Di negara berpendapatan tinggi dan sederhana, wad bersalin telah menjadi tetapan bersalin untuk majoriti ibu mengandung. Rutin intervensi perubatan juga telah meningkat secara berterusan dari masa ke semasa, membuatkan banyak pertanyaan tentang faedah, keselamatan, dan risiko untuk ibu mengandung yang sihat. Reka bentuk bilik bersalin di hospital konvensional adalah sama dengan reka bentuk bilik sakit hospital yang lain, iaitu katil hospital sebagai ciri utama bilik, dan peralatan perubatan berada dalam pandangan yang jelas. Dalam usaha membantu bersalin dan kelahiran normal untuk ibu mengandung yang sihat, pelbagai tetapan institusi bersalin telah dibina. Ada bilik tidur ‘seperti rumah’ di dalam wad bersalin hospital. Ada unit kelahiran ‘seperti rumah’ bersebelahan wad bersalin. Ada juga pusat-pusat bersalin yang berdiri bebas. Baru-baru ini, bilik ‘ambien’ dan Snoezelen telah dibina di dalam wad bersalin; bilik-bilik ini bukan ‘seperti rumah’ tetapi mempunyai pelbagai rangsangan deria dan reka bentuk untuk menggalakkan perasaan tenang, dalam kawalan, dan kebebasan bergerak.
Tujuan utama ulasan ini adalah untuk menilai kesan, terhadap bersalin dan kelahiran, dalam jagaan pada tetapan institusi bersalin alternatif berbanding jagaan di wad bersalin hospital konvensional. Kami menyertakan sepuluh kajian yang melibatkan 11,795 wanita. Kami menemui tiada kajian tentang pusat bersalin berdiri bebas. Jika dibandingkan dengan tetapan institusi konvensional, tetapan alternatif menunjukkan pengurangan kemungkinan untuk intervensi perubatan, peningkatan kemungkinan untuk bersalin spontan melalui vagina, peningkatan kepuasan ibu, dan kemungkinan yang lebih besar untuk meneruskan penyusuan badan dalam satu ke dua bulan selepas bersalin, dengan tiada risiko yang jelas terhadap ibu atau bayi. Malangnya, dalam beberapa kajian, reka bentuk tetapan alternatif dikelirukan dengan perbezaan model-model organisasi penjagaan (termasuk kakitangan berasingan dan lebih banyak kesinambungan pengasuh dalam tetapan alternatif), oleh itu, adalah tidak mungkin membuat kesimpulan tentang kesan tertentu berkaitan reka bentuk persekitaran bersalin. Kami menyimpulkan bahawa wanita dan pembuat dasar harus mengambil maklum tentang manfaat tetapan institusi yang tertumpu kepada menggalakkan bersalin dan kelahiran normal.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Muhammad Ibrahim Bin Johari (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).