tidak dijalankan dengan baik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information