Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Rawatan konservatif (bukan farmaseutikal dan bukan pembedahan) untuk kanak-kanak yang mempunyai inkontinens urinari siang hari

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Latar belakang

Banyak kanak-kanak masih mengalami masalah terkencing pada siang hari (inkontinens urinari) lama selepas kebanyakan mereka menjadi kering, sesetengah sehingga usia remaja. Apabila tiada sebab yang diketahui, ia dirujuk sebagai inkontinens urinari siang hari bersifat fungsian. Masalah terkencing pada waktu siang boleh menimbulkan masalah praktikal untuk kanak-kanak dan penjaga mereka, membawa kepada dobi tambahan, perbelanjaan untuk pad penyerap atau seluar dalam, perabot yang basah atau terkena kesan kotoran dan kesukaran untuk menghadiri sekolah atau melancong. Ia juga boleh membawa kepada tekanan emosi, kehadiran ke sekolah yang merosot, kesukaran dalam aktiviti sosial dan menjalin persahabatan, masalah kemurungan dan masalah tingkah laku. Menemui rawatan berkesan dapat meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak dan penjaga mereka.

Soalan ulasan

Kanak-kanak, penjaga mereka, doktor dan jururawat mungkin ingin mengelakkan rawatan yang melibatkan ubat-ubatan atau pembedahan, sekurang-kurangnya sehingga mereka telah mencuba rawatan yang tidak melibatkan perkara tersebut. Dalam ulasan ini, para penyelidik menghimpunkan semua keputusan kajian yang dijalankan di seluruh dunia untuk menggabungkan bukti dan menilai rawatan mana yang paling berkesan untuk menangani inkontinens urinari siang hari dalam kalangan kanak-kanak.

Adakah ini ulasan yang terkini?

Bukti ini terkini sehingga 11 September 2018.

Ciri-ciri kajian dan sumber dana

Ulasan ini telah mengenal pasti 27 kajian yang melibatkan 1803 kanak-kanak.

Dua belas kajian telah mengisytiharkan dana daripada sumber luar. Salah satu daripadanya telah dibiayai oleh Astellas Pharma, manakala satu kajian yang lain telah dibekalkan dengan kumpulan plasebo khas dan ubat secara percuma, serta bahan untuk ujian pad secara percuma daripada syarikat yang lain.

Tahap keyakinan terhadap bukti

Ulasan Cochrane telah menilai ‘kepastian’ atau kebolehpercayaan bukti dengan menggunakan kaedah standard yang mengambil kira cara kajian telah direka bentuk, dijalankan dan dilaporkan, perbezaan antara kajian atau populasi, dan hasil gabungan kajian-kajian tersebut. Kebanyakan kajian yang dikenal pasti untuk ulasan ini berskala kecil, dan banyak daripadanya mempunyai reka bentuk yang kurang baik dan tidak dilaporkan dengan jelas. Kebanyakan bukti dianggap mempunyai kepastian yang sangat rendah, yang bermaksud hanya sedikit yang boleh dikatakan dengan sebarang kepastian tentang keberkesanan rawatan.

Keputusan utama

Rangsangan saraf elektrik transkutaneus (TENS) mungkin lebih berkesan berbanding dengan tanpa rawatan untuk menghentikan atau mengurangkan masalah terkencing pada siang hari.

Kami tidak pasti sama ada uroterapi (program tingkah laku di mana kanak-kanak - kadangkala penjaga mereka - diajar tentang bagaimana pundi kencing berfungsi, postur dan kaedah penggunaan tandas yang betul, tandas berjadual, dan merancang apa dan bagaimana jumlah untuk diminum) adalah lebih berksan apabila ditambah dengan PFMT, pendidikan tentang proses membuang air kencing dengan maklum balas, atau penggunaan jam tangan dengan penggera yang ditetapkan untuk mengingatkan kanak-kanak masa untuk ke tandas.

Kami tidak pasti sama ada maklum balas yang menunjukkan kepada kanak-kanak bagaimana otot mereka berfungsi atau bagaimana pundi kencing mereka boleh dikosongkan yang meningkatkan keberkesanan TENS dengan uroterapi berbanding dengan PFMT ditambah dengan maklum balas dan uroterapi. Kami juga tidak pasti sama ada PFMT dan uroterapi ditambah dengan maklum balas meningkatkan keberkesanan PFMT dan uroterapi sahaja.

Kami tidak pasti sama ada latihan otot lantai pelvis (PFMT) atau TENS adalah lebih berkesan berbanding dengan antikolinergik (ubat-ubatan yang mengurangkan isyarat daripada otak yang mengakibatkan pundi kencing mengecut dan mengosongkannya).

Kami tidak pasti sama ada pendidikan tentang cara membuang air kencing ditambah dengan uroflowmetri (ujian untuk mengukur isi padu kencing) dan maklum balas dapat meningkatkan bilangan kanak-kanak yang mampu mengawal pundi kencing berbanding dengan antikolinergik.

Tiada peristiwa buruk serius yang telah dilaporkan yang dianggap berkaitan dengan rawatan kajian. Kebanyakan peristiwa buruk bukan serius dan kesan-kesan sampingan adalah ringan atau sederhana dalam tahap keterukan dan dalam kanak-kanak yang menerima intervensi farmaseutikal. Ini termasuk kesan-kesan sampingan farmaseutikal yang lazim seperti loya, sakit abdomen, mulut kering, rasa mengantuk dan sakit kepala.

Kesimpulan pengarang

Terdapat kekurangan bukti penyelidikan berkualiti tinggi yang dapat membantu kanak-kanak, penjaga mereka dan doktor dan jururawat untuk membuat keputusan tentang rawatan. Lebih banyak penyelidikan yang direka bentuk dengan baik boleh memberikan bukti yang amat diperlukan tentang keberkesanan intervensi yang menjanjikan bagi kanak-kanak dengan inkontinens urinari siang hari, seperti TENS, PFMT dan penggunaan pemasa pada jam tangan (atau telefon bimbit) untuk mengingatkan kanak-kanak tentang jadual ke tandas. Walau bagaimanapun, ia diharapkan ulasan ini boleh menarik perhatian kepada keperluan untuk penyelidikan tentang keberkesanan rawatan bagi masalah terkencing siang hari dalam kalangan kanak-kanak.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Buckley BS, Sanders CD, Spineli L, Deng Q, Kwong JSW. Conservative interventions for treating functional daytime urinary incontinence in children. Cochrane Database of Systematic Reviews 2019, Issue 9. Art. No.: CD012367. DOI: 10.1002/14651858.CD012367.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan