Mesej utama
- Kami membuat kesimpulan bahawa adalah tidak pasti jika jantina (sama ada pesakit lelaki atau perempuan) adalah peramal bebas risiko kematian pada pesakit menghidapi embolisme pulmonari (darah beku dalam paru-paru), kerana ulasan kami menemui keputusan yang bercanggah.
Kami menemui pengurangan kecil tetapi penting dalam kematian daripada sebarang punca dalam tempoh 30 hari selepas embolisme pulmonari, pada wanita dibandingkan pesakit lelaki. Walau bagaimanapun, untuk pesakit wanita, terdapat peningkatan kecil tetapi penting dalam jumlah kematian yang berlaku di hospital jika dinilai daripada sebarang akibat. Kami menemui sedikit atau tiada perbezaan antara pesakit lelaki dan wanita dalam kematian khususnya berkaitan dengan embolisme pulmonari sehingga ke 30 hari seelpas diagnosis. Kami mempunyai keyakinan yang sederhana hingga rendah terhadap bukti tersebut.
Terdapat keperluan untuk kajian lanjut yang berkualiti untuk menjelaskan sama ada terdapat perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam kemungkinan kematian selepas PE. Ulasan kami membuat cadangan tentang cara penyelidikan ini harus dijalankan.
Apakah embolisme pulmonari?
Ia adalah darah beku yang terbentuk daripada jisim sel darah yang terjadi dalam saluran darah. Bekuan darah boleh melindungi daripada pendarahan berterusan, tetapi ia juga boleh mengakibatkan masalah. Embolisme pulmonari berlaku apabila bekuan darah terkeluar dari tempat asalnya dan bergerak ke paru-paru, di mana ia boleh mengakibatkan penyumbatan dalam peredaran darah.
Embolisme pulmonari boleh mengancam nyawa. Ia merupakan punca kematian kardiovaskular ketiga paling kerap (selepas serangan jantung dan angin ahmar), dan ia merupakan akibat utama kematian yang boleh dicegah dalam pesakit yang dimasukkan ke hospital.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kajian Cochrane ini bertujuan untuk menentukan sama ada jantina, dengan sendirinya, boleh meramalkan risiko kematian pada dewasa dengan embolisme pulmonari.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang menilai sama ada terdapat kaitan (bebas daripada faktor yang lain) antara jantina dan kematian pada dewasa dengan embolisme pulmonari. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui tiga kajian yang relevan melibatkan 726,293 peserta. Kajian tersebut mendapati tiga hasil ulasan: kematian di hospital atas sebarang sebab ('kematian hospital semua sebab'); kematian berlaku atas sebarang sebab dari masa diagnosis embolisme pulmonari atau memulakan rawatan sehingga 30 hari kemudian ('kematian semua sebab pada 30 hari'); dan kematian disebabkan oleh embolisme pulmonari (PE) yang berlaku antara masa diagnosis PR atau memulakan rawatan dan 30 hari kemudian ('kematian berkaitan PE pada 30 hari'). Tiada kajian mengukur hasil lain yang kami mahukan (cth kematian mengikut titik masa satu tahun).
Keputusan utama
Kajian itu melihat kepada rekod perubatan lepas pesakit yang dirawat di hospital antara 2000 dan 2018, sama ada di AS, Sepanyol, atau Jepun. Kebanyakan kajian dijalankan di beberapa hospital. Semua kajian dijalankan di negara-negara berpendapatan rendah atau sederhana. Para peserta dalam setiap kajian mempunyai purata umur lebih 60 tahun, dan kebanyakan peserta mempunyai gejala PE.
Kami menemui bahawa, pada pesakit wanita dengan PE, kemungkinan terdapat pengurangan kecil tetapi penting dalam kematian semua sebab pada 30 hari (2 kajian, 17, 627 peserta) jika dibandingkan dengan pesakit lelaki. Selain itu, kami juga menemui bahawa, bagi pesakit wanita, boleh terdapat peningkatan kecil tetapi penting dalam kematian hospital semua sebab (3 kajian, 611, 210 peserta), dan boleh terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara jantina dalam kematian berkaitan PE pada 30 hari (2 kajian, 3524 peserta). Disebabkan keputusan yang bercampur dan terdapat jurang dalam maklumat (contohnya banyak hasil kami tidak diukur), kami mungkin tidak dapat mencapai kesimpulan yang boleh dipercayai tentang sama ada risiko kematian selepas PE boleh diramalkan berdasarkan jantina.
Apakah batasan bukti?
Bukti kajian dihadkan oleh bilangan kajian yang kecil, penerangan yang kurang baik tentang cara kajian itu dijalankan, dan kemasukan kajian kami yang mengumpulkan maklumat pesakit daripada pangkalan data pentadbiran, seperti rekod hospital atau insurans. Pada masa hadapan, apabila lebih banyak kajian telah dijalankan dan disertakan dalam kemas kini ulasan ini, penemuan kami boleh berbeza daripada keputusan yang dibentangkan di sini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah berdasarkan carian ke atas kajian-kajian yang dijalankan pada Jun 17, 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).