Antibiotik untuk orang dewasa dan kanak-kanak dengan sakit tekak

Soalan ulasan

Adakah antibiotik berkesan untuk merawat gejala dan mengurangkan komplikasi yang mungkin berlaku berkaitan dengan sakit tekak?

Latar belakang

Sakit tekak ialah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria atau virus. Sakit atau ketidakselesaan adalah ciri yang paling ketara. Walau bagaimanapun, demam dan sakit kepala juga merupakan gejala sampingan yang biasa. Orang biasanya pulih dengan cepat (selepas tiga atau empat hari), walaupun sebahagiannya berlaku komplikasi. Satu komplikasi yang serius tetapi jarang berlaku ialah demam reumatik yang memberi kesan kepada jantung dan sendi. Komplikasi lain termasuk jangkitan akut pada sinus, telinga tengah, tonsil, dan buah pinggang. Antibiotik mengurangkan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria, tetapi bukan yang disebabkan oleh virus, dan ia boleh menyebabkan cirit-birit, ruam dan kesan buruk yang lain. Tambahan pula, komuniti membentuk rintangan terhadap mereka.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga April 2021.

Ciri-ciri kajian

Kemas kini 2021 menyertakan 29 kajian dengan 15,337 kes sakit tekak. Kesemua kajian yang disertakan adalah kajian terkawal rawak (sejenis kajian dengan peserta secara rawak dibagikan kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang akan cuba menentukan sama ada antibiotik membantu mengurangkan gejala sakit tekak, demam, atau sakit kepala atau kejadian komplikasi yang lebih serius. Kajian yang disertakan telah dijalankan dalam kedua-dua kalangan kanak-kanak dan orang dewasa yang mendapatkan rawatan perubatan untuk gejala mereka.

Sumber pembiayaan kajian

Banyak kajian awal dibiayai oleh Angkatan Tentera Amerika Syarikat dan merekrut anggota tentera lelaki dewasa muda. Kajian yang terkemudian kebanyakannya disokong oleh geran penyelidikan kerajaan, dengan sebilangan kecil dibiayai oleh syarikat farmaseutikal swasta.

Keputusan utama

Pengulas mendapati bahawa antibiotik mengurangkan bilangan orang yang masih mengalami sakit kepala pada hari ketiga sakit. Antibiotik mungkin mengurangkan bilangan orang yang mengalami sakit tekak selepas tiga hari dan satu minggu, serta demam reumatik dalam tempoh dua bulan dalam komuniti dengan komplikasi ini adalah perkara biasa. Keyakinan pengulas terhadap bukti penggunaan antibiotik berbeza-beza daripada rendah kepada tinggi untuk jenis komplikasi lain yang berkaitan dengan sakit tekak.

Kepastian bukti

Secara keseluruhannya, kepastian bukti daripada kajian yang disertakan adalah rendah hingga tinggi. Walau bagaimanapun, hanya terdapat beberapa ujian terkini yang dirangkumkan dalam ulasan, oleh itu ia adalah tidak jelas jika perubahan dalam rintangan bakteria dalam komuniti mungkin telah menjejaskan keberkesanan antibiotik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information