Langkau ke kandungan utama

Kesan intervensi yang menyasarkan tindak balas keradangan sistemik terhadap pembedahan jantung ke atas hasil klinikal dalam kalangan orang dewasa

Mesej utama

- Kami tidak pasti mengenai manfaat intervensi anti-radang selepas pembedahan jantung.

- Kajian lebih lanjut seharusnya meneroka peranan faktor-faktor seperti usia dan keadaan kronik terhadap tindak balas intervensi anti-radang.

Apakah hubungan antara tindak balas keradangan dan kerosakan organ selepas pembedahan jantung?

Selepas pembedahan jantung, pelbagai organ boleh mengalami kerosakan, menyebabkan komplikasi yang serius, dan juga kematian. Kami masih tidak tahu dengan jelas bagaimana untuk mengelakkannya. Beberapa penulis berpendapat bahawa dengan mengurangkan tindak balas radang berlebihan (SIRS, sindrom tindak balas radang sistemik) yang terjadi dalam tubuh kita sebagai tindak balas terhadap pembedahan, kita mungkin dapat mengurangkan kerosakan organ. Ini telah diuji dalam beberapa kajian saintifik, tetapi hasilnya tidak konslusif. SIRS diperhatikan pada lebih daripada 80% pesakit yang menjalani pembedahan besar, dan dalam julat antara 28.3% hingga 96.2% dalam kes pembedahan jantung.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin memahami sama ada dengan mengurangkan tindak balas radang selepas pembedahan jantung mempunyai faedah klinikal.

Apakah yang kami lakukan?

Kami menjalankan ulasan ini untuk merangkumkan keputusan daripada kajian-kajian ini, dengan mencari pangkalan data yang mengandungi laporan kajian yang masih berjalan dan yang telah selesai dalam tempoh 30 tahun yang lalu. Kami hanya memasukkan kajian yang dijalankan dalam kalangan pesakit dewasa.

Apakah yang kami temui?

Keputusan daripada 328 kajian termasuk 40,255 pesakit dengan ini dibentangkan. Kesan terhadap aktiviti radang (diukur melalui tahap tanda utama yang beredar dalam darah kita) tidak berubah dengan jelas. Kematian, sebaliknya berkurang dalam kajian-kajian ini, walaupun kesan ini tidak dapat disahkan apabila kami mengulangi pengiraan kami dalam kajian-kajian yang dijalankan pada standard kualiti tertinggi secara eksklusif. Tanda-tanda lain keradangan dan kerosakan organ tidak berubah dengan jelas.

Secara keseluruhan, kajian lebih lanjut diperlukan sebelum kita dapat memahami sama ada dengan menyasarkan pada keradangan, kita dapat mencegah kerosakan organ.

Apakah batasan bukti?

Kerja kami menunjukkan ketidaksamaan dalam kesimpulan kajian-kajian ini dan masalah yang wujud dalam beberapa kaedah yang diambil, mengurangkan keyakinan dalam hasil analisis kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti dikemas kini hingga Oktober 2022.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Abdul Rauf Badrul Hisham (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Petikan
Abbasciano RG, Tomassini S, Roman MA, Rizzello A, Pathak S, Ramzi J, Lucarelli C, Layton G, Butt A, Lai F, Kumar T, Wozniak MJ, Murphy GJ. Effects of interventions targeting the systemic inflammatory response to cardiac surgery on clinical outcomes in adults. Cochrane Database of Systematic Reviews 2023, Issue 10. Art. No.: CD013584. DOI: 10.1002/14651858.CD013584.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan