Rawatan pembedahan atau radiologikal untuk varikosel pada lelaki subfertil

Latar belakang

Varikosel adalah dilatasi (pembesaran) urat di sepanjang tali spermatik (tali yang menggantung testis) di dalam skrotum. Dilatasi berlaku apabila injap di dalam vena di sepanjang tali spermatik gagal dan memungkinkan aliran darah mundur, menyebabkan sandaran darah. Rawatan pembedahan melibatkan penutupan saluran darah, biasanya dengan jahitan atau klip. Rawatan radiologikal melibatkan kedua-dua embolisasi, yang mana saluran darah disekat menggunakan zarah-zarah kecil, atau skleroterapi, yang mana agen yang merosakkan saluran darah diberikan, menyebabkannya menyusut. Mekanisme yang mana varikosel dapat mempengaruhi kesuburan, atau mekanisme bagi rawatan pembedahan atau radiologikal untuk varicoceles dapat memulihkan kesuburan, belum dijelaskan.

Soalan Ulasan

Kami mengkaji bukti bagi kesan rawatan varikosel terhadap kelahiran hidup, kejadian buruk, kadar kehamilan, perulangan varikosel dan kualiti hidup pada pasangan subfertil yang mana lelaki mempunyai varikosel, dan pasangan wanita yang mempunyai umur boleh mengandung tidak mempunyai masalah kesuburan.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 48 kajian rawak secara terkawal (sejenis kajian yang mana peserta dibahagikan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang membandingkan rawatan dengan tanpa rawatan atau cara rawatan lain dengan sejumlah 5384 lelaki. Bukti adalah terkini sehingga April 2020.

Hasil utama

Kami tidak pasti sama ada rawatan pembedahan atau radiologikal meningkatkan kadar kelahiran hidup jika dibandingkan dengan tanpa rawatan. Rawatan boleh meningkatkan kadar kehamilan berbanding dengan rawatan yang tertunda atau tidak. Bukti menunjukkan bahawa pasangan yang tidak menjalani atau menangguhkan rawatan mempunyai kemungkinan 21% kehamilan, manakala kadar kehamilan selepas rawatan pembedahan atau radiologikal adalah antara 22% dan 48%. Data adalah kurang mengenai kejadian buruk, perulangan varikosel dan kualiti hidup.

Kami tidak pasti mengenai kesan rawatan pembedahan berbanding rawatan radiologikal terhadap kelahiran hidup, kadar kehamilan, perulangan varikosel, dan kejadian buruk pembentukan hidrosel. Data adalah kurang mengenai kualiti hidup untuk perbandingan ini.

Rawatan pembedahan subinguinal mikroskopik mungkin meningkatkan sedikit kadar kehamilan berbanding rawatan pembedahan lain. Ini menunjukkan bahawa pasangan dengan rawatan pembedahan subinguinal mikroskopik mempunyai kemungkinan kehamilan 10% hingga 14% selepas rawatan, sementara kadar kehamilan pada pasangan setelah rawatan pembedahan lain adalah 10%. Prosedur ini juga mungkin mengurangkan risiko perulangan varikosel. Ini menunjukkan bahawa 0.4% hingga 1.1% lelaki yang menjalani rawatan pembedahan subinguinal mikroskopik mengalami varikosel berulang, sementara 1.4% lelaki yang menjalani rawatan pembedahan lain mengalami varikosel berulang. Hasil mengenai peristiwa buruk tidak dapat disimpulkan. Data adalah kurang mengenai kelahiran hidup dan kualiti hidup.

Kami tidak pasti mengenai kesan rawatan pembedahan inguinal terbuka berbanding rawatan pembedahan retroperitoneal pada kejadian buruk, kadar kehamilan, atau perulangan varikosel. Data adalah kurang mengenai kelahiran hidup dan kualiti hidup.

Kami tidak pasti mengenai kesan rawatan radiologikal (skleroterapi berbanding embolisasi) terhadap perulangan varikosel. Data adalah kurang mengenai kelahiran hidup, peristiwa buruk, kehamilan dan kualiti hidup.

Kepastian bukti

Penemuan kami tidak konklusif, kerana kepastian bukti yang ada berkadar antara sederhana hingga sangat rendah bergantung pada hasilnya. Lebih banyak penyelidikan diperlukan dengan kelahiran hidup atau kadar kehamilan sebagai hasil utama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information