Antibiotik topikal untuk membantu mengurangkan kematian dan jangkitan saluran pernafasan dalam orang yang menerima penjagaan intensif ventilasi mekanikal

Soalan ulasan

Kami bertujuan untuk menilai kesan dua rejimen antibiotik topikal (dekontaminasi pencernaan selektif (SDD) dan dekontaminasi orofaring selektif (SOD)) bagi mencegah kematian dan jangkitan pernafasan dalam pesakit yang menerima ventilasi mekanikal sekurang-kurangnya 48 jam di unit rawatan intensif (ICU). Dalam SDD, antibiotik yang tidak dapat diserap digunakan pada orofaring (sepertiga belakang lidah, lelangit lembut, sisi dan belakang tekak dan tonsil), esofagus, perut, dan usus. SOD melibatkan penggunaan antibiotik yang tidak dapat diserap hanya di orofaring. Rejimen ini boleh diberikan secara tunggal atau gabungan dengan antibiotik sistemik.

Latar belakang

Jangkitan yang diperoleh di ICU adalah komplikasi rawatan yang penting dengan ventilasi (sokongan pernafasan mekanikal invasif) pada pesakit yang mengalami penyakit yang sangat teruk yang memerlukan rawatan sedemikian. Sebahagian daripada mereka akan mati kerana jangkitan ini. Satu kaedah yang telah dinilai untuk mengurangkan komplikasi ini adalah dengan menggunakan antibiotik sebagai langkah pencegahan.

Tarikh carian

Ulasan ini adalah terkini hingga 5 Februari 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 41 kajian yang melibatkan sejumlah 11,004 pesakit yang berventilasi secara mekanikal di ICU untuk mengetahui sama ada pemberian antibiotik topikal, tunggal atau dalam gabungan dengan antibiotik sistemik, mencegah jangkitan saluran pernafasan dan mengurangkan kematian. Antibiotik diberikan secara topikal (contohnya antibiotik digunakan terus ke orofaring atau perut melalui tiub nasogastrik) atau secara sistemik (contohnya secara intravena (terus ke vena pesakit).

Sumber pembiayaan kajian

Dua puluh dua kajian (52.4%) tidak melaporkan sumber pembiayaan; 6 kajian (14.3%) disokong oleh geran institusi awam; dan 13 kajian (30.1%) dibiayai sepenuhnya atau sebahagiannya oleh syarikat farmaseutikal.

Keputusan utama

Bagi pesakit yang menerima gabungan antibiotik topikal dan sistemik, terdapat kurang kematian (data dari 18 kajian dengan 5290 pesakit) dan mungkin kurang pesakit dengan jangkitan saluran pernafasan (data dari 17 kajian dengan 2951 pesakit) berbanding dengan mereka yang tidak mendapat rawatan atau plasebo, walaupun kami tidak dapat menolak kemungkinan bahawa komponen sistemik rawatan tersebut menyumbang kepada pengurangan kematian. Dengan andaian risiko 303 kematian dan 417 kes jangkitan saluran pernafasan dalam 1000 orang yang menerima ventilasi mekanikal, kami menjangkakan pengurangan 48 kematian dalam pesakit yang menerima gabungan antibiotik topikal dan sistemik dan pengurangan 238 kes jangkitan saluran pernafasan. Ketika pesakit yang menerima antibiotik topikal hanya dibandingkan dengan pesakit yang tidak mendapat rawatan, atau ketika pesakit yang menerima antibiotik topikal dan sistemik dibandingkan dengan pesakit yang hanya menerima antibiotik sistemik, jumlah kematian mungkin serupa (data dari 22 kajian dengan 4213 pesakit), walaupun terdapat lebih sedikit pesakit dengan jangkitan saluran pernafasan pada pesakit yang menerima profilaksis topikal (data dari 19 kajian; 2698 pesakit). Kejadian buruk jarang dilaporkan, dengan data yang terhad.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti yang tinggi hingga sederhana untuk kematian dan jangkitan saluran pernafasan dan rendah hingga sangat rendah untuk kejadian buruk.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information