Mesej utama
Wanita yang menjalani teknologi bantuan reproduksi (ART), iaitu persenyawaan in vitro (IVF) atau suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI), yang dikenal pasti sebagai responden yang lemah harus mempertimbangkan pra-rawatan atau rawatan bersama dengan testosteron (T).
Apakah isunya?
Dehidroepiandrosteron (DHEA) dan testosteron (T) adalah hormon yang dikenali sebagai androgen. Selama bertahun-tahun, versi sintetik bagi hormon-hormon ini telah digunakan sebelum rawatan ART untuk meningkatkan peluang wanita untuk hamil. Androgen dianggap dapat meningkatkan peluang untuk mendapatkan kelahiran hidup dengan mempertingkatkan kuantiti dan kualiti telur.
Mengapakah ini penting?
Androgen (DHEA dan T) biasanya dipreskripsikan oleh doktor sebagai rawatan adjung (tambahan) kepada ART, dan penggunaannya diminta oleh pesakit. Banyak kajian daripada kualiti dan hasil yang berbeza telah dilakukan untuk melihat sama ada pra-rawatan atau rawatan bersama dengan androgen dapat meningkatkan hasil ART.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada androgen (DHEA atau T) sebagai rawatan tambahan adalah lebih baik berbanding plasebo (rawatan palsu), tiada rawatan, atau rawatan aktif yang lain untuk memperbaiki:
- kadar kelahiran hidup/kehamilan yang berterusan ('kelahiran hidup' ditakrifkan sebagai kelahiran janin hidup selepas cukup 20 minggu tempoh kehamilan; 'kehamilan berterusan' ditakrifkan sebagai bukti kewujudan kantung hamil dengan aktiviti jantung janin pada 12 minggu atau kemudian, yang disahkan oleh ultrasound);
- kadar keguguran (ditakrifkan sebagai bilangan kehamilan yang gugur sebelum 20 minggu kehamilan);
- hamil klinikal (ditakrifkan sebagai bukti kewujudan kantung kehamilan dengan aktiviti jantung janin selepas enam minggu kehamilan, yang disahkan oleh ultrasound).
Kami juga ingin mengetahui sama ada androgen (DHEA atau T) yang digunakan dengan ART mempengaruhi risiko:
- kesan yang tidak diingini pada wanita termasuklah kehamilan ektopik dan komplikasi semasa hamil atau bersalin;
- kesan yang tidak diingini pada janin, termasuk anomali janin.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari semua kajian yang diterbitkan dan tidak diterbitkan yang membandingkan androgen (DHEA atau T) sebagai rawatan tambahan berbanding rawatan aktif yang lain, plasebo, atau tiada rawatan pada wanita yang menjalani ART. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 28 kajian yang melibatkan sejumlah 3002 wanita. Para peserta adalah wanita dengan ketidaksuburan lebih dari satu tahun dalam semua kajian yang disertakan. Empat belas kajian melihat kepada DHEA, dan 14 melihat kepada T.
- T mungkin meningkatkan peluang kehamilan yang berjaya pada wanita yang dikenal pasti sebagai responden lemah terhadap IVF.
- DHEA mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan kepada kemungkinan kehamilan yang berjaya pada wanita yang dikenal pasti sebagai responden yang lemah terhadap IVF.
- Androgen (DHEA dan T) mungkin tidak mengurangkan kemungkinan keguguran pada wanita. Tidak pasti jika DHEA dan T dapat meningkatkan peluang kehamilan berganda.
Apakah batasan bukti?
Secara keseluruhannya, kami hanya sederhana yakin dengan bukti kerana wanita yang terlibat dalam kajian tersebut boleh menyedari penetapan rawatan; jumlah kejadian yang rendah; dan kaedah kajian kurang dilaporkan. Maklumat mengenai kesan yang tidak diingini adalah sangat terhad, dan sebarang kejadian yang dilaporkan adalah kecil. Kajian lanjutan diperlukan untuk mengenal pasti tempoh rawatan dengan T yang optimum. Kajian-kajian pada masa hadapan harus mengumpulkan data mengenai kesan yang tidak diingini dan kehamilan berganda.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan yang terdahulu. Bukti ini terkini sehingga Januari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Rosnani Zakaia (Universiti Sains Malaysia).