Mesej utama
• Eritromisin boleh meningkatkan kualiti visual perut dan boleh juga mengurangkan sedikit keperluan untuk pemindahan darah.
• Kajian yang lebih besar dan direka dengan baik diperlukan untuk memberikan anggaran yang lebih baik tentang manfaat dan potensi bahaya dos eritromisin yang berbeza pada orang dengan berdarah gastrousus atas.
Pengenalan kepada topik ulasan
Saluran gastrousus atas termasuk osefagus (paip makanan), perut, dan duodenum (bahagian pertama usus kecil). Orang dengan pendarahan di saluran gastrousus atas memerlukan endoskopi (di mana doktor memasukkan satu tiub panjang dan fleksibel dengan cahaya dan kamera video ke dalam kerongkong dan melalui esofagus ke dalam perut dan duodenum) untuk mendiagnosis dan merawat punca pendarahan. Walau bagaimanapun, ia boleh menjadi sukar untuk mengenal pasti punca pendarahan sekiranya terdapat makanan atau darah di dalam perut. Eritromisin adalah ubat yang meningkatkan pengecutan esofagus dan perut, menyebabkan organ mengosongkan kandungannya dengan lebih cepat. Walau bagaimanapun, kami tidak tahu sama ada eritromisin, semasa diberikan sebelum endoskopi atas, adalah selamat dan berkesan untuk mengosongkan makanan atau darah daripada perut dan menambahbaik keputusan endoskopi.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada eritromisin adalah lebih baik daripada plasebo (sebarang rawatan dummy) atau ubat-ubatan lain untuk meningkatkan hasil tersebut.
• Kematian yang disebabkan oleh pendarahan gastrousus atas
• Peristiwa-peristiwa serius yang tidak diingini
• Kematian disebabkan sebarang akibat
• Peristiwa-peristiwa ringan yang tidak diingini
• Kemudahan untuk melihat perut semasa endoskopi
• Pendarahan semula
• Keperluan untuk pemindahan darah
• Keperluan untuk prosedur menyelamat (seperti pembedahan)
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang menyiasat kegunaan eritromisin berbanding dengan tiada rawatan, plasebo, atau ubat-ubatan yang lain dalam orang dewasa dengan pendarahan gastrousus atas yang telah menjalani endoskopi atas. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami telah menyertakan penemuan daripada 11 kajian yang melibatkan 878 orang dewasa dengan pendarahan gastrousus asas. Kebanyakan peserta adalah lelaki, dan purata umur antara 53 hingga 64 tahun. Kajian telah dijalankan di beberapa negara yang berbeza. Mereka telah membandingkan eritromisin dengan plasebo, bilas perut dengan tiub nasogastrik (menyuntik dan menyedut keluar air atau garam melalui tiub yang dimasukkan melalui hidung dan dengan hujungnya dimasukkan di dalam perut), dan metoclopramide (satu ubat yang mempercepatkan pengosongan perut).
Keputusan utama
Eritromisin dibandingkan dengan plasebo
Tiga kajian (255 orang) yang membandingkan eritromisin dengan plasebo. Tiada kematian yang disebabkan oleh pendarahan. Kami tidak tahu sama ada eritromisin mempunyai kesan terhadap peristiwa-peristiwa tidak diingini yang serius, kematian disebabkan oleh sebarang akibat, kesan ringan yang tidak diingini, atau pendarahan semula. Eritromisin mungkin membuatkan ia lebih senang untuk melihat perut semasa endoskopi dan mungkin mengurangkan pemindahan darah secara sedikit.
Eritromisin ditambah lavaj tiub nasogastrik berbanding tanpa rawatan/plasebo ditambah lavaj tiub nasogastrik
Enam kajian (408 orang) telah membandingkan eritromisin ditambah dengan lavaj tiub nasogastrik dengan tiada rawatan/plasebo ditambah dengan lavaj tiub nasogastrik. Tiada kematian yang berkaitan dengan pendarahan dan tiada peristiwa-peristiwa tidak diingini yang serius. Kami tidak tahu sama ada eritromisin ditambah dengan lavaj tiub nasogastrik berbanding dengan kepada tiada rawatan/plasebo ditambah dengan lavaj tiub nasogastrik mempunyai kesan terhadap kematian disebabkan sebarang akibat, kemudahan untuk melihat dalam perut, peristiwa-peristiwa ringan yang tidak diingini, pendarahan semula, atau pemindahan darah.
Eritromisin berbanding dengan lavaj tiub nasogastrik
Empat kajian (287 orang) telah membandingkan eritromisin dengan lavaj tiub nasogastrik. Tiada kematian yang berkaitan dengan pendarahan dan tiada peristiwa-peristiwa tidak diingini yang teruk. Kami tidak tahu sama ada eritromisin berbanding dengan lavaj tiub nasogastrik mempunyai sebarang kesan terhadap kematian disebabkan sebarang akibat, kemudahan untuk melihat perut, peristiwa-peristiwa tidak diingini yang ringan, pendarahan semula, atau pemindahan darah.
Eritromisin ditambah dengan lavaj tiub nasogastrik berbanding metoclopramide ditambah dengan lavaj tiub nasogastrik
Satu kajian (30 orang) telah membandingkan eritromisin ditambah dengan lavaj tiub nasogastrik dengan metoclopramide ditambah dengan lavaj tiub nasogastrik. Kami tidak tahu sama ada eritromisin ditambah dengan lavaj tiub nasogastrik mempunyai sebarang kesan terhadap sebarang hasil yang dilaporkan.
Kesimpulan
Disebabkan kekurangan bukti kukuh, manfaat dan kemudaratan eritromisin sebelum endoskopi untuk pendarahan gastrousus atas masih tidak jelas. Walau bagaimanapun, eritromisin berbanding dengan plasebo mungkin memudahkan perut dilihat semasa endoskopi dan mungkin mengurangkan sedikit pemindahan darah. Kajian yang lebih besar, direka dengan baik adalah diperlukan untuk memberikan anggaran manfaat dan potensi kemudaratan eritromisin di kalangan orang dengan pendarahan gastrousus atas.
Apakah batasan bukti tersebut?
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti disebabkan oleh keputusan berbeza merentas kajian, dan kajian melibatkan hanya sebilangan kecil orang. Sesetengah laporan tidak menerangkan dengan jelas bagaimana kajian tersebut dikendalikan, atau sama ada orang yang mengambil bahagian mengetahui siapa yang telah menerima ubat, yang boleh menjejaskan keputusan. Kajian lanjut mungkin mengubah keputusan kami.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga Oktober 2021.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.