Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan mudarat penyesuaian iskemik jarak jauh (menyekat secara ringkas kemudian memulihkan aliran darah) untuk mencegah dan merawat strok?

Mesej utama

  • Penyesuaian iskemik jarak jauh (menyekat secara ringkas kemudian memulihkan aliran darah) mungkin mengurangkan risiko strok lain berlaku dan mungkin membantu orang pulihkan fungsi otak serta keupayaan harian dengan lebih berkesan daripada rawatan palsu atau rawatan standard. Penyesuaian iskemik jarak jauh dianggap sebagai pilihan rawatan kos rendah, senang diakses, dan tidak invasif, walaupun ia boleh mempunyai kesan-kesan yang tidak diingini.

  • Kebanyakan kajian-kajian dalam ulasan ini mempunyai sedikit peserta dan dijalankan di China. Kami perlukan kajian yang lebih besar dan direka bentuk dengan lebih baik untuk membuat kesimpulan kukuh tentang manfaat dan mudarat jangka panjang penyesuaian iskemik jarak jauh.

Apakah strok iskemia?

Strok iskemia adalah jenis strok yang paling lazim. Ia berlaku apabila klot darah menyekat arteri yang membekalkan darah ke otak. Sekatan ini menghalang bekalan oksigen dan nutrien ke bahagian otak. Tanpa bekalan darah ini, sel-sel otak di kawasan itu rosak dan akan mati.

Apakah penyesuaian iskemik jarak jauh?

Penyesuaian iskemik jarak jauh (RIC) melibatkan sekatan secara ringkas dan berulang kali dan kemudian memulihkan aliran darah di anggota badan (lengan atau kaki) dengan kaf tekanan darah. Matlamatnya adalah untuk “kondisi” anggota badan dan mencetus pertahanan semula jadi badan bagi melindungi organ lain.

Apakah mafaat menggunakan penyesuaian iskemik jarak jauh dalam kalangan orang dengan strok iskemia?

Kajian-kajian mendapati orang dengan strok dan sedang menerima penjagaan perubatan standard, menambah RIC boleh kurangkan tisu otak yang rosak akibat strok, memperbaik pemulihan fungsi harian, membantu mencegah strok lain daripada berlaku dan kurangkan masalah memori dan pemikiran.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin menilai manfaat dan mudarat RIC dalam kalangan orang dengan strok iskemia dan sedang menjalani pelbagai rawatan, termasuk terapi perubatan standard, trombolisis intravena (rawatan melarutkan klot darah), atau trombektomi mekanikal (prosedur untuk membuang klot darah). Khususnya, kami ingin tahu jika RIC lebih baik daripada rawatan palsu atau rawatan standard untuk memperbaik:

  • risiko kematian;

  • risiko mendapat strok lagi;

  • kemungkinan pemulihan yang sangat baik (skor Skala Rankin Terubahsuai (mRS) 0 hingga 1);

  • kemungkinan untuk hidup berdikari (skor mRS 0 hingga 2);

  • risiko perdarahan otak;

  • isu-isu fungsi otak;

  • risiko masalah jantung utama.

Kami juga ingin tahu jika RIC mempunyai kesan tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan manfaat dan mudarat penyesuaian iskemik jarak jauh dalam kalangan orang dengan strok iskemia. Kami bandingkan dan ringkaskan hasil kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz sampel.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 21 kajian dengan 7687 orang. Kajian-kajian tersebut dijalankan di China, Denmark, Perancis, UK, dan Romania, dan diterbitkan antara 2012 dan 2025.

Enam belas kajian yang memasukkan 6828 peserta mencadangkan RIC berbanding rawatan palsu atau tanpa rawatan mungkin menyebabkan sedikit pengurangan risiko mendapat strok lagi. Kira-kira separuh kajian mengukur tahap berdikari peserta menggunakan mRS dan mengukur perubahan dalam isu fungsi otak menggunakan Skala Strok Institut Kesihatan Kebangsaan (NIHSS). RIC mungkin memberi sedikit peningkatan bilangan orang yang pulih dengan sangat baik, tetapi mungkin memberi sedikit atau tiada kesan ke atas bilangan orang yang boleh hidup berdikari. Di samping itu, RIC mungkin memperbaik sedikit peningkatan isu fungsi otak, tetapi bukti sangat tidak pasti. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara RIC dan rawatan palsu atau rawatan standard risiko perdarahan otak dan masalah jantung utama, dan RIC mungkin tidak meningkatkan risiko kematian. Walau bagaimanapun, RIC mungkin ada kesan tidak diingini seperti sakit lengan, kemerahan atau bengkak.

Kami juga mengenal pasti 21 kajian yang sedang berlangsung dan merancang untuk menambahkannya dalam versi ulasan seterusnya.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah sederhana sehingga sangat rendah atas beberapa sebab. Kebanyakan kajian mempunyai sedikit peserta, dan lebih daripada separuh kajian telah dijalankan di China, yang bermakna hasil ulasan kami mungkin tidak terpakai kepada orang di bahagian lain di dunia. Sesetengah kajian menyertakan orang yang menerima rawatan pelarut klot (trombolisis) dan orang yang tidak menerima pelarut klot, dan kami tidak dapat pisahkan keputusan untuk kedua-dua kumpulan ini. Campuran pesakit ini mungkin mempengaruhi analisis keseluruhan kami. Akhir sekali, kami tidak memisahkan keputusan dalam analisis kami berdasarkan jenis kumpulan perbandingan yang digunakan (rawatan palsu atau rawatan standard). Ini bermakna sukar mengetahui jika kesan rawatan yang kami temui dipengaruhi oleh jenis perbandingan.

Adakah bukti ini mutakhir?

Ulasan ini adalah terkini sehingga 11 Mac 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Qiao Y, Hui W, Li S, Ding Y, Ji X, Zhao W. Remote ischaemic conditioning for preventing and treating ischaemic stroke. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 9. Art. No.: CD012503. DOI: 10.1002/14651858.CD012503.pub3.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan