Adakah anestesia setempat atau am lebih baik semasa pembedahan untuk melebarkan saluran darah utama ke otak apabila ia menjadi sempit (endarterektomi karotid)?

Mesej utama

- Bukti semasa tidak menunjukkan sebarang perbezaan yang nyata antara anestesia setempat (di mana pesakit kekal sedar) dan anestesia am untuk risiko strok, kematian, atau kesan-kesan lain yang tidak diingini untuk pesakit yang menjalani pembedahan untuk melebarkan arteri karotid yang sempit (endarterektomi karotid).

- Kajian masa depan harus merekrut lebih banyak peserta, selanjutnya, menganalisis dan menerbitkan maklumat daripada mereka semua, dan memastikan bahawa penyelidik yang menilai hasil tidak mengetahui jenis anestestik yang diberikan pada peserta.

Apakah pembedahan endarterektomi karotid?

Strok apabila darah berhenti mengalir ke mana-mana bahagian otak anda. Arteri karotid adalah saluran utama yang membekalkan darah ke otak. Arteri ini boleh menjadi sempit disebabkan oleh deposit lemak yang terkumpul dari semasa ke semasa. Sekitar 1 dalam 5 strok adalah disebabkan oleh penyempitan arteri karotid. Bekuan darah boleh terbentuk pada titik penyempitan. Jika bekuan darah pecah ke dalam aliran darah, darah beku boleh dibawa ke otak, di mana ia menghalang bekalan darah dan menyebabkan strok.

Pembedahan – endarterektomi karotid – membuang lapisan dalam, deposit lemak dan sebarang pembekuan darah dalam arteri karotid dan boleh mengurangkan risiko strok. Namun, walaupun dengan pembedahan yang sangat berhati-hati, kira-kira 1 dalam 20 pesakit akan mengalami strok yang disebabkan oleh pembedahan tersebut.

Anestetik adalah ubat untuk mengelakkan pesakit daripada berasa sakit. Pakar bedah boleh menggunakan sama ada anestetik tempatan, di mana kawasan badan dikebaskan, atau anestetik am, di mana seseorang ditidurkan. Penggunaan anestetik setempat dan bukannya anestetik am mungkin mengurangkan risiko strok semasa atau selepas pembedahan endarterektomi karotid.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada menggunakan anestetik setempat untuk endarterektomi karotid:

- mengurangkan risiko strok dan kematian pada masa sekitar pembedahan;
- merendahkan kadar kesan lain yang tidak diingini; dan
- lebih diterima oleh individu dan pakar bedah

jika dibandingkan dengan anestetik am.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan anestetik setempat dengan am pada pesakit yang pernah menjalani pembedahan endarterektomi karotid. Kami membandingkan dan merumuskan keputusannya, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 16 kajian yang melibatkan 4839 pesakit. Kajian yang paling besar melibatkan 3526 pesakit dan kajian yang paling kecil melibatkan 20 pesakit. Kajian telah dijalankan di seluruh dunia. Lebih ramai lelaki daripada wanita dimasukkan dalam kajian, dan umur purata mereka ialah 67 tahun.

Keputusan utama

Anestetik setempat membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko strok dalam tempoh 30 hari pembedahan berbanding dengan anestetik am.

Anestetik setempat mungkin tidak mengurangkan risiko kematian dalam tempoh 30 hari pembedahan berbanding dengan anestetik am.

Oleh kerana kedua-dua jenis anestesia tidak mempunyai manfaat yang ketara berbanding yang lain, pilihan untuk jenis anestesia yang digunakan boleh dibuat berdasarkan keadaan klinikal, dan keutamaan pakar bedah dan pesakit.

Batasan utama bukti

Kami mempunyai sama ada keyakinan sedikit, atau sederhana, terhadap keputusan ini. Kualiti bukti dikurangkan kerana, dalam kebanyakan kajian, ada kemungkinan bahawa penyelidik yang mengumpul maklumat tentang hasil pembedahan mengetahui jenis anestetik yang diberikan pada pesakit; ini boleh mempengaruhi penilaian mereka. Di samping itu, maklumat daripada beberapa pesakit yang sepatutnya dimasukkan dalam kajian namun dikeluarkan, juga mengurangkan kualiti bukti.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information