Apakah matlamat ulasan tersebut?
Kami ingin mengetahui ujian pengimejan yang mana adalah lebih baik untuk mengenal pasti penyebaran penyakit di kalangan orang dengan diagnosis pertama melanoma (peringkat primer) dan di kalangan orang dengan kemungkinan melanoma berulang (pementasan semula). Kami telah melihat kepada bukti untuk ultrasound, CT, MRI, dan PET-CT dan telah menyertakan 39 kajian untuk menjawab soalan-soalan tersebut.
Mengapakah ujian pengimejan untuk melanoma penting?
Melanoma adalah satu bentuk kanser kulit yang paling agresif, dengan potensi metastasis (sel kanser) untuk merebak kepada nodus limfa dan organ-organ badan yang lain. Untuk memastikan orang dengan melanoma menerima rawatan yang paling sesuai dan berkesan, ia adalah penting untuk mengenal pasti sama ada penyakit telah merebak dan kepada bahagian tubuh badan yang mana ia telah merebak. Hal ini dikenali sebagai ‘pementasan penyakit’. Pementasan dilakukan untuk mengetahui sama ada melanoma telah merebak ke nodus limfa serantau atau nodus limfa berdekatan dengan melanoma asal, dan untuk menentukan sama ada melanoma telah merebak kepada nodus limfa pada bahagian badan yang lain atau kepada organ badan seperti hati atau otak (metastasis jauh). Ujian pengimejan adalah alat-alatan yang boleh digunakan untuk membantu mengetahui seberapa banyak penyakit itu telah merebak. Beberapa rawatan baru kini tersedia untuk mengurangkan risiko penyebaran melanoma dan untuk merawat melanoma apabila ia sudah merebak.
Apakah yang dipelajari dalam ulasan ini?
Ulasan ini telah menyertakan empat ujian pengimejan yang telah membuat imej badan dengan cara yang berbeza. Ultrasound telah menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi untuk menghasilkan imej, imbasan CT menggunakan radiasi pengionan dalam bentuk X-ray (satu dos radiasi yang sangat rendah), dan MRI menggunakan magnet besar dan radiasi bukan pengionan dalam bentuk gelombang radio (di mana adalah tidak memudaratkan) untuk menghasilkan imej badan. PET-CT memerlukan suntikan bahan radioaktif yang lemah (FDG). Bahagian PET imbasan mengenal pasti bahagian badan yang mengambil banyak FDG (yang menunjukkan kemungkinan sel kanser), dan bahagian CT imbasan yang membantu meningkatkan kualiti imej dan untuk menentukan bahagian kawasan dengan lebih tepat dengan menggunakan lebih banyak FDG. Ultrasound juga boleh dilakukan bersama dengan prosedur yang agak mudah dikenali sebagai ‘sitologi aspirasi jarum halus’ (FNAC), di mana jarum yang sangat halus digunakan untuk mengambil sampel kecil sel dari nodus limfa yang kelihatan mencurigakan pada ultrasound. Mikroskop kemudiannya digunakan untuk mengenal pasti sama ada sel-sel tersebut adalah malignan.
Pengimejan boleh digunakan pada titik masa yang berbeza selepas diagnosis melanoma. Penyedia penjagaan kesihatan boleh menggunakan pengimejan untuk melihat nodus limfa serantau yang paling dekat dengan melanoma sebelum sejenis pembedahan dikenali sebagai biopsi nodus limfa sentinel dilakukan. Biopsi nodus limfa sentinel mengeluarkan nodus limfa yang berkemungkinan besar mempunyai metastasis di dalam mereka supaya mereka boleh diuji di dalam makmal. Pengimejan juga boleh digunakan selepas biopsi nodus limfa sentinel atau dalam orang dengan melanoma berisiko tinggi untuk mencari sebarang penyebaran penyakit. Pengimejan boleh digunakan dalam orang yang telah dirawat untuk melanoma pada titik awal dan mereka yang mungkin mempunyai penyakit yang berulang.
Apakah keputusan utama ulasan?
Ultrasound nodus limfa serantau sebelum biopsi nodus limfa sentinel
Kami telah menemui 11 kajian berkaitan yang melibatkan 2614 orang. Tiga daripada kajian tersebut telah membandingkan ultrasound sendiri kepada ultrasound yang digabungkan dengan FNAC. Keputusan mencadangkan bahawa gabungan prosedur mengenal pasti secara tepat kira-kira satu perlima orang dengan metastasis dalam nodus limfa dengan hanya sangat sedikit keputusan positif palsu (orang dengan diagnosis metastasis yang salah). Keputusan tersebut boleh digambarkan dengan membayangkan sekumpulan 1000 orang dengan melanoma yang akan mempunyai biopsi nodus limfa sentinel, di mana 237 (24%) mempunyai metastasis dalam nodus limfa. Gabungan ultrasound dengan FNAC berpotensi membolehkan 43 orang dengan metastasis nodus limfa untuk dikenal pasti dan mengelakkan biopsi nodus limfa sentinel, pada kos dua orang dengan keputusan positif palsu yang mungkin terus menjalani rawatan yang salah. Mereka yang mempunyai metastasis dalam nodus limfa yang terlepas pada ultrasound (negatif palsu) akan dikenal pasti dalam SLNB seterusnya.
