Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan risiko asid lemak omega-3 untuk kepincangan akibat sekatan darah (klaudikasi intermiten)?

Mesej utama

Kami sangat tidak pasti sama ada pengambilan tambahan asid lemak omega-3 berkesan ke atas kualiti hidup, jarak berjalan kaki, atau aliran darah ke kaki orang dengan klaudikasi intermiten.

Kami sangat tidak pasti sama ada pengambilan suplemen asid lemak omega-3 berkesan ke atas tekanan darah, atau kandungan kolesterol atau trigliserida (pembentukan bahan lemak) dalam darah.

Pengambilan omega-3 mungkin tidak mempengaruhi masalah peredaran darah yang membawa maut atau tidak membawa maut, atau kesan sampingan lain, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini.

Lebih banyak kajian yang direka dengan baik melibatkan lebih ramai orang diperlukan untuk membantu memahami sama ada penambahan omega-3 membawa sebarang manfaat atau risiko.

Apakah itu klaudikasi interminten?

Klaudikasi intermiten adalah sakit di betis kaki akibat kekurangan darah yang diperlukan untuk membekal otot-otot tersebut dengan oksigen semasa senaman atau pergerakan, menyebabkan seseorang bergerak secara perlahan atau berhenti bergerak. Ia adalah simptom paling biasa yang dilapor oleh orang dengan penyakit arteri anggota bawah yang telah lama wujud, yang berlaku apabila arteri yang membekalkan darah ke anggota bawah menyempit. Penyempitan ini paling biasa berlaku dengan aterosklerosis, akibat daripada pengumpulan bahan berlemak, seperti kolesterol dan trigliserida.

Bagaimanakah klaudikasi intermiten dirawat?

Orang dengan penyakit arteri anggota bawah dinasihat agar berhenti merokok, kawal tahap glukosa darah, amalkan senaman berstruktur, mengambil ubat-ubatan khas, dan menjalani rawatan yang lebih kompleks, seperti angioplasti (menyahsekat saluran darah) atau rawatan pembedahan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada penambahan asid lemak omega-3 lebih baik daripada rawatan palsu (iaitu rawatan yang tidak mengandungi sebarang omega-3) atau rawatan alternatif untuk memperbaik:

- Kualiti hidup

· Jarak berjalan

· Aliran darah di kaki

· Tahap kolesterol dan trigliserida

- Tekanan darah;

· Bilangan angioplasti (membuka arteri yang tersumbat atau sempit) atau kekerapan rawatan pembedahan

Kami juga ingin tahu jika omega -3 dikaitkan dengan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan asid lemak omega-3 dengan rawatan palsu atau terapi alternatif dalam kalangan orang dengan klaudikasi intermiten. Kami ingin tahu jika penambahan omega-3 lebih baik daripada rawatan palsu atau terapi alternatif untuk memperbaik hasil.

Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 15 kajian melibatkan 1830 orang dengan gejala klaudikasi intermiten, penyakit arteri kaki, atau kedua-duanya. Terdapat 971 orang dalam kajian terbesar dan 18 orang dalam kajian terkecil. Kajian-kajian itu dijalankan di United Kingdom, Australia, Belanda, Switzerland, Amerika Syarikat, dan Sepanyol. Purata usia peserta yang mengambil bahagian adalah antara 62 hingga 69 tahun. Empat kajian hanya merekrut lelaki.

Penambahan minyak ikan omega-3 diguna dalam 11 kajian, manakala makanan yang mengandungi omega-3 diguna dalam empat kajian yang lain. Dos yang berbeza digunakan. Kajian-kajian itu berlangsung antara empat minggu sehingga kira-kira enam tahun. Semua kecuali satu menggunakan rawatan tiruan sebagai perbandingan. Sesetengah kajian dibiaya oleh pengeluar tambahan dan makanan omega-3.

Keputusan utama

Berbanding tanpa penambahan omega-3:

Penambahan Omega-3 mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kualiti hidup, jarak berjalan, aliran darah di kaki, atau jumlah angioplasti, pembaikan surgikal, atau amputasi, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan.

Omega-3 mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas paras kolesterol atau trigliserida, atau tekanan darah.

Tidak terdapat sebarang perbezaan dalam masalah berkaitan peredaran yang membawa maut atau tidak membawa maut di antara orang yang mengambil omega-3 dan mereka yang tidak mengambil omega-3, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan.

Hanya 7 kajian melaporkan sama ada peserta mengalami kesan sampingan yang tidak diingini, seperti sakit perut atau sakit kepala. Bukti mencadangkan terdapat sedikit atau tiada perbezaan di antara mereka yang mengambil omega-3 dan mereka yang tidak mengambil omega-3 untuk kesan sampingan.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti untuk setiap hasil yang paling penting adalah sangat rendah ke rendah. Ini disebabkan cara kajian tersebut direka, bilangan kecil peserta yang terlibat, dan perbezaan hasil temuan antara kajian-kajian itu. Banyak kajian melapor keputusan dengan cara yang tidak membolehkan kami sertakannya dalam analisis statistik kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 19 April 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Mohammady M, Brown T, Radmehr M, Shamsoddin E, Janani L. Omega-3 fatty acids for intermittent claudication. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 10. Art. No.: CD003833. DOI: 10.1002/14651858.CD003833.pub5.