Pesakit dengan kanser rektum, bahagian akhir usus besar yang terletak betul-betul di atas anus, dirawat dengan pembedahan. Apabila tumor dianggap mempunyai risiko tinggi berulang selepas pembedahan, satu siri rawatan radioterapi (RT) diberikan sebelum pembedahan. Kajian klinikal telah membuktikan bahawa radioterapi 'preoperatif' ini meningkatkan hasil rawatan bagi pesakit kanser rektum. Baru-baru ini, beberapa kajian telah menyelidik gabungan radioterapi dengan kemoterapi (CRT) sebelum pembedahan. Secara teori, penambahan kemoterapi meningkatkan aktiviti antitumor radioterapi. Meta-analisis ini telah merumuskan hasil daripada lima kajian yang membandingkan RT praoperasi sahaja dengan CRT praoperasi dalam kalangan pesakit kanser rektum. Semua kajian ini adalah rawak, yang bermaksud keputusan untuk memberikan sama ada RT atau CRT ditentukan secara kebetulan (cabutan undian). Keputusan meta-analisis boleh dirumuskan seperti berikut. Dibandingkan dengan RT sahaja, CRT praoperatif menyebabkan peningkatan kesan sampingan semasa rawatan. Juga, komplikasi selepas pembedahan meningkat sedikit, walaupun risiko kematian akibat komplikasi selepas pembedahan adalah serupa. CRT praoperatif adalah lebih berkesan dalam mengecilkan tumor (penurunan tahap), dan mencegah berulangnya penyakit di lokasi asal. Walau bagaimanapun, penambahan kemoterapi tidak meningkatkan bilangan pembedahan pemeliharaan sfinkter, dan tidak menjejaskan kelangsungan hidup keseluruhan pesakit kanser rektum.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash Universiti Malaysia). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).