Langkau ke kandungan utama

Pengurusan kesakitan untuk pengguguran perubatan sebelum 14 minggu kehamilan

Mesej utama

• Ibuprofen mempunyai bukti terbaik untuk menguruskan kesakitan semasa pengguguran perubatan dalam 14 minggu pertama kehamilan, tetapi dos terbaik tidak jelas.

• Kajian lanjut diperlukan bersama-sama dengan cara merekod kesakitan yang teguh dan konsisten.

Apakah pengguguran perubatan?

Terdapat dua jenis pengguguran utama - pembedahan atau perubatan. Pengguguran pembedahan dilakukan oleh doktor pakar di klinik. Dalam pengguguran perubatan, wanita mengambil ubat ('pil pengguguran' yang terdiri daripada mifepristone dan misoprostol) untuk menamatkan kehamilan mereka. Pengguguran perubatan semakin biasa di seluruh dunia, tetapi ia diketahui menyebabkan kekejangan dan kesakitan pada abdomen bawah. Dalam 14 minggu pertama kehamilan, pengguguran perubatan boleh berlaku di klinik atau di rumah, jadi penting untuk wanita mempunyai cara untuk merawat diri mereka sendiri untuk kesakitan.

Apakah yang pengulas ingin tahu?

Ianya tidak jelas apakah kaedah terbaik untuk merawat kesakitan ini. Pengulas berminat dengan bukti untuk ubat pelega kesakitan, seperti ibuprofen atau opiat, dan kaedah bukan perubatan lain seperti botol air panas atau kesedaran berfokus.

Apakah yang telah pengulas lakukan?

Pengulas mencari kajian yang membandingkan rawatan melegakan kesakitan yang berbeza untuk pengguguran perubatan dalam 14 minggu pertama kehamilan.

Apakah yang telah pengulas temui?

Pengulas menjumpai lima kajian berbeza, kesemuanya melihat kepada pelbagai jenis rawatan. Dua kajian telah dijalankan di Israel, satu daripadanya membandingkan ibuprofen dengan plasebo, dan satu lagi membandingkan ibuprofen dengan parasetamol. Dua kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat, satu membandingkan ibuprofen yang diberikan sebagai tindak balas kepada kesakitan atau pencegahan, dan satu lagi membandingkan pregabalin dengan plasebo. Kajian terakhir telah dijalankan di UK dan membandingkan pergerakan semasa rawatan dengan dalam keadaan rehat.

Hasil utama

Pengulas menemui beberapa bukti untuk penggunaan ibuprofen yang diberikan sama ada secara rutin dengan misoprostol, atau sebagai tindak balas kepada kesakitan apabila diperlukan.

Dos terbaik ibuprofen tidak jelas, tetapi satu dos ibuprofen 1600 mg berkemungkinan berkesan, dan kurang pasti sama ada 800 mg berkesan. Parasetamol 2000 mg kurang berkemungkinan meningkatkan skor kesakitan seperti ibuprofen 1600 mg, namun penggunaannya tidak menunjukkan penyebab bahaya, dan ia tidak menjejaskan kejayaan pengguguran.

Satu dos pregabalin 300mg mungkin tidak menjejaskan skor kesakitan semasa pengguguran perubatan, tetapi seperti parasetamol, dos ini tidak menyebabkan sebarang bahaya yang diketahui. Bergerak atau berehat semasa prosedur pengguguran perubatan mungkin tidak menjejaskan skor kesakitan, atau kejayaan pengguguran atau masa yang diambil untuk melepasi kehamilan.

Batasan bukti

Kajian ini semuanya agak kecil dan tiada kajian yang membandingkan rawatan yang sama. Oleh itu, pengulas tidak dapat membandingkan keputusan mereka.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga 21 Ogos 2019.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Reynolds-Wright JJ, WoldetsadikMA, MorroniC, CameronS.Pain management for medical abortion before 14 weeks’ gestation. Cochrane Database of Systematic Reviews 2022, Issue 5. Art. No.: CD013525. DOI: 10.1002/14651858.CD013525.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan