Antibiotik untuk orang yang menghidap sakit tekak

Soalan

Ulasan ini bertujuan untuk menentukan sama ada antibiotik berkesan untuk merawat gejala dan mengurangkan komplikasi yang mungkin berlaku berkaitan dengan sakit tekak .

Latar belakang

Sakit tekak ialah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria atau virus. Orang biasanya pulih dengan cepat (biasanya selepas tiga atau empat hari), walaupun sebahagiannya akan mengalami komplikasi. Satu komplikasi yang serius tetapi jarang berlaku ialah demam reumatik yang memberi kesan kepada jantung dan sendi. Antibiotik mengurangkan jangkitan bakteria tetapi mereka boleh mengakibatkan cirit birit, ruam dan kesan sampingan yang lain, dan komuniti akan membina kerintangan terhadap mereka.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini adalah terkini sehingga Julai 2013 dan meliputi 27 kajian dengan 12,835 kes sakit tekak. Ujian-ujian yang dirangkumkan dijalankan secara rawak dan dikawal oleh plasebo yang bertujuan untuk menentukan jika antibiotik menolong mengurangkan gejala-gejala sama ada sakit tekak, demam, sakit kepala atau kejadian komplikasi yang lebih serius. Kajian dilakukan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Keputusan utama

Ulasan ini mendapati bahawa antibiotik memendekkan tempoh gejala rasa sakit dengan purata kira-kira satu hari dan juga boleh mengurangkan kebarangkalian demam reumatik dengan lebih daripada dua pertiga dalam masyarakat yang biasa mengalami komplikasi ini. Komplikasi lain yang berkaitan dengan sakit tekak juga dikurangkan dengan penggunaan antibiotik.

Kualiti bukti

Kualiti bukti untuk kajian-kajian yang dipilih adalah sederhana hingga tinggi. Walau bagaimanapun, hanya terdapat beberapa ujian terkini yang dirangkumkan dalam ulasan (hanya tiga sejak tahun 2000), oleh itu, ia adalah tidak jelas jika perubahan dalam rintangan bakteria dalam masyarakat mungkin telah menjejaskan keberkesanan antibiotik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save