Langkau ke kandungan utama

Pendekatan untuk memandu terapi oksigen bagi pesakit rawatan intensif dewasa dengan sindrom distres respiratori akut

Latar belakang

Sindrom distres respiratori akut (ARDS) adalah masalah pernafasan yang sangat teruk dengan kadar mortaliti yang tinggi (kemungkinan mati). Ia mempunyai banyak kemungkinan penyebab, termasuk jangkitan virus seperti COVID-19, dan tiada rawatan khusus untuknya kecuali memberi pesakit oksigen melalui ventilator (mesin pernafasan buatan) di unit penjagaan intensif, sering untuk jangka masa yang panjang. Walau bagaimanapun, oksigen yang banyak (sama ada kepekatan oksigen tinggi atau oksigen diberi untuk jangka masa panjang) dikaitkan dengan peningkatan bahaya akibat penyakit lain (misalnya serangan jantung atau strok).

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada pesakit dengan masalah paru-paru yang teruk (ARDS) boleh dirawat dengan lebih baik (termasuk kurang kemungkinan mati) jika mereka menerima oksigen yang lebih atau kurang ketika dirawat melalui ventilator di penjagaan intensif.

Kaedah

Kami mencari pangkalan data perubatan utama sehingga 15 Mei 2020 untuk kajian klinikal yang mengkaji penggunaan oksigen dalam kalangan pesakit dewasa dengan ARDS di unit penjagaan intensif. Kami hanya mencari kajian dengan pesakit yang paling sakit, iaitu mereka yang memerlukan bantuan pernafasan melalui tiub pernafasan yang disambung ke mesin pernafasan buatan. Kami tidak mengehadkan carian berdasarkan bahasa penerbitan.

Selain mengekstrak dan menganalisis data dari kajian yang memenuhi kriteria ini, kami juga menilai risiko bias (keadilan) dan kepastian (keyakinan) penemuan-penemuan.

Keputusan

Kami sertakan hanya satu kajian (205 peserta) dalam ulasan ini. Pesakit dengan ARDS dan menerima oksigen melalui tiub pernafasan di unit penjagaan rapi mungkin berpeluang kematian lebih tinggi jika mereka menerima kurang oksigen berbanding lebih oksigen, tetapi bukti ini sangatlah tidak pasti.

Kepastian bukti

Kepastian (keyakinan) kami terhadap penemuan ini sangat rendah kerana data hanya tersedia dari satu kajian dengan sebilangan kecil peserta, dan dihentikan lebih awal dari jangkaan kerana kebimbangan keselamatan. Oleh itu, kami tidak dapat menyatakan secara pasti sama ada memberi lebih banyak atau kurang oksigen kepada pesakit ARDS boleh membantu.

Nota terjemahan

Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Cumpstey AF, Oldman AH, Smith AF, Martin D, Grocott MPW. Oxygen targets in the intensive care unit during mechanical ventilation for acute respiratory distress syndrome: a rapid review. Cochrane Database of Systematic Reviews 2020, Issue 9. Art. No.: CD013708. DOI: 10.1002/14651858.CD013708.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan