Langkau ke kandungan utama

Apakah kebaikan dan keburukan menyekatkan cecair pada bayi yang dilahirkan pramatang dan dengan duktus arteriosus paten (terbuka)?

Mesej utama:

Tiada bukti untuk atau menentang pengurangan cecair sebagai pilihan rawatan untuk duktus arteriosus paten (terbuka) pada bayi pramatang.

Kami memerlukan kajian rawak terkawal yang menjawab soalan kami untuk membantu membuat keputusan klinikal .

Apakah itu duktus arteriosus paten (terbuka) (PDA)?

Duktus arteriosus ialah satu saluran darah tambahan yang mengalir di antara jantung dan paru-paru pada bayi sebelum kelahiran dan sejurus selepas itu. Bagi jantung dan paru-paru berfungsi dengan baik selepas kelahiran, saluran darah ini mesti ditutup. Dalam kebanyakan bayi, ianya ditutup secara semula jadi dalam beberapa hari, dan dalam keadaan baik sahaja.

Walau bagaimanapun, dalam sesetengah bayi pramatang (bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu kehamilan), duktus arteriosus kekal terbuka (yang dipanggil sebagai paten). Ini bermakna darah tambahan boleh mengalir ke dalam paru-paru dan mengakibatkan masalah (bergejala). Keadaan ini dipanggil sebagai duktus arteriosus paten (terbuka) (PDA).

PDA mungkin boleh dirawat dengan mengurangkan jumlah cecair yang diberikan kepada bayi-bayi ini. Kami tidak pasti tentang faedah dan risiko memberikan bayi pramatang cecair yang kurang untuk mengurangkan masalah yang berkaitan dengan PDA.

Apakah maksud memyekatkan cecair?

Sekatan cecair bermaksud mengehadkan jumlah cecair pemakanan atau ubatan yang diberikan kepada bayi yang tidak dapat menyusu badan atau menyusu dengan botol. Apabila bayi tidak dapat mengambil apa-apa melalui mulut, pemakanan dan ubatan mereka diberikan sama ada melalui urat vena mereka (pemakanan parenteral) atau melalui satu tiub ke dalam perut mereka (pemakanan enteral). Mengehadkan jumlah cecair ini adalah satu rawatan yang digunakan untuk bayi dengan PDA.

Para pakar percaya bahawa mengehadkan cecair mungkin boleh membantu dengan berpotensi mengubah cara jantung mengepam darah ke seluruh badan, dan dengan mengurangkan usaha yang diperlukan untuk jantung mengepam darah. Walau bagaimanapun, ianya juga boleh berisiko untuk mengehadkan pengambilan cecair. Salah satu risiko ialah bayi mungkin tidak mendapat nutrisi yang mencukupi.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada menyekatkan cecair dapat membantu mengurangkan penyakit atau kematian pada bayi dengan PDA.

Kami ingin mencari bukti yang akan membantu para doktor bagi memutuskan sama ada untuk menyekatkan pemberian cecair atau tidak, tetapi kami tidak menemui sebarang kajian.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang menilai pengurangan penyusuan cecair, sama ada melalui tiub ke dalam perut, atau melalui jarum ke dalam urat vena, pada bayi dengan PDA.

Apakah yang kami temui?

Kami tidak menemui sebarang kajian rawak terkawal (satu kajian yang mana peserta ditentukan kepada kumpulan kajian yang berbeza secara kebetulan) yang menilai rawatan ini pada bayi pramatang dengan PDA.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak menemui sebarang bukti daripada kajian rawak terkawal.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Petikan
MacLellan A, Cameron-Nola AJ, Cooper C, Mitra S. Fluid restriction for treatment of symptomatic patent ductus arteriosus in preterm infants. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 12. Art. No.: CD015424. DOI: 10.1002/14651858.CD015424.pub2.