Jururawat mengantikan doktor dalam rawatan primer

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk melihat apa yang akan terjadi apabila perkhidmatan kesihatan primer dilakukan oleh jururawat dan bukannya oleh doktor. Kami mengumpul dan menganalisa semua kajian-kajian yang relevan bagi menjawab persoalan ini, dan kami menjumpai sebanyak 18 kajian yang boleh dimasukkan dalam ulasan ini.

Apakah mesej utama ulasan ini?

Penjagaan kesihatan primer oleh jururawat dan bukannya doktor mungkin menghasilkan tahap kesihatan pesakit yang sama ataupun lebih baik dan memberikan kepuasan yang lebih tinggi kepada pesakit. Jururawat mungkinnya mempunyai masa rundingan yang lebih panjang dengan pesakit berbanding dengan doktor. Menggunakan jururawat dan bukannya doktor menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan preskripsi dan permohonan ujian. Bagaimanapun, impak jumlah maklumat yang ditawarkan kepada pesakit, ke atas sejauh mana garispanduan diikuti dan ke atas kos penjagaan kesihatan tidak dapat dipastikan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Dikebanyakkan negara, populasi tua semakin meningkat dan lebih ramai orang mengidap sakit kronik. Ini bermakna perkhidmatan penjagaan kesihatan primer yang perlu dilakukan oleh para petugas kesihatan juga berubah. Pada masa yang sama, banyak negara tidak mempunyai doktor dan para petugas kesihatan yang cukup, atau masyarakat tidak mampu untuk membayar perkhidmatan penjagaan kesihatan. Dengan menggunakan khidmat jururawat untuk menggantikan doktor, negara-negara ini mengharapkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang sama kualiti tetapi pada harga yang lebih rendah.

Dalam ulasan ini, kami mencari kajian-kajian yang membandingkan khidmat yang dilakukan oleh para jururawat dengan para doktor untuk perkhidmatan penjagaan primer. Kami melihat sama ada ini terdapat perbezaan pada kesihatan para pesakit, kepuasan, dan penggunaan perkhidmatan yang ada. Kami juga mahu melihat sama ada terdapat perbezaan dari segi cara perkhidmatan yang disampaikan dan juga harga yang dikenakan.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Kami masukkan dalam ulasan ini 18 kajian, yang kebanyakannya daripada negara-negara yang berpendapatan tinggi. Dalam beberapa kajian,para jururawat dipertanggungjawabkan untuk merawat semua pesakit yang datang ke klinik ataupun pada semua pesakit yang memerlukan rundingan segera. Dalam beberapa kajian, para jururawat bertanggungjawab menjaga pesakit yang menghidapi penyakit kronik tertentu, atau bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan penjagaan kesihatan ataupun perkhidmatan pencegahan kepada kumpulan-kumpulan pesakit yang tertentu. Kajian-kajian ini membandingkan para jururawat dengan para doktor dalam melakukan tugasan yang sama.

Ulasan kami menunjukkan penjagaan primer yang diketuai oleh jururawat menunjukkan bilangan kematian yang lebih sedikit dikalangan kumpulan pesakit tertentu, berbanding dengan kumpulan penjagaan yang diketuai oleh doktor. Bagaimanapun, keputusan ini berbeza anatra kajian-kajian dan mungkin penjagaan primer yang diketuai jururawat cuma menunjukkan sedikit ataupun tiada perbezaan kepada bilangan kematian. Tambahan pula, kesihatan para pesakit menunjukkan keputusan yang sama ataupun lebih baik sedikit dikalangan pesakit yang mengidap penyakit jantung, kencing manis, reumatik, dan tekanan darah tinggi. Para pesakit juga berkemungkinan mendapat kepuasan yang lebih sedikit dengan penjagaan mereka dan mungkin mempunyai kualiti kehidupan yang lebih baik sedikit bila dirawat oleh para jururawat.

Ulasan ini juga menunjukkan, berbanding dengan doktor, jururawat berkemungkinan mempunyai masa rundingan yang lebih panjang, dan pesakit-pesakit mereka lebih cenderung untuk mengikuti temujanji susulan. Kajian-kajian ini menjumpai sedikit atau tiada perbezaan pada bilangan preskripsi dan terdapat sedikit ataupun tiada perbezaan pada bilangan ujian dan permohonan pemeriksaan, ataupun pada penggunaan perkhidmatan-perkhidmatan lain oleh pesakit. Kesan penjagaan primer yang diketuai jururawat ke atas jumlah nasihat dan maklumat yang diberikan kepada pesakit, dan ke atas sama ada garispanduan diikuti, tidak dapat dipastikan kerana kepastian penemuan-penemuan adalah sangat rendah.

Ulasan kami mencadangkan bahawa kos penjagaan yang menggunakan jururawat dan bukannya doktor untuk melakukan penjagaan primer tidak dapat dipastikan. Kami nilaikan kepastian penemuan ini sebagai sangat rendah.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga Mac 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information