Kaedah kontraseptif kecemasan

Soalan ulasan

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menilai keberkesanan dan keselamatan pelbagai kaedah kontraseptif kecemasan untuk mengelakkan kehamilan selepas persetubuhan tanpa perlindungan.

Latar Belakang

Kontraseptif kecemasan (EC) adalah penggunaan ubat atau alat tembaga dalam rahim (Cu-IUD) untuk mencegah kehamilan sejurus selepas persetubuhan tanpa perlindungan. Beberapa intervensi boleh didapati untuk EC. Maklumat tentang perbandingan keberkesanan, keselamatan dan kemudahan kaedah-kaedah ini adalah penting bagi pengamal perubatan reproduktif dan wanita-wanita di bawah rawatan mereka. Para penyelidik di Cochrane telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini.

Ciri-ciri ulasan

Kami telah mencari di 10 pangkalan data Bahasa Inggeris dan tiga pangkalan data bahasa Cina kajian-kajian yang telah diterbitkan di dalam sebarang bahasa, pada Februari 2017. Kami juga telah mencari pangkalan data kesusasteraan dan laman web dan telah menghubungi pakar dan penulis untuk kajian-kajian yang layak. Kajian perlu melaporkan maklumat mengenai intervensi-intervensi untuk menghalang kehamilan selepas satu persetubuhan tanpa perlindungan. Kami telah memasukkan 115 ujian rawak terkawal yang melibatkan 60,479 wanita di dalam ulasan ini. Sembilan puluh dua kajian telah dijalankan di China. Bukti adalah terkini sehingga Februari 2017.

Keputusan Utama

Kajian-kajian ini membandingkan 25 intervensi yang berbeza untuk pelbagai jenis kontraseptif kecemasan. Kajian-kajian ini menunjukkan maklumat seperti berikut.

Levonorgestrel dan mifepristone adalah lebih berkesan daripada rejim Yuzpe (gabungan estradiol-levonorgestrel). Penemuan kami mencadangkan bahawa jika 29 wanita per 1000 menjadi hamil dengan Yuzpe, antara 11 dan 24 wanita per 1000 akan hamil dengan levonorgestrel, dan jika 25 wanita per 1000 akan hamil dengan Yuzpe, antara satu dan 10 wanita per 1000 akan hamil dengan mifepristone.

Dos sederhana Mifepristone (25 mg hingga 50 mg) mungkin lebih berkesan daripada levonorgestrel. Dos rendah Mifepristone (kurang daripada 25 mg) mungkin kurang berkesan daripada dos sederhana mifepristone, tetapi kedua-duanya adalah lebih berkesan daripada levonorgestrel (dua dos 0.75 mg). Ulipristal acetate (UPA) juga adalah lebih berkesan berbanding levonorgestrel.

Pengguna Levonorgestrel mengalami kurang kesan sampingan berbanding Yuzpe, dan lebih berkemungkinan mendapat haid sebelum tarikh yang dijangka. Pengguna UPA lebih berkemungkinan mendapat haid selepas tarikh yang dijangka. Kelewatan haid mungkin merupakan kesan sampingan utama mifepristone dan mempunyai hubungkait dengan dos yang digunakan. Cu-IUD mempunyai risiko sakit perut yang lebih tinggi berbanding mifepristone.

Kualiti bukti

Kualiti bukti bagi dapatan utama (bilangan kehamilan yang diperhatikan) adalah antara sederhana ke tinggi, dan hasil kajian yang lain adalah dari rendah ke tinggi. Kelemahan utama adalah risiko bias (berkaitan dengan teknik pelaporan yang lemah), ketidaktepatan dan tiada konsistensi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Erni Zurina Romli (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubung zuromli@yahoo.com

Tools
Information
Share/Save