Pintasan surgikal berbanding pintasan radiologi untuk perdarahan variseal dalam kalangan orang dengan penyakit hati kronik.

Latar belakang

Varises adalah salur darah berdinding nipis yang membesar di dinding esofagus dan perut orang dengan tekanan darah tinggi di dalam peredaran portal (salur darah daripada usus yang membekal darah ke hati) Perdarahan daripada varices bukanlah luar biasa dan ia mungkin mengancam nyawa. Rawatan utama untuk perdarahan ini adalah dengan ubat-ubatan dan endoskopi (penggunaan tiub panjang yang dipasang kamera untuk mengesan dan menutup varises dengan gegelung elastik). Kebanyakan orang akan respon kepada rawatan utama ini, tapi sebilangan kecil akan terus berdarah atau berulang kali berdarah. Kumpulan yang kemudian ini memerlukan rawatan lanjut dalam bentuk pintasan (tiub yang mengalihkan aliran darah daripada peredaran portal terus kepada jantung) Terdapat dua jenis pintasan; satu yang dibuat ketika pembedahan dan dipanggil pintasan surgikal dan satu lagi dibuat menggunakan bantuan mesin ultrabunyi dan dipanggil pintasan radiologi. Kedua-dua jenis pintasan ada manfaat dan mudarat. Ulasan ini dibuat untuk mengenal pasti sama ada pintasan surgikal lebih baik berbanding pintasan radiologi dalam merawat perdarahan berterusan dan berulang dalam kalangan orang dengan (penyakit hati yang kronik di mana sel-sel hati yang normal diganti oleh parut keras)

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati empat kajian klinikal rawak melibatkan 496 peserta dewasa yang telah dibenark an untuk memerima sama ada pintasan surgikal atau pintasan radiologi. Terdapat masalah dengan reka bentuk kajian kerana kajian-kajian mempunyai bilangan peserta yang kecil dan menggunakan pelbagai jenis pintasan. Kami meniliti kesemua empat kajian yang berisiko bias tinggi (kajian mungkin terlebih anggar kesan sebenar rawatan pintasan)

Keputusan-keputusan utama

Kami tidak menemui perbezaan dalam bilangan peserta yang meninggal dunia dalam masa 30 hari rawatan, dan bilangan yang mendapat ensefalopati (penyakit otak disebabkan oleh toksin yang memintasi hati untuk sampai ke otak), apabila pintasan surgikal dibandingkan dengan pintasan radiologi. Kami menemui bukti yang mencadangkan lebih banyak miudarat dengan pintasan radiologi apabila melihat kepada bilangan peserta yang meninggal dunia dalam masa 5 tahun selepas rawatan; atau mengalami perdarahan berulang; atau memerlukan rawatan yang berulang; atau mengalami sekatan pintasan; yang kelihatan lebih banyak direkodkan dalam kumpulan pintasan radiologi.

Kesimpulan

Pintasan surgikal dilihat lebih baik daripada pintasan radiologi untuk merawat perdarahan berterusan dan berulang akibat varises dalam kalangan orang dengan sirosis hati. Oleh kerana bukti kepastian yang sangat rendah akibat masalah reka bentuk kajian dan bilangan peserta yang tidak mencukupi, kami tidak pasti jika kesimpulan kami adalah betul. Kajian masa hadapan dengan reka bentuk yang lebih baik dan bilangan peserta yang mencukupi mungkin mampu menghasilkan keputusan yang lebih meyakinkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nadiah Abdul Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nadiah@ms.pmc.edu.my

Tools
Information