Pengimejan seluruh badan (pengesanan sebarang metastasis)
Kami menemui 24 kajian, tetapi hanya sembilan yang jelas tentang tempoh perjalanan penyakit semasa pengimejan telah dilakukan. Enam kajian telah melibatkan 492 orang yang telah melihat kepada pengimejan untuk pementasan primer berikutan diagnosi yang disahkan untuk melanoma, dan tiga kajian dalam 589 orang yang telah menilai pementasan semula penyakit pada orang dengan kemungkinan penyakit berulang.
Kebanyakan kajian (6/9) telah menganggap PET-CT, dua berbanding dengan CT sahaja, dan tiga kajian yang telah mengkaji penggunaan ultrasound. Kami tidak menemui kajian MRI yang sesuai dalam kumpulan tersebut.
Keputusan keseluruhan mencadangkan bahawa PET-CT adalah lebih baik untuk mengenal pasti secara tepat untuk orang dengan penyebaran penyakit metastatik yang mungkin mempunyai penyakit berulang (pementasan semula) berbanding dengan orang yang mempunyai diagnosis melanoma baru (pementasan primer). PET-CT juga kelihatan lebih baik daripada CT untuk mengenal pasti penyebaran penyakit dalam kedua-dua kumpulan orang, tetapi kajian tersebut adalah sangat kecil dan keputusan mungkin tidak boleh dipercayai.
Sejauh manakah keputusan kajian yang telah disertakan dalam ulasan ini boleh dipercayai?
Dalam kebanyakan kajian kami, diagnosis penyebaran penyakit yang boleh dipercayai (atau standard rawatan) dibuat dengan melakukan biopsi dan dengan susulan dengan orang dari semasa ke semasa menggunakan penilaian klinikal dan pengimejan. Selalunya terdapat kekurangan perincian tentang bagaimana pesakit diikuti dan ujian mana yang telah digunakan. Terdapat banyak kajian yang tidak menyertakan orang pada titik masa yang jelas dalam proses penyakit tersebut, menjadikannya sukar untuk menilai relevansi keputusan mereka. Pelaporan permohonan dan penilaian ujian adalah buruk.
Kepada siapakah keputusan-keputusan ulasan ini diaplikasi?
Tiga puluh tiga kajian telah dijalankan di Eropah (85%), dan selebihnya di Amerika Utara (n = 4), Asia (n = 1), atau Oceania (n = 1). Purata umur orang dalam kajian adalah antara 50 dan 67 tahun, dan sekitar separuh adalah lelaki. Kajian kebanyakannya menyertakan orang dengan melanoma pada sebarang bahagian badan, tetapi dua menyertakan hanya orang dengan melanoma pada kepala atau leher. Kajian sering menyertakan orang pada peringkat penyakit yang berbeza, dan kami tidak dapat melihat pada ketepatan ujian untuk orang pada tahap penyakit tertentu. Kajian adalah kecil, dan keputusan mereka mungkin tidak sepadan dengan apa yang berlaku dalam kehidupan sebenar.
Apakah implikasi ulasan ini?
Pengulas telah menemui beberapa bukti untuk menyokong penggunaan pengimejan dengan ultrasound yang digabungkan dengan FNAC sebelum biopsi nodus limfa sentinel, tetapi kerja selanjutnya diperlukan untuk menentukan keberkesanan-kos. Bukti yang terhad tersedia untuk pengimejan seluruh badan untuk pementasan primer atau pementasan semula penyakit. Bukti yang ada difokuskan pada PET-CT; tetapi terdapat beberapa perbandingan dengan CT dan tiada perbandingan dengan MRI. Penyelidikan masa depan perlu melihat lebih kepada ketepatan ujian dan mesti mempertimbangkan kesan ujian pengimejan berbeza terhadap keputusan rawatan untuk pesakit.
Adakah ulasan ini yang terkini?
Pengulas telah mencari dan menyertakan kajian yang diterbitkan sehingga Ogos 2016.*
*Dalam kajian tersebut, biopsi dan susulan klinikal atau pengimejan adalah standard rujukan (kaedah untuk menetapkan diagnosis akhir).
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




