Apakah faedah dan kemudaratan antibiotik untuk konjunktivitis bakteria akut?

Mesej utama

Antibiotik topikal boleh memperbaiki tanda dan gejala serta penyingkiran bakteria pada peserta dengan konjunktivitis bakteria akut. Walau bagaimanapun, sesetengah antibiotik boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini pada mata atau kelopak mata; tiada bukti menunjukkan bahawa antibiotik menyebabkan kesan yang tidak diingini di bahagian lain badan.

Apakah itu konjunktivitis bakteria akut?

Konjunktivitis bakteria akut adalah keadaan di mana lapisan nipis di atas kawasan putih dan lapisan dalam kelopak mata pada salah satu atau kedua-dua mata menjadi merah dan meradang akibat jangkitan bakteria. Konjunktivitis bakteria akut biasanya berjangkit dan maka kanak-kanak dan orang dewasa yang bekerja dinasihatkan untuk mengelak pergi ke sekolah atau bekerja apabila terjejas. Nasib baik, penyakit jangkitan pulih secara spontan dalam kebanyakan kes.

Bagaimanakah konjungtivitis bakteria akut dirawat?

Orang yang mengalami konjunktivitis bakteria akut sering diberi rawatan di tempat jangkitan, biasanya sebagai titisan mata atau salap antibiotik, untuk mempercepatkan pemulihan. Walau bagaimanapun, faedah antibiotik telah dipersoalkan apabila menganggap ia boleh menyebabkan kerengsaan atau tindak balas alahan di dalam dan sekitar mata atau kulit di sekelilingnya.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami meneliti sama ada antibiotik sahaja atau digabungkan dengan steroid, boleh memperbaiki tanda dan gejala konjunktivitis atau membantu menyingkirkan bakteria yang berkaitan. Kami juga menilai sama ada antibiotik akan mengakibatkan kesan yang tidak diingini pada mata.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami melakukan ulasan sistematik dengan mencari kajian yang membandingkan antibiotik dalam bentuk titisan mata, salap atau tablet dengan kawalan tidak aktif. Kami merumuskan penemuan kajian ini dan melaporkan keputusan bersama tahap keyakinan kami terhadapnya berdasarkan cara kajian dijalankan.

Apa yang telah kami temui?

Kami mendapati bahawa antibiotik mungkin meningkatkan penyembuhan klinikal dan penyembuhan mikrobiologi selepas kursus rawatan berbanding dengan plasebo. Penggunaan antibiotik juga dikaitkan dengan lebih sedikit peserta yang menghentikan rawatan mereka lebih awal daripada yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah individu, antibiotik bukan fluroquinolone tetapi bukan antibiotik fluoroquinolone, boleh mengakibatkan lebih banyak kesan yang tidak diingini pada mata atau kelopak mata berbanding plasebo walaupun kami sangat tidak pasti tentang bukti yang berkaitan. Tiada bukti bahawa antibiotik dikaitkan dengan kesan sampingan sistemik seperti sakit kepala atau deria bau yang berubah.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kemas kini semasa memfokuskan pada orang dewasa dan kanak-kanak berumur satu bulan dan ke atas. Oleh itu, bukti tidak berkaitan dengan rawatan antibiotik untuk konjunktivitis neonatal pada neonatus yang berumur kurang daripada satu bulan. Kami tidak menemui kajian yang membandingkan kesan antibiotik yang sama yang digunakan dalam tempoh pendek berbanding jangka panjang. Oleh itu, ulasan semasa tidak dapat mencadangkan untuk menyokong atau menentang tempoh preskripsi untuk konjunktivitis bakteria akut.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information