Langkau ke kandungan utama

Bolehkah antibiotik menghilangkan atau mengurangkan jangkitan mikobakteria bukan tuberkulosis dalam paru-paru orang dengan cystic fibrosis?

Mesej utama

  • Terdapat kurang bukti yang menggariskan panduan tentang rawatan antibiotik untuk mikobakteria bukan tuberkulosis pada penghidap cystic fibrosis.

  • Kajian yang lebih besar dan lebih piawai yang melihat kedua-dua keputusan makmal dan gejala diperlukan sebelum kita boleh membuat perbandingan berkesan antara rawatan antibiotik berbeza.

Apakah itu cystic fibrosis?

Cystic fibrosis ialah keadaan genetik (apabila kedua-dua ibu bapa mewariskan gen cystic fibrosis kepada anak-anak mereka) dan orang dengan cystic fibrosis mengalami kesukaran membersihkan sekresi lendir melekit daripada beberapa organ dalam badan, yang menyebabkan masalah kesihatan. Di dalam paru-paru, masalah untuk membersihkan lendir boelh menyebabkan isu jangkitan. Dari masa ke masa, jangkitan ini membawa kepada penyakit paru-paru yang progresif (yang menjadi lebih teruk dari masa ke masa disebabkan oleh parut di paru-paru), menyebabkan paru-paru berfungsi kurang baik (penurunan fungsi paru-paru ) dan juga boleh mengakibatkan kematian. Kejayaan merawat jangkitan paru-paru dengan antibiotik boleh melambatkan pemudaratan penyakit paru-paru dan seterusnya memanjangkan jangka hayat.

Apakah mikobakteria bukan tuberkulosis?

Mikobakteria bukan tuberkulosis ialah bakteria yang biasa ditemui dalam persekitaran yang mengakibatkan jangkitan paru-paru pada penghidap cystic fibrosis, seterusnya mengakibatkan gejala yang lebih teruk. Terdapat beberapa jenis mikobakteria bukan tuberkulosis. Antibiotik boleh menghapuskan mikobakteria bukan tuberkulosis dan meningkatkan fungsi paru-paru, walau bagaimanapun antibiotik boleh memberi kesan sampingan yang kurang menyenangkan (contohnya, rasa kurang sihat atau sakit, cirit-birit, hilang selera) dan rawatan selalunya berpanjangan.

Apa yang kami ingin ketahui?

Sehingga kini, garis panduan rawatan antibiotik semasa untuk penyakit paru-paru mikobakteria bukan tuberkulosis tidak berdasarkan bukti khusus untuk penghidap cystic fibrosis. Kami ingin mengetahui antibiotik yang paling berkesan untuk pesakit ini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan rawatan antibiotik dengan tiada rawatan antibiotik atau rawatan antibiotik berbeza pada penghidap dengan cystic fibrosis rentas umur, yang mengalami jangkitan mikobakteria bukan tuberkulosis.

Apa yang telah kami temui?

Kami menemui satu kajian kecil sejak dari tahun 2003 yang menerangkan hanya 11 orang penghidap cystic fibrosis berumur antara 10 dan 36 tahun, yang dirawat untuk jangkitan mikobakteria bukan tuberkulosis. Semua pesakit mengalami jangkitan untuk tempoh yang lama . Pesakit menerima antibiotik berbeza bergantung pada jenis mikobakteria bukan tuberkulosis yang mengjangkiti mereka.

Kajian tersebut melaporkan bahawa dalam 10 daripada 11 orang, jangkitan mikobakteria bukan tuberkulosis telah dirawat sepenuhnya. Lima pesakit melaporkan sekurang-kurangnya satu kesan sampingan yang tidak diingini; tiga melaporkan sensitiviti kepada cahaya apabila mengambil antibiotik yang dipanggil ciprofloxacin, yang mana setiap peristiwa berikut dilaporkan sekali: pendengaran terjejas, sawan (kejang), masalah saraf (contohnya, sakit, kebas dan lemah) dan lupus erythematous (keadaan di mana badan menyerang tisu sendiri). Tiada kesan yang konsisten pada fungsi paru-paru, dengan satu parameter ukuran meningkat dalam kalangan enam pesakit, berkurangan dalam kalangan empat pesakit dan kekal pada seorang pesakit. Apabila menggunakan parameter ukuran lain, fungsi paru-paru meningkat dalam lapan pesakit dan menurun dalam tiga pesakit. Dua pesakit meninggal dunia disebabkan cystic fibrosis yang progresif, dua tahun selepas selesai rawatan untuk jangkitan mikobakteria bukan tuberkulosis. Seorang lagi meninggal dunia akibat pendarahan dalam saluran penghadaman dan masalah dengan buah pinggangnya lapan tahun selepas menerima pemindahan paru-paru (pembedahan yang menggantikan paru-paru yang berpenyakit dengan paru-paru yang sihat daripada orang lain); namun jangkitan telah hilang dan kekal tiada sehingga kematiannya. Lapan orang bertambah berat, manakala tiga orang kehilangan berat badan. Penyelidik juga melaporkan dari aspek indeks jisim badan dalam tiga orang (yang merupakan petunjuk berapa banyak lemak badan terdapat). Nilai menurun sedikit dalam dua orang dan meningkat sedikit dalam satu orang.

Apakah batasan bukti?

Berdasarkan kualiti kajian, reka bentuknya dan bukti tersedia, kami sangat tidak sahkan kesan antibiotik berbeza terhadap jangkitan paru-paru, fungsi paru-paru dan kesan sampingan yang tidak diingini.

Sejauh manakah terkininya bukti ini?

Tarikh carian terkini ialah 14 Oktober 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Jahnke N, Waters V, Ratjen F, Smith S, Hambleton IR, Scharf N. Antibiotic treatment for non-tuberculous mycobacteria lung infection in people with cystic fibrosis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 3. Art. No.: CD016039. DOI: 10.1002/14651858.CD016039.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan